PETALING JAYA – Seramai 1,024 kes bankrap dilaporkan melibatkan individu berusia 55 tahun dan ke atas sepanjang tahun lalu.
Berdasarkan statistik dikeluarkan oleh Jabatan Insolvensi Malaysia pada laman web rasminya, secara keseluruhan angka kes bankrap melibatkan pelbagai usia adalah sebanyak 5,695 kes.
Golongan berusia 55 tahun dan ke atas berada di tempat ketiga kes bankrap sepanjang tahun lalu dengan yang tertinggi individu berumur 35 hingga 44 tahun (2,237 kes), usia 45 hingga 54 tahun (1,630 kes), manakala bawah usia 25 tahun (11 kes) dan tiada maklumat (34 kes).
Berdasarkan perbandingan dari tahun 2018 hingga 2022, angka yang direkodkan bagi golongan individu berusia 55 tahun dan ke atas diisytiharkan bankrap melaporkan penurunan setiap tahun.
Pada 2018, kes bankrap melibatkan golongan itu sebanyak 2,106 kes, 2019 (1,707 kes), 2020 (1,204 kes), 2021 (1,116) dan 2022 (1,024).
Sementara itu, Presiden Persatuan Penyelesaian Pengguna dan Peminjam Malaysia (4PM), Rosland Mohd. Arif berkata, pihaknya turut menerima permohonan bagi menyelesaikan masalah berkaitan bankrap daripada golongan warga emas yang telah bersara.
Katanya, biarpun angka individu yang bertemu dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu tidak seramai orang muda, namun kes bankrap yang dihadapi warga emas menyebabkan mereka berdepan kesukaran hidup.
“Misalnya ada individu mengadu hutang rumah masih tinggi sampaikan bank mahu lelong kerana gagal bayar pinjaman.
“Lelaki tersebut datang jumpa saya menangis dan merayu dibantu disebabkan dia diisytiharkan bankrap.
“Dia sudah lama bersara, namun kehidupannya tidak senang sehingga terpaksa jual pisang goreng.
“Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila adik-beradik mahu membantu, jadi rumah itu tidak dilelong,” ujarnya.
Rosland berkata, ada juga warga emas bertemu dengannya mengadu masalah sama sehingga ditinggalkan oleh pasangan dan anak-anak.
“Aduan-aduan daripada warga emas ini pelbagai, tetapi sangat kasihan apabila mereka sudah tua, tidak lagi bekerja dan disenaraikan bankrap,” katanya.














