fbpx
BADRUL bersama dua rakannya diganggu bunyi derap tapak kaki misteri sewaktu memancing di tebing Sungai Perak, Perak. - Gambar hiasan

Kaki pancing ’disakat’ bunian di Sungai Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MEMANCING ikan merupakan antara hobi yang paling digemari oleh masyarakat di negara ini.

Ada kaki pancing yang sudah berkahwin sanggup berbohong dengan pasangan demi menjayakan misi memancing di tempat-tempat dianggap ‘berbahaya’.

Kisah mitos yang ingin diceritakan ini melibatkan tiga orang sahabat sewaktu memancing di sebatang sungai di Perak.

Pengalaman memancing di Sungai Perak yang dikongsi oleh salah seorang daripada mereka bukan kisah keseronokan memancing ikan temoleh mahupun patin.

Sebaliknya, ia adalah kisah sikap tamak manusia sehingga menyebabkan mereka melalui satu pengalaman menakutkan.

Menurut Badrul Azmi, 45, pengalaman seram dilalui bersama dua rakannya iaitu Amir Shahbana dan Azrul Sapahim kira-kira dua dekad lalu masih segar dalam ingatan.

“Semasa peristiwa menyeramkan itu berlaku, saya dan dua sahabat yang sudah berumah tangga pulang ke kampung sempena cuti hujung tahun.

“Kami memang ‘gila’ memancing, malah dalam kereta mesti tersimpan joran.

“Saya yang mencadangkan kepada dua rakan untuk memancing selepas solat asar di Sungai Perak berhampiran kampung kami,” katanya.

Badrul berkata, dia meminta kebenaran isterinya terlebih dahulu sebelum keluar memancing untuk melepaskan ‘gian’.

Katanya lagi, isterinya itu mengingatkan dia supaya tidak pulang lewat kerana emaknya telah memasak sambal tempoyak udang.

“Sesampainya kami di sungai, saya dan kawan-kawan terus memancing sambil mengimbau kenangan semasa kanak-kanak.

“Tiba-tiba loceng pada batang joran berbunyi kuat menandakan umpan telah mengena.

“Saya menarik dengan sepenuh hati dan hasilnya saya berjaya menaikkan ikan patin bersaiz sederhana,” katanya.

Jelas Badrul, rakan-rakannya turut mendapat ikan sejurus selepas dia mendaratkan patin itu.

Katanya lagi, rezeki yang melimpah pada petang itu menyebabkan mereka tidak pulang meskipun azan maghrib telah bergema.

“Kebetulan saya memang ada membawa lilin di dalam kotak perkakas pancing. Kami pasang lilin sebelum meneruskan aktiviti memancing,” ujarnya.

Suasana gelap yang diterangi lilin di tepi sungai berhampiran hutan kecil menjadikan suasana pada malam itu agak menyeramkan.

Ketika sibuk ‘menghadap’ Sungai Perak sambil berbual-bual, mereka terdengar bunyi tapak kaki orang berlari-lari di belakang.

“Saya pasti itu bukan bunyi derapan kaki binatang. Dalam samar malam, saya tidak melihat kelibat orang di kawasan sekitar.

“Salah seorang rakan mula bimbang dan mengajak kami pulang. Saya cakap, ikan masih banyak perlu ditangkap dan kotak ikan masih ada ruang,” katanya.

Badrul memberitahu, mereka bertiga mempunyai kemahiran bersilat, jadi tidak perlu takut dengan ‘benda’ itu.

Selepas menenangkan rakannya itu, Badrul berkata, mereka kembali fokus memburu lebih banyak ikan.

Tiba-tiba, mereka terdengar bunyi derap tapak kaki berlari dalam gerombolan lebih besar seolah-olah ada acara larian maraton di tebing Sungai Perak.

Setelah ditoleh, mereka langsung tidak melihat apa-apa objek sama ada haiwan atau manusia.

“Kali ini, kami bertiga saling berpandangan dan muka masing-masing menjadi pucat lesi. Kali ini bunyi derapan kaki betul-betul dua meter di belakang kami,” ujarnya.

Disebabkan itu, mereka segera mengemas peralatan memancing dan terus beredar bersama-sama puluhan ikan di dalam kotak.

“Sesampainya di rumah, saya terus cerita pengalaman seram itu kepada isteri. Malam itu telinga saya pedih apabila isteri membebel kerana pulang selepas maghrib,” katanya.

Malam selepas peristiwa itu, Badrul memaklumkan, bapanya beritahu, tempat mereka memancing itu adalah kawasan laluan bunian bermandi-manda.

“Bapa kata, saya dan kawan-kawan bernasib baik hanya disakat dengan bunyi derap tapak kaki di Sungai Perak.

“Ini kerana ada yang pernah disakat hingga demam seminggu dengan penampakan seperti kain putih berterbangan dan gerombolan kerbau bermata merah,” ceritanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN