fbpx
GAMBAR HIASAN

Barang sudah beli, kontraktor pula cabut lari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Komisen lumayan diterima daripada kontraktor warga asing membuatkan segelintir orang tempatan gelap mata untuk menjadi orang tengah bagi memperdaya pemilik rumah yang ingin mengubah suai kediaman sebelum lesap bersama wang.

Modus operandi kontraktor asing terutamanya dari Indonesia ialah menawarkan upah yang lebih murah selain meminta wang pendahuluan untuk memecahkan struktur binaan dan menghantar barang seperti pasir serta simen sebelum lesap.

Orang tempatan pula digunakan untuk mencari mangsa disebabkan mereka sukar mendapat ‘job’ sekiranya bergerak sendirian selain tidak dikenali dan hanya dikenal pasti melalui iklan mulut ke mulut. Duit yang diambil itu kemudian dihantar ke negara asal.

Taktik itu dikesan apabila kebanyakan rumah yang diubah suai terutama di Lembah Klang terpaksa diuruskan semula oleh kontraktor tempatan yang berdaftar dengan pihak berkuasa.

Salah seorang kontraktor dikenali sebagai Adnan Yusof, 40-an, berkata, sindiket tersebut dilakukan secara berkumpulan kerana mereka tidak mempunyai lesen dan pengurusan yang lengkap.

Katanya, kontraktor warga asing akan memberi komisen selepas membuat padanan bersama pemilik rumah kerana mereka sukar untuk mencari pe­langgan tanpa orang tengah yang memperkenalkan mereka.

“Di peringkat awal, sindiket ini akan melakukan kerja memecah struktur binaan serta menghantar barang seperti pasir dan simen untuk mendapat kepercayaan tuan rumah.

“Selepas kerja dilakukan hampir 50 peratus, mereka akan hilang tanpa dapat dikesan bersama wang pendahuluan yang diberikan mangsa,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Kontraktor tanpa lesen akan melarikan diri selepas mendapat wang pendahuluan. – GAMBAR HIASAN

Menurut Adnan, kontraktor Indonesia memiliki kemahiran pertukangan yang lebih baik berbanding orang tempatan yang menyebabkan ramai pemilik rumah tertarik dan terpedaya.

Tambahnya, hampir setiap hari ada sahaja pemilik rumah mencari kontraktor Indonesia untuk mengubah suai kediaman mereka atas alasan hasil kerja lebih kemas dan murah.

“Saya sering menerima tawaran pelbagai projek menyambung pembinaan akibat masalah kontraktor lari selepas rumah mereka yang sedang diubah suai terbengkalai,” katanya.

Ujar Adnan, apa yang dikesalkan ialah pemilik rumah perlu mengeluarkan wang dua kali ganda untuk kerja-kerja meneruskan pembinaan angkara perbuatan kontraktor Indonesia itu.

“Kebanyakan bahagian yang diubah suai perlu dirobohkan semula kerana pembinaan tidak mengikut spesifikasi yang betul selain barangan yang digunakan tidak berkualiti,” katanya.

Sementara itu, seorang pemilik sebuah rumah di Ampang, Selangor yang mahu dikenali sebagai Asyraf Zainuddin, 36, kecewa apabila hasrat untuk menduduki rumah impiannya musnah selepas kontraktor yang diupah lari bersama wang.

“Saya baru beli sebuah rumah lama akhir tahun lalu dan perlu ubah suai keseluruhan.

“Disebabkan kos yang tinggi, saya minta pertolongan rakan untuk carikan kontraktor warga ­asing dan kos sebanyak RM70,000 iaitu separuh daripada kadar yang ditawarkan oleh pihak lain,” katanya.

Bagaimanapun katanya, dia tak sangka apabila selepas memecah bahagian depan dan atas serta meletakkan 10 paket simen serta pasir, mereka terus gagal dihubungi dan disekat daripada aplikasi WhatsApp.

“Sekarang saya buntu untuk buat apa kerana tiada maklumat. Hanya tahu nama gelaran dia sahaja iaitu Ruben. Maklumat lain memang takda. Apabila tanya kenalan, dia juga tidak tahu sama ada individu tersebut pergi ke mana,” jelasnya.

Katanya, dia kini sedang berbincang dengan peguam dan bercadang untuk mengambil tindakan undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN