fbpx
PUTERI SARAH

Ramadan saya makin meriah – Puteri Sarah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIADA ungkapan selain kesyukuran terluah dari bibir Puteri Sarah Liyana apabila masih diberi peluang bernafas menikmati keberkatan Ramadan, bulan yang antara malam-malam terakhirnya menawarkan berkah 1,000 bulan.

Bagi wanita berhati kuat itu, kehadiran Ramadan yang menjengah setahun sekali dianggap sebagai suatu nikmat yang tidak patut dilepaskan semua insan termasuk diri sendiri.

Biar hidup bersimbah nisda dan duka, sebagai hamba, wanita yang mesra disapa Sarah itu juga tidak mahu melepaskan peluang merebut nikmat dan kemanisan janji Tuhan sepanjang Ramadan.

Meskipun sibuk dengan jadual harian, Sarah sama seperti umat Islam lain apabila mahu berebut mengaut sebanyak mungkin ganjaran yang ada, sekali gus cuba memperbaiki diri menjadi insan yang lebih mulia.

Ketika Sarah dilamar untuk menjadi penghias muka depan Pose bagi edisi pertama Ramadan, tidak sukar sebenarnya memujuk wanita bermata bundar itu menyatakan persetujuan bersetuju, namun ada syaratnya.

“Saya tidak mahu soalan-soalan yang terlalu bersifat peribadi,” pintanya seakan-akan memohon pengertian.

Penulis sedar kehendak ibu kepada dua orang cahaya mata itu. Mungkin Sarah mahu ‘lari’ seketika daripada kisah panas rumah tangganya bersama suami, Syamsul Yusof yang semakin hangat diperkatakan umum.

Sekurang-kurangnya penulisan ini dapat memberi ketenangan tentang kehidupan Sarah menjalani ibadah puasa bersama dua orang anaknya.

Pada Ramadan tahun ini, Sarah terpaksa bekerja kerana mempunyai komitmen drama 100 episod yang belum habis menjalani penggambaran, namun tidak akan sesekali mengabaikan anak-anaknya.

Erti Ramadan

Menyentuh tentang pengertian Ramadan bagi diri Sarah, dia menganggap ini adalah waktu terbaik untuk setiap umat Islam merenung dan memperbaiki diri sendiri.

“Ramadan bulan ibadah yang penuh dengan keberkatan. Secara peribadi, saya menganggap Ramadan merupakan waktu yang sesuai untuk kita merenung dan memperbaiki diri menjadi umat yang lebih baik selain mendekatkan diri kepada-Nya,” kata Sarah.

Justeru, pemilik nama lengkapnya Puteri Sarah Liyana Megat Kamaruddin itu amat ternanti-nantikan Ramadan kerana terkenang momen indah yang cuma dirasai setahun sekali.

“Saya rasa bukan saya seorang sahaja yang menantikan ketibaan bulan yang mulia ini. Umat Islam yang lain pun begitu juga. Sudah tentu banyak momen-momen yang dirindui ketika Ramadan seperti mengejutkan anak-anak bangun sahur.

“Tidak dilupa juga keindahan dapat menunaikan solat sunat tarawih. Bagi saya, setiap kali puasa inilah momen dan kenangan yang saya sangat nanti-nantikan,” katanya.

KEDUA-DUA anak Sarah, Syaikhul Islam dan Sumayyah menjadi sumber kekuatan dirinya untuk terus cekal dan tabah menjalani kehidupan.
– CARYAZARA OFFICIAL

Anak-anak

Ketika ditanya tentang ragam kedua-dua orang anaknya, Syaikhul Islam, 6, dan Sumayyah, 4, Sarah berkata, dia sudah mula mendidik anak-anak, terutama si sulung berlatih berpuasa.

“Perlahan-lahan saya sudah didik anak-anak terutama Syaikhul untuk berpuasa penuh. Tapi ikut juga pada kemampuannya.

“Apa yang penting saya mahu anak-anak faham erti puasa itu sendiri. Rutin saya setiap kali Ramadan kejut mereka bangun sahur, berbuka sama-sama dan ajak menunaikan solat sunat tarawih.

“Saya mahu anak-anak rasai bagaimana perasaan menyambut bulan Ramadan. Sebagai ibu, saya juga maklumkan pada mereka makna bulan mulia ini dan kelebihan untuk mereka yang berpuasa,” jelas Sarah.

Sekadar mahu menyelami perasaannya menjalani ibadah puasa pada tahun ini, lantaran kisah rumah tangganya sedang hangat dibicarakan, Sarah berkata, tiada apa yang berbeza, malah dia berasa lebih ‘meriah’.

“Saya rasa sama sahaja, cuma mungkin lagi meriah,” katanya ringkas tanpa memperincikan makna meriah yang dimaksudkan.

DALAM manisnya senyum, hati wanita berusia 38 tahun itu sedang bergelora akibat gelombang rumah tangga yang sedang membadai bersama suaminya, Syamsul Yusof.

Kekuatan

Tambah pelakon drama Andainya Takdir Itu lagi, walaupun berdepan dengan pelbagai dugaan terutama membabitkan perkahwinannya, dia harus kuat dan bangkit demi anak-anak.

“Tidak kira apa pun masalah yang menimpa, kita harus tetap kuat. Teruskan bangkit. Kekuatan saya semestinya untuk anak-anak.

“Nak bersedih atau meratap, boleh tapi jangan lama-lama. Bangkit dan teruskan kehidupan seperti biasa.

“Bukan bermakna ingkar, tetapi lebih kepada menyayangi diri sendiri dan tidak membiarkan diri dipijak,” luah Sarah.

Menyentuh perihal kegiatannya ketika bulan puasa tahun ini, Sarah memberitahu jadualnya agak padat kerana masih perlu meneruskan penggambaran drama yang tertangguh.

“Jadual agak padat, sekarang saya sedang menjalani penggambaran untuk sebuah drama 100 episod. Tapi saya cuba juga kurangkan komitmen kerja ketika bulan puasa.

“Ada yang terpaksa saya tolak. Macam mana sibuk pun, anak-anak tetap menjadi keutamaan dan saya akan sedaya upaya tetap meluangkan masa bersama mereka,” jelasnya menutup perbualan.

PUTERI Sarah tidak melihat kemelut yang sedang dihadapi kini sebagai gerhana Ramadannya, sebaliknya satu kemeriahan yang sedang diraikan.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN