SAMA ada sekadar konten, gimik atau benar-benar disunting jadi tunangan orang, itu persoalan yang sengaja dibiarkan pelakon Zara Zya. Jawapannya masih tersimpan kemas di balik pintu hati wanita yang bakal menginjak usia 38 tahun itu.
“Kena terapkan budaya membaca dulu, baru tahu cerita sebenar di sebalik apa yang dikongsikan dalam media sosial.”
Demikian ungkap pelakon, Zara Zya atau nama sebenarnya Zainurul Razia Mohd Zainuddin tentang kisah pertunangannya dengan seorang lelaki yang tidak didedahkan identitinya.
Sama ada perihal tersebut benar-benar berlaku atau sebaliknya, kata Zara, semua itu terpulang kepada terjemahan netizen.
Sejauh mana kebenaran bahawa hatinya kini sudah dimiliki dan bakal bergerak ke fasa seterusnya sebagai seorang isteri, semua itu dibiarkan tanpa penjelasan.
“Kalau betul saya dah bertunang, mesti saya akan jemput kawan-kawan dan pihak media. Saya tidak akan bagi sipi-sipi.
“Khalayak sendiri boleh fikir rasanya apa yang saya kongsi dalam Instagram atau TikTok sekadar gimik pemasaran atau betul-betul saya kini tunangan orang,” katanya kepada HibGlam.
Jelas pelakon yang cukup dikenali menerusi drama rantaian, Love You Mr. Arrogant itu lagi, disebabkan khalayak terlalu ‘galak’ bercerita tentang perihal yang mereka sendiri tidak pasti, orang lain turut terheret sama.
Orang yang dimaksudkan adalah hero gandingannya Niezam Zaidi dalam drama berjudul Segenap Takdir.

– MUHAMAD IQBAL ROSLI
‘Netizen kena banyak baca’
“Sampai orang sunting gambar dia dengan saya dalam TikTok supaya nampak macam dialah tunang saya.
“Macam saya cakap, tolonglah banyakkan membaca dan siasat betul-betul bukan membuta-tuli cakap itu dan ini.
“Saya ini bekerja dalam ‘showbiz’ dan banyak perkara yang perlu dilunaskan atas tuntutan komitmen kerja,” katanya lagi.
Disebabkan terlalu banyak gimik yang dimuat naik dalam media sosial, ramai yang mula menyifatkan Zara sebagai selebriti yang tidak boleh dipercayai.
Membidas kenyataan tersebut, wanita asal Lenggong, Perak itu hanya tersenyum seraya menjawab: “Orang sekarang tengok saja terus komen dan sahkan sendiri.
“Sila siasat terlebih dahulu. Tengok betul-betul atau benda itu ceritanya bagaimana. Sama ada betul atau gimik untuk jual produk.
“Macam saya, kalau saya tunang atau nikah, mestilah akan kemas kini dalam Instagram Story.
“Kawan-kawan lain pun ‘update dan tag’. Berita penting akan betul-betul berleluasa. Lainlah kalau saya dan bakal suami nanti memilih untuk berkahwin secara privasi.”

Nafi bertunang
Menafikan sudah bertunang, Zara hanya mengharapkan dipertemukan jodoh yang baik-baik pada masa akan datang.
Dia meminta juga doa yang positif daripada orang ramai agar urusan jodohnya dipermudahkan.
“Saya tak minta banyak. Saya mohon doa yang baik-baik daripada orang ramai agar saya dipertemukan dengan lelaki yang mampu membimbing ke jalan yang benar.
“Bila saya akan berkahwin, saya sendiri tiada jawapan kepada soalan tersebut. Saya berserah kepada ketentuan Ilahi.
“Kalau cepat datang jodoh, makan saya akan berkahwin. Kalau lambat lagi pun, saya tetap akan bersabar dalam menanti lelaki yang tepat dijadikan suami,” tuturnya.
Bakal menginjak usia 40 tahun dalam masa dua tahun lagi, Zara tidak berasa tertekan apabila sering ditanya tentang perkahwinan.
“Ramai yang mendoakan saya agar cepat berkahwin. Saya tak marah mereka. Saya anggap itu doa.
“Sebelum ini, ada yang menggosipkan saya bercinta dengan lelaki ini dan itu tapi yang ada jawapan tersebut, saya sendiri.
“Saya yang jalani kehidupan ini. Orang tidak akan berhenti bercakap dan itu lumrah manusia.
“Saya malas fikir tentang usia dah makin ‘senja’. Kalau dah bersedia, semua orang akan bertemu pasangan yang ditentukan buat mereka oleh Allah SWT. Percaya akan perihal itu dan insya-Allah hidup kita akan sentiasa bahagia,” jelasnya.

Rapat dengan Niezam
Ditebak tentang gosip percintaan dengan pelakon Niezam Zaidi, Zara hanya tertawa dan berkata: “Dia seorang lelaki yang baik. Nak cakap lebih-lebih kami tiada apa-apa ikatan rasmi atau istimewa.
“Saya seronok berlakon dengannya dalam drama Segenap Takdir. Peminat cuba ‘kenengkan’ kami hanya sebab kami berlakon sama. Macam saya cakap tadi, saya tak boleh tutup mulut orang tak takkan pernah ada kudrat nak tutup mulut orang. Terpulang kepada mereka,” jelasnya.
Sebelum ini, lulusan bidang Teater Akademi Seni Warisan Negara (ASWARA) itu juga turut dikaitkan dengan pelawak, Shuib apabila video yang dimuat naik dalam media sosial bersama duda anak empat itu tular.
Namun, Zara sendiri mendedahkan kepada Kosmo! bahawa apa yang berlaku antaranya dengan Shuib semata-mata untuk kandungan pemasaran bisnes minuman Bubblebee yang diusahakannya.















