GEORGE TOWN – Gara-gara tidak sanggup melihat suami hidup sengsara selain mahu memelihara hubungan bahagia dan cinta yang mendalam, isteri sanggup berhutang dengan ah long sehingga puluhan ribu ringgit.
Lebih membimbangkan, trend itu semakin menjadi-jadi sejak pandemik Covid-19 lalu apabila makin ramai wanita berusia 25 hingga 50 tahun meminjam duit daripada ‘lintah darat’.
Hasil pertemuan Kosmo! dengan beberapa wanita, mereka mengakui sanggup menggadai nyawa diburu ah long semata-mata mahu mengubah kesusahan hidup si suami.
Seorang eksekutif swasta yang mahu dikenali sebagai Rina, 43, berkata, dia terjebak dengan hutang ah long dua tahun lalu selepas suaminya diberhentikan kerja sebagai operator pengeluaran kilang akibat pandemik Covid-19.
Ibu kepada dua orang anak itu memberitahu, dia berhutang dengan ah long kira-kira RM10,000 untuk dijadikan sebagai modal perniagaan membuka premis makanan yang diusahakan suaminya ketika ini.
“Suami tidak layak membuat sebarang pinjaman selepas diisytihar bankrap tujuh tahun lalu. Saya tidak sanggup lihat dia terbeban dengan tanggungan sedia ada dan hanya bekerja sebagai penghantar makanan.
“Saya seorang tidak mampu untuk menampung perbelanjaan keluarga, apatah lagi terpaksa menyewa rumah yang mahal di tengah bandar ini. Disebabkan itu, saya sanggup pinjam duit ah long demi kesenangan keluarga terutama suami.
“Yang pasti, kena disiplin dalam urusan bayaran mingguan. Duit untung berniaga diagihkan terlebih dahulu untuk bayaran hutang. Jika silap langkah, hari-hari ah long datang ke kedai,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Seorang pekerja kilang dikenali sebagai Fahidah, 46, pula memberitahu, dia terpaksa meminjam ah long kira-kira RM5,000 tahun lalu bagi membantu suami menyelesaikan tunggakan rumah dengan pihak bank.
“Suami dahulunya bekerja sebagai operator kilang dan berhenti selepas kontraknya tamat. Pendapatan bulanan saya iaitu RM1,800 tidak cukup untuk menampung semua kos keperluan rumah termasuk anak-anak.
“Sebab itu, kami tiada pilihan selain meminjam ah long. Kami memang terbeban dengan hutang-hutang bank terutama rumah dan kereta. Atas dasar sayang suami, saya sanggup berbuat apa sahaja,” katanya.
Fahidah mendakwa, dia akan pastikan bayaran kepada ah long dijelaskan mengikut perjanjian meskipun kadar bunga tinggi.
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, semakin ramai wanita terpaksa menanggung hutang ah long selepas sebahagian besar mereka gagal dalam perniagaan.

Katanya, dianggarkan setiap hari, 17 daripada 30 panggilan telefon daripada mangsa ah long yang meminta bantuan pihaknya adalah golongan wanita.
Menurutnya, mereka menjadi mangsa kerana mahu membantu suami mencari nafkah untuk keluarga melalui perniagaan selain membantu ibu bapa.
“Setiap hari kita menerima lebih 30 panggilan telefon daripada mangsa pinjaman ah long, lebih 15 daripada panggilan itu selalunya wanita berusia 25 hingga 35 tahun.
“Jumlah yang selalunya mereka pinjam antara RM10,000 hingga RM15,000 untuk memulakan bisnes atau membiayai ibu bapa yang sakit,” ujarnya.
Jelas Rosland, beliau sendiri juga terkejut dengan perubahan trend itu apabila sebelum ini lelaki yang ramai berhutang ah long, namun kini semakin banyak wanita pula yang terjebak.
“Ada yang beritahu mereka pinjam sehingga RM15,000 untuk bantu suami yang tidak bekerja.
“Ada juga yang meminjam untuk bantu bapa yang sakit, selepas kehabisan duit pinjaman, bapa masih tidak sihat, mereka pula diburu ah long,” katanya.
Menurutnya, masyarakat perlu sedar kebanyakan ah long mempromosikan perkara yang tidak telus, malah lebih menjurus kepada penganiayaan.
“Banyak cara kita dapat lihat mereka tawar pada golongan yang terdesak ini, bukan sahaja pinjaman, malah ada yang menjanjikan pelaburan RM300 boleh dapat RM3,000.
“Mereka juga seiring dengan peredaran semasa menggunakan media sosial untuk mempromosikan pinjaman. Jadi kita sebagai pengguna perlu bijak menilainya,” kata beliau.
Justeru, Rosland mahu ceti-ceti haram dibanteras sekeras-kerasnya kerana hanya menguntungkan sebelah pihak.
Presiden Persatuan Pengguna Kedah (Cake), Mohamad Yusrizal Yusoff pula berkata, tindakan berhutang dengan ah long adalah satu langkah berisiko yang perlu dihadapi peminjam apabila gagal membayar hutang.
Katanya, walaupun berhadapan dengan tekanan hidup, orang ramai terutamanya golongan peniaga kecil tidak sepatutnya mengambil tindakan melulu dengan berhutang ah long.
“Saya faham situasi pengguna terutama golongan miskin tegar dan B40 yang semakin tertekan kos sara hidup yang meningkat.
“Namun begitu, kalau boleh jangan berhutang dengan ah long, rancang kewangan dengan baik dan rasional,” katanya.
Tambahnya, peniaga yang benar-benar terdesak boleh mendapatkan pinjaman kredit komuniti berlesen yang lebih selamat daripada ah long. -KOSMO! ONLINE
















