DALAM sekelip mata, populariti Feby Putri meroket hanya dengan single pertamanya, Halu yang meledak dalam tempoh pandemik lalu. Muzik juga menerbangkan si gadis genit ini ke Malaysia menjayakan konsert solonya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
TEPAT pukul 8.45 malam, penonton dibiarkan dalam kegelapan, namun sportlight ditalakan terus ke arah susuk seorang wanita di pentas Zepp Kuala Lumpur (KL).
Kehadiran sosok bernama Feby Putri itu disambut sorakan bersemangat penonton yang sudah memenuhi setiap genap ruang lokasi acara tersebut.
Awal-awal lagi bahang kehangatan tersebut melenyapkan sangkaan penulis tentang populariti Feby.
Ternyata penyanyi dengan lagu-lagu berkonsepkan ‘pulih diri’ itu sudah membina pengaruh kuat dalam kelompok peminat muzik tanah air.
Tidak perlu memperkenalkan diri, nama Feby Putri kedengaran jelas daripada setiap jeritan lebih 1,000 penonton yang hadir.
Tanpa berlama-lama membiarkan penantian peminat bertukar resah, Feby membuka pentas menerusi lagu Liar Angin, Tanpa Pamrih, Dera dan Berkesudahan.
Satu hal yang harus diberikan pujian, anak kelahiran Makassar, Indonesia itu mampu membawa penonton masuk ke dalam dunianya sendiri.
Dia juga berjaya mencipta visualnya hanya dengan nyanyian yang disampaikan sepenuh jiwa.

Pertama kali
Rasa sakit dan gembira berjaya dirasai hanya menerusi nyanyiannya. Seperti masakan yang cukup rasa, sebegitu juga hidangan persembahan Feby pada malam tersebut.
Terharu dan sebak melihat sambutan peminat Malaysia, Feby mengakui tidak pernah walau sekali dia bermimpi mengadakan konsert di Kuala Lumpur.
Bibirnya pula tidak berhenti melenturkan ungkapan ‘terima kasih’ kepada lebih 1,000 penonton kerana sanggup berhabis ratusan ringgit untuk membeli tiket konsertnya.
“Akhirnya aku berada di sini, berdiri tepat di hadapan kalian semua.
“Selepas beberapa tahun bertapak dalam dunia media sosial, impian untuk mengadakan konsert solo sebegini berjaya direalisasikan,” kata pemilik nama penuh Feby Putri Nilam Cahyani itu.

Persembahan kemudiannya diteruskan dengan dendangan lagu baharunya berjudul Bagai Bintang Bulan ciptaannya sendiri, sebelum diikuti dengan Cahaya, Usik dan Awal.
“Anda semua menjadi pendengar pertama lagu ini kerana belum dilancarkan lagi dalam mana-mana platform.
“Jadi, lagu ini tentang seseorang yang tidak boleh dimiliki dan digapai,” ujarnya.
Tanpa berlengah, penyanyi berusia 23 tahun itu menutup penantian ramai apabila buat pertama kali mendendangkan lagu popularnya, Halu secara langsung di Malaysia.
Sepanjang mendendangkan Halu, Feby dilihat menahan sebak apabila hampir semua yang berada di Zepp KL turut sama menyanyikan karya terbitan akhir tahun 2019 itu.
Pentas seterusnya ditutup dengan lagu Diri, Rantau dan Runtuh. Penutup yang sukses dan Feby ternyata berjaya meruntuhkan emosi peminatnya di Kuala Lumpur pada malam tersebut.
Selain rasa persembahan, kualiti vokalnya harus diberikan pujian meskipun awalnya kedengaran gugup.

Merantau
Berpeluang bertemu dengannya baru-baru ini, anak bongsu daripada tujuh adik-beradik itu memberitahu, cintanya terhadap muzik mendorongnya mengembara ke kota Jakarta bagi mencapai impian.
Tidak seorang diri Jakarta, seorang abang turut sama menemaninya.
“Pada awalnya keputusan untuk terbang ke Jakarta dari Makassar ditentang ibu bapa, namun melihat kesungguhan saya, akhirnya mereka merelakan.
“Membiasakan di sebuah tempat baharu dan memulakan kerjaya yang berawal kosong bukan mudah, ditambah dengan pandemik, semuanya terganggu,” katanya yang memulakan kerjaya sebagai pensohor media sosial atau lebih dikenali sebagai ‘selebgram’ di Indonesia.
“Sangat sukar memulakan kehidupan tetapi demi muzik dan rezeki, saya kuatkan semangat untuk gapai apa yang dimiliki pada hari ini.
“Saya merantau ke Jakarta pada usia 18 tahun ditemani abang semata-mata untuk menggapai cita-cita jadi penyanyi.
“Ketika berhijrah ke Jakarta, kami hanya menyewa sebuah bilik kecil dan bergantung hidup hasil membuat ulasan produk dalam laman sosial selain meraih pendapatan melalui YouTube,” katanya lagi.
Hasil titik peluh, Feby kini mampu membeli sebuah rumah teres lima bilik bernilai lebih RM240,000 dan muzik video Halu pula meraih lebih 42 juta tontonan dalam YouTube.
“Saya meraih pendapatan menerusi nyanyian lagu saduran dalam media sosial sehingga akhirnya berjaya membeli rumah hasil usaha keras pada tahun 2021.
“Ibu bapa juga merestui kerjaya dan gembira melihat pencapaian anak mereka,” tuturnya yang kini sudah mempunyai sebuah album berjudul Riuh memuatkan 12 lagu ciptaannya sendiri.















