fbpx
DIANA DANIELLE

Terima kasih Farid kerana sabar – Diana Danielle

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERKAHWINAN mana tidak diuji, sesiapa pun yang berada dalam alam rumah tangga pasti berdepan dugaan sama ada dihentam faktor luaran atau terhimpit emosi dalaman.

Pernah melalui ujian getir, aktres Diana Danielle bersyukur dikurniakan lelaki bernama Farid Kamil sebagai teman hidup. Hanya Farid yang sangat memahami, sehingga mampu bertahan dengan emosi tidak menentunya sebelum diagnosis dengan Sindrom Kurang Daya Tumpuan dan Hiperaktif atau ADHD

Katanya, walaupun permasalahan tersebut hanya dikesan sekitar akhir 2021, dalam tempoh sejak mula berkahwin, Farid sentiasa sabar melayani apa jua keadaan yang tercetus akibat mentalnya yang tidak menentu.

DIANA Danielle didiagnos memiliki masalah ADHD sekitar hujung 2021.

Malah Diana kini semakin lega apabila simptom akibat ADHD yang tidak dapat dikesan sudah boleh dikawal dengan bantuan pakar selain ubat-ubatan, sekali gus meningkatkan kualiti hidup

“Hakikatnya Farid sangat penyabar dari dulu sampai sekarang, tetapi kini saya semakin bijak mengawal emosi dan tidak terbawa-bawa perasaan.

“Boleh dikatakan keadaan seperti ini juga antara dugaan yang menguji kesabaran pasangan dan keutuhan ikatan sesebuah perkahwinan.

“Memasuki sedekad berumahtangga juga saya dapat rasakan diri lebih matang bukan saja sebagai ibu, malah selaku isteri serta anak seni.

“Kalau dulu mungkin saya cepat merajuk atau mudah naik angin kerana darah muda dan ADHD, sikap sabar suami serta kematangan yang datang seiring peningkatan usia, segala perubahan baik mula nampak satu persatu,” katanya.

FASA usia awal 30-an memberikan keseimbangan buat Diana Danielle untuk mengawal emosi diri dengan lebih baik, dalam soal kekeluargaan dan sepak terajang karier seni.

Farid sentiasa di sisi

Enggan melihat ADHD sebagai bebanan, Diana yang masih menemui pakar dan mengambil ubatan jika perlu menganggap semua itu kurniaan Tuhan yang perlu disyukuri.

Dedahnya, pengalaman mengharungi situasi sebagai insan ADHA tanpa sedar membolehkannya berkongsi pula perkara itu dengan umum bagi membantu pula insan lain.

“Sebenarnya kita patut gunakan nikmat ini untuk menolong orang malah saya sendiri tidak merasakan sebagai bebanan kerana insan ADHD seorang yang kreatif dan diberi anugerah bakat walaupun tidak boleh fokus dalam tempoh lama.

“Saya akui sindrom ADHD ini membuatkan saya cepat lupa, tetapi itu bukan masalah besar apabila ada Farid di sisi yang sedia menolong dan menyokong,” katanya lagi.

Berkongsi rahsia mempertahankan ikatan mereka, Diana mengakui setiap pasangan tidak boleh mengelak daripada cabaran apatah lagi ketika kehidupan selebriti sering menjadi sorotan.

Tinggal lagi, sebagai selebriti yang sudah berada dalam industri lebih daripada separuh usianya, sekarang, apa sahaja masalah sudah boleh dibincangkan bersama bagi mendapatkan penyelesaian.

“Pada November tahun lalu kami meraikan ulang tahun perkahwinan yang ke-10 dan saya sangat bersyukur kami dapat melalui tempoh ini dengan baik- baik saja.

“Barangkali lima tahun pertama lebih kuat dugaan, tetapi macam saya katakan tadi kematangan banyak membantu saya kekalkan keseimbangan kendiri.

“Anak-anak, Muhammad dan Nur Aurora pun semakin membesar yang membolehkan saya dan Farid juga mempunyai banyak peluang berdua-duaan,” ujarnya yang bakal mengerjakan umrah bersama keluarga.

IBU kepada dua cahaya mata ini menganggap ADHD yang dikenal pasti doktor sekitar setahun lalu bukan masalah yang menyulitkan urusan hidupnya.

Umrah dengan suami

Sudah melakukan persediaan ke Tanah Suci sejak beberapa bulan lalu, perjalanan rohani pertama nanti dirasakan cukup bermakna. Farid pernah mengerjakan umrah sekitar 2017 dan kali ini Allah kurniakan rezeki untuk kami beribadah bersama-sama.

“Memang rasa teruja itu sukar digambarkan. Kami dijadualkan pergi minggu depan. Doakan semoga semuanya dipermudahkan,” kongsinya.

PENERBANGAN ke Tanah Suci minggu depan diharapkan Diana memberikan sebuah perjalanan rohani yang penuh bermakna. – MUHAMMAD IQBAL ROSLI

Sambar tawaran Imaginur

Dalam masa sama, Diana juga tidak sabar menunggu hasil lakonan bawah pengarah terkenal, Nik Amir Mustapha menerusi filem berjudul Imaginur. Katanya keunikan watak dan kisah cinta bersulam elemen hipnosis menjadikan naskhah berkenaan cukup dinantikan.

Kata pemilik nama Diana Danielle Danny Beeson itu, peluang pertama kali bekerja dengan sutradara hebat itu membuatkannya terus menyambar tawaran tersebut apatah lagi rezeki bekerja dengan pasukan hebat termasuk Beto Kusyairy.

“Pada tahap ini saya tidak lagi mengejar anugerah, sebaliknya selain skrip yang bagus saya juga tengok pasukan yang akan saya kerja bersama.

“Imaginur bukan sekadar sebuah cerita, sebaliknya menggabungkan penggiat seni yang sememangnya saya impikan untuk bekerjasana,” katanya lagi mengenai filem yang bakal ditayangkan pada 23 Februari ini.

LAMA tiada naskhah filem, Diana bakal muncul dengan sebuah filem romantik sains fiksyen bertajuk Imaginur bergandingan dengan Beto Kusyairy yang memasuki panggung bermula 23 Februari nanti.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN