KUANTAN – Tindakan menampal jalan rosak di negara ini ibarat merawat baju koyak yang bukan sahaja tidak cantik, malah mengakibatkan kualitinya juga tidak tahan lama.
Pakar Keselamatan Jalan Raya Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Law Teik Hua berkata, jalan yang berulang kali ditampal tidak bertahan lama kerana ia sepatutnya diturap baharu.
“Masalah jalan berlubang perlu diatasi kerana ia bukan sahaja merosakkan kenderaan, malah boleh mengancam nyawa. Jalan yang sudah berlubang teruk sebenarnya tidak boleh lagi sekadar ditampal.
“Memang jimat banyak tetapi masalahnya ialah tampalan tidak kuat dan hanya bertahan dalam jangka masa pendek kerana ia mempunyai struktur tidak sebati dengan apa yang ada di sekitar jalan itu,” katanya.
Menurut Teik Hua, tampalan akan rosak kerana ia masih lembut dan apabila kenderaan lalu, lama-kelamaan ia akan berlubang kembali.
Tambahnya, selain kenderaan, faktor lain yang menyebabkan jalan berlubang termasuk hujan, panas, kenderaan terlebih muatan dan sebagainya.
“Pendekatan baharu perlu dilaksanakan. Tampalan jalan yang dilakukan mengikut jadual hingga turapan baharu dibuat hingga lubang dibiarkan perlu diubah.
“Di UPM contohnya, ada jalan masih elok diturap dan lubang dibiarkan. Bila ditanya, kontraktor jawab ia sudah sampai masa buat baharu dan kita tak boleh salahkan mereka kerana mereka adalah kontraktor,” katanya.















