fbpx
SHEILA MAJID

Sheila Majid, ‘engkau legenda’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERNAH terfikir untuk bersara dari arena muzik yang dicintai, namun permintaan peminat membulatkan hati Datuk Sheila Majid membatalkan hasrat tersebut.

Akui penyanyi lagu hit Sinaran itu, jauh di sudut hati terselit rasa terharu melihatkan sokongan penuh daripada khalayak sejak kemunculannya dalam industri seni menerusi album Dimensi Baru sekitar 1985 sehingga ke hari ini.

Belum terfikir bersara

“Apabila difikirkan kembali, saya mula bertanyakan kepada diri sendiri bagaimana boleh bersara sedangkan saya ada anda semua?

“Saya sangat mencintai bidang muzik dan persembahan. Melihat permintaan dan sambutan kali ini, bermakna bertambah lama lagi tempoh untuk ke arah itu (persaraan).

“Paling saya pasti, anda semua mungkin akan tengok saya beberapa tahun lagi. Tambahan pula pada 2025 saya bakal meraikan ulang tahun ke-40 dalam industri ini. Banyak perancangan sedang direncana,” katanya.

KONSERT Sheila direalisasikan selepas mendapat permintaan peminat yang ingin melihatnya beraksi di pentas mega.

Sheila yang berkata demikian ketika ditemui media usai Konsert Sheila Majid Big Band Live in Kuala Lumpur yang berlangsung di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) baru-baru ini, turut berkongsi perancangan akan datang untuk kariernya.

Konsert jentik memori

Pada pertemuan yang turut dihadiri wakil media Indonesia, Ratu Jazz kesayangan ramai itu mendedahkan ingin merencana sebuah konsert khas sempena sambutan empat dekad dua tahun lagi.

Malah Sheila sempat memaklumkan konsert sama bakal berlabuh di Singapura pada tarikh diumumkan kemudian, selain berbesar hati andai ada pihak berminat mengundangnya ke Indonesia.

Sementara itu, mengulas mengenai Konsert Sheila Majid Big Band Live in Kuala Lumpur, menerusi persembahan berdurasi sekitar dua jam, seramai 3,000 penonton yang memenuhi gelanggang gah tersebut seakan terbuai dengan emosi dan memori lampau.

Repertoir malar segar yang menjadi halwa telinga ketika zaman remaja seperti Embun, Di Dalam Emosi Ini dan Pengemis Muda menggamit khalayak berdendang.

Konsep big band

Sebagai introduksi persembahan, Dewan Merdeka dipanaskan dengan dentingan instrumental daripada barisan pemuzik sebelum Ada Ada Saja diperdengarkan.

Kemunculan pemilik nama sebenar, Shaheila Abdul Majid itu meraih sorakan padu khalayak yang cukup teruja mengikuti perjalanan persembahan mega penyanyi tersohor itu hingga ke akhir.

SEBAGAI penghargaan, beberapa segmen khas untuk karyawan seni kebanggaan negara mengisi slot persembahan konsert Sheila termasuk buat Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Nuansa groove, soul serta elemen jazzy yang disempurnakan bersama gubahan baharu berlatarkan bunyian horn seperti trombon menyuntik keistimewaan setiap seleksi terutama bagi Jelingan Manja.

Seperti diluahkan, pemilihan lagu pada malam itu diperincikan sehabis baik bersesuaian dengan konsep big band yang dihadiahkan kepada pendengar.

Segmen khas

Sebagai apresiasi kepada beberapa figura industri muzik, Sheila, 58, tidak ketinggalan menghadiahkan segmen istimewa termasuk kepada idolanya, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee.

Medley Aduh Sayang, Getaran Jiwa, Bunyi Gitar, Tiru Macam Saya dan Manusia dialunkan sepenuh jiwa disusuli apresiasi khas terhadap Seniman Agung itu menerusi lagu ikonik Legenda.

Tidak ketinggalan segmen istimewa untuk komposer dan pemuzik yang juga pencipta lagu kegemarannya berjudul Jauh Jauh, Jimmy Boyle.

Seperti biasa, interaksi bersahaja dengan khalayak yang sudah seperti perbualan dengan rakan-rakan menjadikan suasana berlangsung santai.

Itulah keunikan sosok popular itu yang membuatkan kesetiaan mereka yang membesar dengan lagu-lagunya tidak pernah berpaling.

SOKONGAN tidak berbelah bahagi peminat meleburkan hasrat Sheila untuk bersara dari industri seni.

Usikan spontan serta celoteh nakalnya tidak pernah gagal hingga jenaka bersahaja yang diselitkan sepanjang persembahan masih terngiang-ngiang di telinga seperti mana nyanyiannya.

Tidak hairan ramai rakan selebriti enggan melepaskan peluang mengikuti malam bersejarah tempoh hari antaranya Dayang Nurfaizah, Misha Omar, Datuk Hattan, Fazura dan ramai lagi.

Malam sarat cerita kembara perjalanan Sheila diteruskan dengan seleksi buat ibu tercinta, Gerimis Semalam, Kepergianmu dan Di Suatu Persimpangan.

Sebelum mengucapkan selamat tinggal, Dia, Cinta Jangan Kau Pergi, Antara Anyer & Jakarta, Ku Mohon dan Aku Cinta Padamu meningkatkan lagi adrenalin khalayak.

Penutup menyaksikan Sinaran mengambil alih ruang sehingga semua penonton bangun menari bersama.

Benar bagai dikatakan peminat, letaklah sebaris penyanyi lain, aura yang ditinggalkan mereka tidak akan pernah sama dengan legasi seorang penghibur ternama dan legenda seperti Sheila Majid.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN