fbpx

Kakitangan kesihatan Britain naik gaji, dapat bonus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENUNJUK perasaan berarak kerana menyokong tuntutan NHS di tengah London pada 11 Mac lalu. -- AFP

LONDON – Kerajaan dan kesatuan sekerja mewakili pekerja kesihatan di England kelmarin bersetuju berhubung perjanjian untuk menaikkan gaji kakitangan berkaitan sebanyak 5 peratus mulai tahun kewangan akan datang bagi menamatkan mogok besar-besaran yang berlarutan.

Pakej kenaikan gaji itu memberi manfaat kepada kira-kira satu juta kakitangan Perkhidmatan Kesihatan Nasional (NHS). Ia juga termasuk kenaikan gaji tahun ini sebanyak 2 peratus dan bonus sekali bayar sebanyak sekurang-kurangnya £1,250 (RM6,801) kepada setiap kakitangan awam perubatan.

Keputusan mengenainya dibuat selepas mogok selama beberapa bulan oleh jururawat, anggota paramedik, pengendali panggilan kecemasan, bidan dan lain-lain kakitangan kesihatan, ditangguhkan bagi membolehkan rundingan rasmi selama dua minggu dengan menteri berkaitan.

Kesatuan sekerja utama termasuk Kolej Kejururawatan Diraja (RCN) berkata, pihaknya akan mengesyorkan kakitangan perubatan menerima tawaran kerajaan itu yang meliputi penambahbaikan persekitaran kerja.

“Anggota-anggota kami mengambil keputusan paling sukar dengan melancarkan mogok dan saya percaya mereka menang pada hari ini (kelmarin).

“Ini bukan penawar tetapi kemajuan yang nyata, manakala barisan pemimpin RCN meminta rakan-rakan jururawat menyokong apa yang diputuskan menerusi rundingan kami,” kata Setiausaha Agung RCN, Pat Cullen dalam satu kenyataan.

Sharon Graham yang mengetuai kesatuan sekerja lebih kecil, Unite bagaimanapun berkata, pihaknya tidak menyokong persetujuan tersebut. Namun, beliau menyerahkan kepada ahli-ahli sama ada mahu menerima tawaran kerajaan. Unite mewakili sekitar 100,000 pekerja NHS.

Sementara itu, Perdana Menteri Rishi Sunak memuji perjanjian itu sebagai ‘berbaloi kepada pembayar cukai’ dan membolehkan kerajaannya ‘mengotakan janji untuk mengurangkan separuh kadar inflasi’.

“Kami mengambil pendekatan yang munasabah sepanjang masa,” tambahnya.

Sunak yang mengambil alih kuasa pada Oktober tahun lalu ketika Britain bergelut dengan kadar inflasi yang tinggi selama beberapa dekad, menegaskan bahawa kerajaan tidak mampu membayar kenaikan gaji yang tinggi dalam sektor awam.

Menteri-menteri beliau pada mulanya berpendapat bahawa tawaran gaji untuk tahun fiskal semasa yang berakhir bulan depan, tidak boleh dikaji semula.

Namun, dengan kadar inflasi melonjak lebih 9 peratus selama setahun sebelum mencapai kemuncak lebih 11 peratus pada Oktober 2022, kakitangan awam bernaung di bawah NHS dan seluruh sektor awam serta swasta bertindak mengadakan mogok secara berkala kerana menuntut kenaikan gaji segera.

Setiausaha Kesihatan, Steve Barclay yang mengetuai rundingan dengan kesatuan-kesatuan sekerja berkata, kenaikan gaji itu adalah ‘adil.’

Dalam temu bual bersama stesen-stesen televisyen, beliau tidak memperincikan dana bagi membiayai kenaikan gaji tersebut tetapi berkata, ia tidak akan melibatkan ‘pemotongan’ kepada perkhidmatan pesakit.

Perjanjian itu tidak meliputi doktor muda yang pada minggu ini, mengadakan mogok selama tiga hari untuk memberi tekanan kepada kerajaan supaya bersetuju menaikkan gaji mereka bagi menangani inflasi.

Doktor-doktor itu berkata, kenaikan gaji di bawah kadar inflasi selama bertahun-tahun bermakna mereka sebenarnya mendapat potongan gaji sebanyak 26 peratus sejak 2008. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI