fbpx
Bagi pemilik kucing termasuk Anna Jobling (tengah), peluang dapat memakaikan baju raya pada haiwan kesayangan itu pada pagi Aidilfitri sesuatu yang sangat menyeronokkan, apatah lagi jika berpakaian sedondon. – AMIR KHALID

Baju raya kucing ceriakan lebaran pencinta si bulus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali menjelang Hari Raya Aidilfitri, antara elemen menarik yang difikirkan semua adalah untuk berpakaian sedondon dengan semua ahli keluarga.

Bagi pemilik haiwan peliharaan seperti kucing, mereka sudah menganggap haiwan itu sebagai ahli keluarga dan akan membelikan pakaian baharu untuk digayakan bersama.

Berkongsi persiapan Aidilfitri, seorang pemilik kucing, Nurul Syazwani Musa, 27, berkata, setiap tahun, dia akan mencarikan pakaian kucing buat dua ekor kucing miliknya, Simba dan Lola.

“Setiap tahun, saya merupakan antara orang yang paling teruja untuk membelikan sekurang-kurangnya sehelai baju raya buat dua ekor kucing peliharaan saya.

“Pakaian yang dipilih pula haruslah sedondon dengan tema pilihan keluarga saya memandangkan pada pagi Aidilfitri, kucing-kucing saya juga akan bergambar bersama ahli keluarga yang lain dengan berpakaian sedondon,” katanya kepada K2.

Tambahnya lagi, biarpun adakala kucing-kucingnya berasa kurang selesa dan hanya memakai pakaian yang disarungkan itu untuk satu tempoh singkat, namun peluang merakamkan gambar si bulus itu dalam persalinan raya merupakan satu peluang yang tidak akan dilepaskan Nurul Syazwani.

“Adakalanya kucing-kucing saya sempat memakai pakaian yang dibelikan itu selama 30 minit sahaja sebelum mula menanggalkannya, namun peluang menggayakan kucing dengan baju Melayu dan baju kurung itu cukup menyeronokkan ketika menyambut lebaran,” katanya.

Menyedari keseronokan dan peluang merakam kenangan bersama haiwan peliharaan pada pagi Aidilfitri, sesetengah pihak giat menawarkan baju raya kucing untuk haiwan kesayangan ramai itu.

Antaranya label pakaian kucing, DD Cats HQ yang memperkenal pakaian kucing yang agak bersifat holistik meliputi empat jenis baju raya kucing iaitu baju Melayu, kurta, baju kurung dan kebaya.

Anna (tengah) bersama wakil pengeluar baju kucing DD Cat HQ semasa pelancarannya di kafe kucing Coo & Riku, Lalaport Bukit Bintang.

Wakil DD Cats HQ, Shawn Amer berkata, label pakaian kucing itu diwujudkan sebagai produk tambahan kepada kedai haiwan DD Pet Shop yang sudah wujud sejak lebih 10 tahun lalu.

Jelasnya, label itu juga menjangka jualan yang hebat bagi koleksi tersebut dengan menghasilkan 20,000 pasang baju raya kucing untuk keluaran pertamanya.

“Pasaran global bagi baju haiwan peliharaan telah mencapai AS$5.2 bilion (RM22.9 bilion) pada tahun 2021 dan nilai pasaran ini dijangka meningkat kepada hampir AS$6.8 bilion (RM30 bilion) pada 2027.

“Ini jelas menunjukkan bahawa pasaran pakaian kucing adalah satu pasaran yang akan diterokai dengan lebih banyak pada masa akan datang,” ujarnya.

Sebagai menghargai kucing-kucing peliharaan, maka label pakaian kucing itu diperkenalkan dengan kerjasama pelakon terkenal yang juga pencinta kucing, Anna Ellisa Gustin Jobling Abdul Rahman atau lebih dikenali sebagai Anna Jobling.

Berkongsi tentang kerjasamanya dengan DD Cats HQ, Anna berkata, kecintaannya terhadap kucing men­­jadikan dia turut teruja untuk menggayakan haiwan itu dengan baju raya.

“Bagi yang mengenali saya, mungkin mereka sudah tahu bahawa saya merupakan seorang pencinta haiwan, lebih-lebih lagi kucing.

“Secara peribadi, saya menganggap kerjasama ini cukup menyeronokkan memandangkan semasa Aidilfitri, selain mengenakan pakaian sedondon bersama ahli keluarga, anda juga boleh bergaya sedondon dengan kucing kerana secara tidak langsung haiwan peliharaan kita itu juga ahli keluarga kita,” katanya.

Baju kebaya turut ditawarkan untuk kucing betina.

Lebih istimewa, Anna berkata, koleksi pakaian untuk kucing yang diperkenalkan itu juga berbeza dengan yang sedia ada di pasaran apabila menampilkan corak batik dan juga songket bagi baju kurung dan juga samping kucing.

Katanya, penggunaan fabrik kain kapas juga menjadi pilihan bagi memastikan kucing peliharaan kekal selesa apabila menggayakan baju raya.

“Kami mengambil masa sekitar tiga hingga empat bulan bagi proses penyelidikan melibatkan pemilihan fabrik, warna dan rekaan pakaian kucing ini.

“Fabrik kain kapas premium kemudiannya dipilih bagi koleksi ini bagi memastikan kucing kekal selesa,” ujarnya.

Selaku ‘ibu’ kepada beberapa ekor kucing peliharaan, Anna berkata, dia mencuba pakaian tersebut pada kucing-kucingnya sebelum memperkenalkannya ke pasaran.

“Sebagai seorang pemilik kucing, saya ada membeli pakaian lain buat anak-anak berbulu ini untuk digayakan, namun apabila material atau fabrik yang digunakan itu bersifat panas, maka kucing akan menjadi seolah-olah tidak tentu arah dan mahu cepat-cepat menanggalkan pakaian dipakai dari badan mereka.

“Apabila dipakaikan pakaian dengan fabrik yang betul dan selesa, saya mendapati kucing juga berasa selesa dan bebas bergerak,” ujarnya.

Koleksi raya tersebut terdiri daripada baju Melayu Simba, Kurta Muezza, Baju Kurung Bella dan Baju Kebaya Luna.

Bagi memberikan lebih banyak pilihan, pakaian kucing yang dijual dari harga RM39 hingga RM49 itu juga didatangkan dalam pelbagai saiz antara S sehingga XL kerana sama seperti manusia, kucing juga mempunyai saiz badan yang berbeza-beza.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN