TUMPAT – Kegiatan membawa masuk Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) etnik Rohingya di beberapa pangkalan haram di Sungai Golok semakin menjadi-jadi selepas upah yang diterima semakin lumayan hingga mencecah RM3,000 bagi setiap kepala.
Ia terbukti apabila pihak berkuasa tidak pernah lekang menangkap PATI dengan kes terbaharu seramai 97 termasuk 19 wanita warga Myanmar dan seorang tekong darat Thailand diberkas pada 17 Februari lalu di kawasan semak berhampiran sawah padi di Kampung Sapi, Jeram Perdah dekat Pasir Mas.
Seorang penyeludup yang ingin dikenali sebagai Din, 40, berkata, dia boleh mendapat untung bersih sebanyak RM50,000 untuk sekali penyeludupan dengan membawa masuk 30 PATI dan membayar RM40,000 kepada ‘transporter’.
Upah yang lumayan tersebut membuatkan penyeludup kini berlumba-lumba dan bekerja keras untuk membawa masuk pelarian Rohingya walaupun mereka mengetahui ia satu kesalahan dan diibaratkan seperti pengkhianat negara.
“Ada beberapa pangkalan haram di sepanjang Tumpat, Rantau Panjang dan Tanah Merah. Kebanyakan PATI akan dibawa masuk di situ secara berperingkat menggunakan perahu merentasi Sungai Golok.
“Mereka kemudian ditempatkan di beberapa pangkalan haram sebelum sebelum dikumpulkan di kawasan semak bagi menunggu kenderaan transporter untuk dibawa ke ibu negara atau lokasi yang ditetapkan sindiket,” katanya kepada Kosmo!.
Menceritakan bagaimana penyeludupan dilakukan, Din berkata, dia akan membuat tiga trip dan setiap trip akan dimuatkan dengan 10 PATI.
“Lagi ramai lagi bagus kerana setiap orang perlu bayar RM3,000. Bila saya bawa 30 orang, saya dapat RM90,000 dan untung bersih diperoleh ialah RM50,000 selepas membayar transporter RM40,000 untuk dibawa keluar dari Kelantan,” katanya.

Ujar Din, kerja itu dilakukan secara berkumpulan kerana ada ejen yang membawa PATI dari Thailand ke Sungai Golok.
“Sebelum bergerak, saya akan hubungi tekong darat lain bagi memastikan laluan di pangkalan haram tidak dipantau pihak berkuasa. Biasanya PATI diseludup pada pukul 2 hingga 3 pagi atau waktu senja kerana ketika itu ia dianggap selamat,” katanya.
Bagaimanapun tambahnya, dia akan menerima bayaran daripada sindiket jika semua warga asing itu selamat tiba di destinasi ditetapkan.
“Jika mereka ditangkap, tekong darat terpaksa berputih mata walaupun telah berusaha keras dan berhempas pulas membawa mereka masuk ke Malaysia.
“Sebab itulah kebanyakan transporter akan menyembunyikan Rohingya di beberapa lokasi transit seperti hostel dan rumah tumpangan sebelum dibawa ke Lembah Klang untuk bekerja dalam sektor pembinaan, kedai makan atau peminta sedekah,” katanya.
Seorang lagi tekong darat, Azhan, 47, berkata, Rohingya masuk ke Thailand melalui jalan darat dari Myanmar sebelum dibawa ke sempadan Malaysia-Thailand di Sungai Golok.
Katanya, perjalanan mereka dengan menaiki van, lori atau kereta diuruskan oleh sindiket Thailand sebelum diserahkan pula kepada tekong darat Malaysia sebaik tiba di sempadan.
“Kerja ini mahal kerana risikonya besar apabila berdepan dengan tindakan dan dicekup pihak berkuasa seperti Pasukan Gerakan Am, Maritim Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia atau polis,” katanya.
Ujar Azhan, memang sukar untuk lolos bersama ramai PATI dalam satu-satu masa dan sebab itu penyeludupan dilakukan pada awal pagi dan senja.
Katanya, dia menyeludup PATI tiga kali seminggu kerana masih ada perasaan gugup serta takut sekiranya dicekup ketika menyeberang Sungai Golok untuk mengambil PATI di Thailand.
“Saya pernah dapat RM10,000 untuk bawa beberapa PATI. Bayangkan ada tekong darat boleh bawa 100 Rohingya dalam satu-satu masa dan bayaran diterima tentulah amat lumayan dan menguntungkan,” katanya.














