fbpx
Merak melambangkan kecantikan, keanggunan dan kemegahan bagi masyarakat India.

Manifestasi merak dalam tari klasik India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

GADIS merak atau dalam bahasa Tamil dipanggil mayil nangai perlahan-lahan bangkit dari tidur lalu mempamerkan ekornya tatkala muzik Dheem Ta Dare daripada filem Thakshak dimainkan.

Dua dayang yang berdiri kaku dalam gaya adal nangaigal di sebelahnya turut menggerakkan tubuh mereka mengikut irama lagu tersebut.

Semakin rancak alunan lagu dimainkan, semakin lincah gerak tari gadis merak dan dayang-dayang dalam mempersembahkan tarian merak atau mayilattam.

Menggunakan teknik tarian klasik India bernama Bharatanatyam, gerak tari ketiga-tiga gadis itu menceritakan tentang keriangan gadis merak serta dayangnya saat terdengar alunan muzik.

Kemuncak persembahan adalah ketika gadis merak menguncupkan ekornya ke bawah untuk melakukan tarian solo yang menyerlahkan lagi ekspresi di wajahnya.

Persis megahnya burung merak mempamerkan kecantikan ekornya sehingga mampu membuat ramai terpesona, begitu juga megahnya gadis merak mempamerkan hiasan merak menerusi lenggokan tarian.

Persembahan penuh bertenaga yang dipersembahkan tiga gadis daripada kumpulan Ambika Baratha Kala Alayam menerima tepukan gemuruh daripada tetamu yang hadir ke konsert rentak Selangor dan Manifestasi Keroncong 2022 di ibu kota baru-baru ini.

Tarian merak merupakan salah satu seni tarian klasik yang terkenal di Selatan India dan dipersembahkan dalam acara-acara keraian masyarakat India.

Teknik tari Bharatanatyam yang digunakan dalam tarian merak tersebut memerlukan penguasaan gerakan lengan, badan dan kepala yang ekspresif serta penguasaan mimik muka yang dramatik.

Gerak tari yang berasal dari Tamil Nadu, India itu mementingkan pergerakan yang jelas dan tepat, selain memerlukan kebolehan untuk menguasai ruang dan masa.

Menurut guru tari kumpulan Ambika Baratha Kala Alayam, Ambika Palaniappan, 53, merak melambangkan kecantikan, keanggunan dan kemegahan bagi masyarakat India.

“Mereka bertiga hanya perlukan masa seminggu untuk menguasai persembahan tarian merak ini. Ini kerana mereka semua sudah mahir teknik tarian Bharatanatyam.

“Jadi apabila teknik itu digunakan dalam persembahan tarian merak kali ni, mereka mampu menguasainya dengan cepat walaupun masing-masing sibuk dengan urusan kerjaya dan sekolah ,” jelasnya kepada Panorama.

Tambah guru dari Kuala Selangor itu, seseorang murid memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk menguasai keseluruhan teknik tarian Bharatanatyam.

Bagi murid yang telah tamat pengajian, guru akan memberikan mereka salangai (gelang kaki) sebagai simbolik bahawa mereka sudah bersedia untuk debut.

Dharshini (tengah), Hemalatha (kiri) dan Ganeswary (kanan) mempersembah tarian merak di MATIC, Kuala Lumpur baru-baru ini.

“Sekolah tarian kami memiliki lebih kurang 30 pelajar. Kebanyakan ibu bapa akan menghantar anak mereka seawal usia lima tahun. Setiap pelajar perlu melepasi lima tahap iaitu adavu, bhavem, thalem ragem, salangai pujai dan arangetram.

“Apabila mereka sudah melepasi semua tahap, mereka akan melakukan debut solo yang dipanggil arangetram. Setelah itu, mereka sudah boleh melakukan persembahan-persembahan utama di majlis keraian,” katanya.

Diberi kepercayaan untuk memainkan peranan sebagai gadis merak merupakan satu penghargaan besar buat Darshini Sathival, 23, setelah dia meninggalkan dunia tarian klasik dengan membuat persembahan terakhir di khalayak ramai pada 2013.

Pekerja di sebuah kilang tempatan tersebut mula mempelajari gerak tari pertamanya pada usia empat tahun dan kini dia sedang menjalani kursus untuk menjadi guru tarian klasik India.

Tambahnya, untuk mempelajari teknik tarian Bharatanatyam sememangnya memerlukan dedikasi yang tinggi, namun setelah mahir, ia boleh dipersembahkan dalam pelbagai jenis tarian seperti tarian merak.

“Ibu yang memperkenalkan saya dengan tarian ini sewaktu saya kecil. Dahulu, saya sering menyertai pelbagai pertandingan bersama kumpulan tarian berbeza sehingga usia saya 13 tahun.

“Walaupun saya berhenti seketika bagi memberikan tumpuan pada pelajaran di sekolah menengah, ibu tetap mengajar saya cara untuk membuat solekan gaya Bharatanatyam. Solekan ini merupakan hasil tangan saya sendiri.

“Ibu turut menggalakkan saya mengambil kursus untuk menjadi guru agar legasi tarian ini dapat diteruskan. Ini pun sebagai penghargaan kepada guru-guru yang telah menyampaikan ilmu karya seni tradisional ini kepada saya,” tuturnya.

Bagi Ganeswary Suppiah, 25, aspek paling sukar dalam seni tari Bharatanatyam adalah pengawalan pada bahagian mimik muka.

Ini kerana keseluruhan pergerakan otot muka terutama renungan mata, kawalan leher dan gerakan kepala memainkan peranan dalam menceritakan tentang emosi dan fikiran penari tersebut.

“Kami perlu mempelajari sembilan ekspresi muka iaitu shringar (gembira), hasya (ketawa), karuna (sedih), raudra (marah), veera (berani), bhayanaka (takut), bibhatsa (jijik), adbhuta (Ingin tahu) dan shanta (tenang).

“Untuk bahagian pergerakan tangan dan kaki, saya sudah memiliki muscle memory yang bergerak mengikut rentak muzik, jadi bagi saya bahagian itu tidak begitu sukar.

“Idola saya dalam tarian klasik ini ialah Shobana yang merupakan aktres dan penari terkenal dari India. Gerak tarinya sangat teliti, ekspresi mukanya sungguh menyegarkan,” kongsi pelajar

Pengurusan Sumber Manusia, Universiti Selangor (Unisel) berkenaan.

Tampil sebagai ahli paling muda dalam persembahan tarian merak itu pada malam tersebut, Hemalatha Ramesh, 16, mengakui perlu berusaha untuk membahagikan masa antara persekolahan dan aktiviti tariannya.

Lebih mengagumkan, minat pelajar yang kini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjung terhadap tarian etniknya itu tidak pernah padam biarpun dihantar ke Sekolah Jenis

Kebangsaan Cina Pui Chi, Assam Jawa ketika sekolah rendah.

“Sejak berusia enam tahun sampai sekarang. Saya tidak pernah terfikir untuk berhenti menyertai kelas tarian klasik India biarpun saya dihantar ke sekolah rendah Cina dan kini menuntut di sekolah kebangsaan.

“Ini kerana minat saya terhadap seni tari ini sangat mendalam. Walaupun tarian ini tidak diajar di sekolah dan tidak ramai rakan sama sekolah menyertainya, saya tetap teruskan minat sebagai aktiviti di luar sekolah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN