fbpx
PEMBAZIRAN akan berlaku sekiranya orang ramai cuma memberi sumbangan makanan kepada rumah kebajikan.– GAMBAR HIASAN

‘Kami tidak perlukan makanan, sumbangan duit lebih memadai’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Pada bulan Ramadan, banyak pihak yang bermurah hati menderma pelbagai barangan termasuk makanan kepada rumah anak yatim, pusat tahfiz dan asnaf bagi mendapat ganjaran pahala berganda daripada Allah.

Namun, tidak semua barangan yang diberikan itu diperlukan oleh pusat tahfiz dan rumah kebajikan yang menempatkan anak yatim kerana keperluan sebenar mereka adalah pelbagai.

Kebelakangan ini, mereka terlalu ba­nyak menerima bantuan dalam bentuk makanan dan ini sebenarnya menjurus kepada pembaziran kerana melebihi apa yang diperlukan.

Pengerusi dan Penyelia Pertubuhan Rumah Anak Yatim Az Zahra, Bandar Laguna Merbok, Sungai Petani, Kedah, Zaharah Mohamed Khir berkata, rumah tersebut menempatkan seramai 28 anak yatim lelaki berusia lingkungan sembilan hingga 19 tahun.

Katanya, kebanyakan pe­nyumbang pula gemar memberi bantuan berbentuk makanan dan barangan basah terutama­nya ketika bulan Ramadan ini.

“Di sini, kita tidak ada tukang masak, jadi kami tidak perlukan bantuan barang basah se­perti beras, sayur dan sebagainya.

“Jadi, kalau terlalu banyak terima sumbangan makanan, ia akan menyebabkan pembaziran.

“Saya amat menyeru agar para penyumbang agar dapat memahami kami amat memerlukan bantuan kewangan berbanding dalam bentuk barangan sahaja,” ujar­nya.

RUMAH anak yatim lebih memerlukan bantuan kewangan untuk menguruskan kebajikan dan keperluan mereka berbanding makanan. – GAMBAR HIASAN

Selain itu katanya, pihak­nya amat memerlukan sumbangan sebuah van untuk kemudahan penghuni memandangkan kini ada sebuah
kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Avanza dan kende­raan ini tidak muat untuk semua penghuni.

Sementara itu, Penyelia Rumah Anak Yatim Jariah Qaseh, Perdana Height, Sungai Petani, Nor Hayati Ahmad memak­luman, pihaknya kini banyak mene­rima bantuan dalam bentuk makanan daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, rumah anak yatim tersebut menempatkan seramai 11 orang penghuni perem­puan berusia lingkungan 12 hingga 17 tahun.

“Kita memang alu-alukan semua bentuk sumbangan daripada orang ramai, namun bagi sumbangan berbentuk makanan, kita akan sediakan jadual dan hadkan kepada dua hingga tiga penyumbang sehari supaya tidak berlaku lambakan makanan.

“Saya juga mengambil inisiatif memaklumkan kepada penderma supaya menukar bentuk sumbangan mereka sekiranya tidak menjadi keperluan penghuni di sini,” ujarnya.

Katanya, keperluan harian yang amat diperlukan penghuni di situ ialah barang mandian dan penjagaan diri memandangkan semua penghuni adalah perempuan.

“Mungkin ramai terlepas pandang mengenai keperluan ini sedangkan mereka di sini amat memerlukannya.

“Selain itu, kita juga perlukan beberapa rak buku untuk me­nyimpan buku-buku sekolah anak-anak ini,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN