fbpx
Ahmad Ridhwan (kanan) menunjukkan kotak berisi mercun yang dirampas polis.

4 lelaki dicekup punggah mercun RM1.67juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LANGAT – Empat lelaki yang sedang leka memunggah pelbagai jenis mercun dicekup dalam serbuan di sebuah gudang di Jalan Sungai Lang Baru, Banting, semalam.

Serbuan pukul 6 petang itu menahan kesemua suspek berusia 19 hingga 39 tahun selain merampas 627 kotak pelbagai jenis mercun dianggarkan bernilai RM1.67 juta.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, berdasarkan siasatan mendapati tempat penyimpanan yang diserbu tersebut belum mendapat sebarang kebenaran dari pihak berkuasa.

Katanya, semasa tangkapan dibuat didapati keempat-empat suspek tempatan itu sedang memunggah kotak-kotak mercun dari sebuah lori ke dalam gudang.

“Hasil pemeriksaan pada lori itu merampas 627 kotak pelbagai jenis mercun bernilai RM1.67juta.

“Mercun berkenaan dibawa dari Klang sebelum disimpan gudang yang dipercayai telah beroperasi sejak Januari lalu,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambah beliau, semakan mendapati keempat-empat suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

Kesemua suspek kini direman tiga hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.

Dalam pada itu, Ahmad Ridhwan mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak menawarkan apa-apa penjualan mercun secara terbuka tanpa mendapatkan permit daripada pihak polis.

“Bagi individu yang mempunyai permit menjual mercun perlu mematuhi peraturan dengan tempoh penjualan hanya dibenarkan selama 30 hari iaitu 25 hari sebelum dan lima hari selepas tempoh musim perayaan untuk mengelakkan daripada diambil tindakan undang-undang,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN