fbpx
SETELAH 25 tahun berkhidmat sebagai makmal penyelidikan di angkasa lepas, ISS yang terletak 408 kilometer di atas Bumi bakal ditamatkan riwayatnya lapan tahun lagi untuk elak ia menjadi sampah angkasa.

ISS menuju penamat, bakal ditenggelamkan di Lautan Pasifik pada 2031

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TANGGAL 10 Oktober 2007, negara kita pernah mencatatkan satu sejarah baharu apabila Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor yang dipilih sebagai angkasawan pertama negara telah berlepas ke Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).

Beliau berada di ISS selama 10 hari dan telah berjaya melaksanakan enam kajian yang meliputi sains perubatan, mikrobiologi dan protein. Beliau juga melaksanakan ibadah solat dan puasa sehingga menjadi rujukan bagi angkasawan Islam lain di ISS.

ISS merupakan platform unik atau makmal penyelidikan yang menyediakan persekitaran mikrograviti (graviti hampir sifar) bagi melaksanakan projek penyelidikan seperti sains angkasa, fisiologi manusia, biologi dan bioteknologi, sains fizikal, aktiviti pendidikan dan pembangunan teknologi yang tidak dapat dilakukan di Bumi.

Platform yang disediakan ISS membolehkan saintis mendedahkan bahan kajian dan menguji teknologi yang dibangunkan kepada persekitaran angkasa ekstrem yang dapat membantu dalam aktiviti penerokaan angkasa termasuk Bulan dan Marikh.

ISS berada di orbit sejak tahun 1998 atau 25 tahun lalu dan ia hanya akan berfungsi untuk tempoh lapan tahun lagi.

Agensi Angkasa Lepas dan Aeronautik Kebangsaan (NASA) mendedahkan bahawa ISS akan berfungsi sehingga 2030, sebelum ia ditenggelamkan di lautan paling terpencil di Bumi pada 2031.

Agensi berita BBC melaporkan, NASA akan ditenggelamkan di selatan Lautan Pasifik yang dinamakan Point Nemo.Lokasi itu berada pada titik paling jauh dari daratan di Bumi dan juga dikenali sebagai tanah perkuburan kapal angkasa.

SEBAGAIMANA satelit-satelit terdahulu, ISS juga bakal dikuburkan di Lautan Pasifik.

Banyak satelit lama dan serpihan angkasa lepas yang lain telah terhempas di sana, termasuk stesen angkasa Russia Mir pada tahun 2001.

ISS berada di orbit rendah Bumi pada ketinggian 408 kilometer (km) dengan kelajuan 28,000km sejam. Ia mengelilingi Bumi setiap 90 minit dan membuat 16 pusingan setiap hari.

ISS merupakan projek bersama melibatkan lima agensi angkasa lepas dan telah berada di orbit sejak 1998 yang digunakan secara berterusan sejak tahun 2000.

Sebanyak 3,000 penyelidikan daripada lebih 100 buah negara telah dilakukan di makmal mikrogravitinya.

ISS merupakan inisiatif kerjasama NASA, Agensi Angkasa Russia (Roscosmos), Agensi Angkasa Jepun (JAXA), Agensi Angkasa Eropah (ESA) dan Agensi Angkasa Kanada (CSA), dibina secara berperingkat bermula pada November 1998 sehingga lengkap sepenuhnya pada 2011.

Secara umumnya, ISS boleh dilihat dengan mata kasar seperti sebutir bintang cerah yang bergerak di langit ekoran cahaya yang dipantulkan ISS.

ISS boleh menempatkan enam kru angkasawan bagi menjalankan penyelidikan dalam satu-satu masa.

Pada tahun 2000, Expedition 1 adalah misi pertama angkasawan di ISS dalam tempoh panjang iaitu selama 136 hari, disertai komander Amerika Syarikat (AS), William Shepherd dan dua jurutera penerbangan Russia, Yuri Gidzenko dan Sergei K. Krikalev.

NASA menjelaskan, tujuan ISS dihempaskan ke laut adalah untuk memusnahkan komponen lama di angkasa lepas dan mengurangkan objek buatan manusia atau sampah angkasa di orbit serta atmosfera Bumi.

Saintis atau angkasawan juga telah mempelajari cara menanam salad dan sayur-sayuran berdaun di ISS.

Pakar-pakar enggan membiarkan ISS mereput di angkasa lepas, sebaliknya mereka mahu ‘membuang’ stesen angkasa tersebut ke lokasi selamat dan berair seperti Lautan Pasifik.

Rancangan untuk ‘menamatkan riwayat ISS’ bermula selepas Presiden AS, Joe Biden bersetuju menyokong operasi stesen itu sehingga 2030 dan menjelang itu, satu stesen angkasa lepas baharu perlu dibangunkan.

“ISS sudah banyak berjasa kepada manusia dan industri angkasa lepas, selain membolehkan kita meneroka alam semesta dengan lebih jauh.

“Berdasarkan pemeriksaan keselamatan, NASA yakin bahawa ISS mampu bertahan hingga 2030,” jelas agensi itu.

Ketika proses penamatan operasinya kelak, sejumlah kapal angkasa tanpa penumpang akan dihantar ke ISS untuk membantunya ‘bergerak ke Bumi’.

Semasa memasuki atmosfera Bumi, sebahagian daripada struktur ISS akan terbakar sehingga jatuh ke lautan.

Dalam pada itu, NASA menjelaskan, pada masa hadapan, aktiviti angkasa lepas yang dekat dengan Bumi akan diterajui oleh sektor komersial.

Rancangan menghentikan ISS menurut NASA, menandakan peralihan kepada sektor komersial untuk aktiviti di orbit Bumi rendah iaitu kawasan angkasa yang dekat dengan Bumi.

“Sektor swasta secara teknikal dan kewangan mampu membangunkan dan mengendalikan destinasi komersial orbit Bumi rendah dengan bantuan NASA,” kata Phil McAlister yang merupakan pengarah ruang komersial di ibu pejabat NASA.

Pada 2020, NASA menganugerahkan kontrak kepada syarikat Axiom Space berpangkalan di Texas, AS untuk membina sekurang-kurangnya satu modul yang boleh dihuni sebagai ‘penyambung’ ISS.

Ia juga telah menyediakan pembiayaan kepada tiga syarikat untuk membangunkan reka bentuk stesen angkasa dan destinasi komersial lain di orbit. Projek baharu ini diharapkan akan beroperasi sebelum ISS diberhentikan.

“ISS telah wujud hampir tiga dekad dan paling produktif sebagai platform kajian saintifik dalam mikrograviti.

“Dekad ketiga ini sepatutnya menjadi satu hasil, membina perkongsian global yang berjaya mengesahkan penerokaan dan teknologi penyelidikan manusia untuk menyokong penerokaan angkasa lepas, mengembalikan faedah perubatan dan alam sekitar kepada manusia serta meletakkan asas untuk masa depan komersial di orbit rendah Bumi,” kata Pengarah ISS, Robyn Gatens dalam satu kenyataan.

ISS telah menjadi ‘rumah’ kepada banyak kajian saintifik dan item pertama yang dicetak dalam bentuk tiga dimensi di situ berlaku pada 2014.

Selain itu, angkasawan NASA, Kate Rubins menyusun DNA di angkasa untuk kali pertama pada tahun 2016.Angkasawan juga telah mempelajari cara menanam salad dan sayur-sayuran berdaun di angkasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN