GEORGE TOWN – Terdesak memerlukan ‘modal’ besar membuat persiapan untuk menyambut raya menyebabkan ada segelintir rakyat negara ini mengambil jalan pintas membuat pinjaman ah long.
Selain itu, ada juga yang membuat pinjaman kerana mahu beraya sakan pada hari lebaran yang diraikan setahun sekali dengan menukar perabot baharu.
Seorang pekerja swasta yang dikenali sebagai Ezhan, 45, berkata, dia membuat pinjaman daripada ceti haram sebanyak RM8,000 untuk perbelanjaan raya termasuk membeli kelengkapan perabot baharu
“Ini merupakan pinjaman kali kedua selepas pandemik Covid-19. Memandangkan sekolah akan dibuka sebelum puasa, sudah tentu banyak wang digunakan, tiada cara lain (dapat wang) selain buat pinjam ah long.
“Ini kerana, meminjam dengan ah long lebih mudah dan pantas. Duit ini akan digunakan untuk membeli sofa dan menggantikan meja makan lama,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Seorang juruteknik yang mahu dikenali sebagai Syafiq, 40, pula memberitahu, dia kini dalam perancangan untuk membuat pinjaman ah long bagi perbelanjaan pulang beraya di kampung halamannya di Pantai Timur.
“Tambang tiket bas pergi dan balik untuk kami lima beranak mencecah RM800, lebih baik naik kereta, tetapi gaji pula tidak cukup menampung belanjaan tambahan.
“Untuk pulang beraya di kampung, saya memerlukan sebanyak RM3,000. Jadi jalan mudah adalah meminjam dengan ah long. Bagi saya tiada masalah sekiranya kita konsisten membayar semula,” ujarnya.
Berita berkaitan: Buat persiapan raya tiga bulan sebelum sambut lebaran
Sementara itu, di Melaka, seorang peminjam dikenali sebagai Shahril, 42, berkata, dia membuat pinjaman sebanyak RM10,000 untuk menampung kos memasang kabinet dapur rumahnya.
Menurut lelaki itu, dia berasa terkejut apabila proses permohonan diluluskan hanya dalam masa tiga hari.
“Saya memerlukan wang sebanyak RM10,000 untuk menampung kos membuat kabinet rumah yang keseluruhan berjumlah RM15,000, jadi saya cuba memohon dengan syarikat pinjamam wang dan tidak sangka ia diluluskan.
“Walaupun kadar faedah yang dikenakan tinggi, namun tempoh pembayaran balik lebih lama iaitu sehingga 60 bulan. Kita tidak rasa terbeban,” katanya.
Semalam, Kosmo! melaporkan orang ramai yang memilih membuat persiapan lebaran pada saat akhir berisiko terjebak dengan pinjaman ‘lintah darat’ atau ah long apabila rambang mata untuk membeli barangan yang mempunyai diskaun yang akhirnya mengundang pembaziran.
















