fbpx
Gambar hiasan

Bapa minta rumah, kereta sebagai syarat jadi wali anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Seorang bapa kandung mata duitan tergamak meminta duit sehingga ribuan ringgit daripada dua anak perempuannya sebagai syarat utama untuk menjadi wali pada majlis pernikahan mereka.

Bukan itu sahaja, lelaki berusia 62 tahun itu juga meletakkan syarat lain yang tidak masuk akal apabila mendesak anaknya supaya menukar nama geran rumah kepada miliknya seorang sahaja selain mahukan sebuah kereta.

Semuanya bermula daripada dendam kesumat dengan bekas isteri dan seterusnya dilemparkan kepada anak-anak yang tidak berdosa.

Mendedahkan perkara itu, seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Nurul, 29, berkata, dia melalui detik yang paling sukar dalam hidup ketika ingin membina mahligai rumah tangga pada tahun 2020.

Nurul berkata, bapanya tidak mahu ‘masuk campur’ atau menjadi wali pada hari pernikahannya kerana dia dan adik-beradik lain tinggal bersama ibu selain dendam dengan bekas isterinya.

“Bermacam-macam perkataan makian juga dilontarkan kepada saya kononnya tidak mempedulikannya selama ini dan hanya mencarinya apabila terdesak.

“Tetapi jika mahukan dia jadi wali, bapa meletakkan syarat iaitu berikannya wang sebanyak RM5,000. Sungguh terkejut saya dengan tindakan bapa itu.

“Sepatutnya itu adalah tanggungjawabnya sebagai bapa untuk mewalikan saya pada hari pernikahan,” katanya kepada Kosmo! Ahad.

Nurul yang bekerja sebagai kerani memberitahu, walaupun setelah berjumpa dengan bapanya beberapa kali untuk memujuknya menjadi wali tanpa sebarang bayaran, namun usahanya tetap tidak berhasil kerana lelaki itu masih inginkan wang tersebut.

“Ibu bapa bercerai pada tahun 2019. Akibat perceraian itu, banyak tuntutan yang perlu dibuat di mahkamah dan beberapa kes masih lagi berjalan sehingga sekarang.

“Kesemua adik-beradik tinggal bersama ibu dan tiada seorang pun tinggal dengan bapa,” ujar­nya yang juga anak kelima daripada enam beradik.

Katanya, setelah bercerai, bapanya berkahwin lain dan sejak itu, dia hanya berhubung melalui panggilan telefon atau mesej.

Disebabkan tidak mampu memenuhi permintaan bapa, Nurul kemudiannya memfailkan permohonan wali hakim atas sebab wali sebenar enggan, namun prosedurnya terlalu lama, sedang­kan tarikh pernikahan yang ditetapkan semakin hampir.

“Untuk memohon wali hakim, saya perlu sediakan dokumen yang wajib disertakan iaitu borang permohonan nikah dan borang ujian saringan HIV.

“Kedua-dua borang ini sah dalam tempoh tiga hingga enam bulan, namun prosedur untuk memohon wali hakim pula mengambil masa lebih dari tempoh sah laku borang itu,” ujarnya.

Nurul memberitahu, dia mula menghantar permohonan ber­kenaan enam bulan lebih awal dari tarikh pernikahan, tetapi perlu melalui pelbagai prosedur.

“Setiap sebutan sama ada ayah tidak mahu datang atau ditangguh ke tarikh lain yang agak lama. Bulan demi bulan saya cuba mendapatkan wali hakim, tetapi akhirnya tarikh nikah saya betul-betul sudah menghampiri.

“Akhirnya akibat terdesak, saya terpaksa membayar RM3,000 kepada bapa walaupun duit saya hanya cukup-cukup untuk membuat majlis perkahwinan. Akhirnya bapa setuju jadi wali saya,” luahnya.

Lagi memburukkan keadaan, adiknya kini pula mahu me­langsungkan perkahwinan pada tahun ini dan turut berdepan situa­si sama apabila bapanya meminta sejumlah wang lagi.

Adiknya yang dikenali sebagai Saleha, 25, berkata, dia sudah menjangkakan perkara tersebut akan berlaku seperti kakaknya ketika ingin melangsungkan pernikahan.

Kata Saleha, setelah membe­ritahu dirinya akan bernikah pada pertengahan tahun, bapa­nya meletakkan beberapa syarat yang tidak masuk akal untuk dipenuhi.

“Masa saya minta bapa jadi wali, dia nak wang RM3,500 dan meminta saya membelikannya sebuah kereta. Bukan itu sahaja, dia turut meminta saya memberikan geran rumah yang masih di bawah nama bersama ibu saya untuk ditukar kepada namanya seorang sahaja.

“Saya berasa amat sedih kerana sejak menyambung pengajian diploma, sedikit pun bapa tidak pernah ambil tahu tentang saya. Susah untuk berkomunikasi dengannya kerana dia akan menyekat saya di WhatsApp.

“Dia akan berhubung dengan saya jika ingin meminta wang atau bercakap tentang hartanya bersama ibu saya.

“Pelbagai ayat makian dan hinaan dilontarkan,” katanya yang juga anak bongsu.

Saleha yang masih menuntut di sebuah universiti berkata, dia tidak mampu untuk memenuhi kesemua permintaan bapanya dan kini sedang berusaha untuk mendapatkan wali hakim walaupun sedar peluang itu kelihatan tipis.

“Bagi saya, Islam ini cukup mudah, cukup wali, saksi, pe­ngantin lelaki dan perempuan, sah untuk bernikah, tetapi kerana hal-hal seperti ini, perkahwinan itu nampak sangat rumit.

“Sistem syariah juga dilihat mempunyai banyak lompong yang perlu dikaji semula bagi memudahkan urusan perkahwinan. Dalam kes saya, seorang ayah boleh pilih anaknya, tetapi anak tidak boleh pilih bapa,” kata Saleha.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN