KUALA TERENGGANU – Wanita orang kelainan upaya (OKU), Zarina Mukhtar, 57, yang ditemui mati pada minggu lalu dikatakan datang ke Kuala Lumpur untuk mencari pekerjaan bagi mengumpul duit untuk menunaikan ibadah haji.
Anak saudaranya, Muhammad Harith Mustaqim Mohd. Sabri, 31, berkata, walaupun ibu saudaranya cacat pendengaran, wanita itu yang kematian suami dua tahun lalu merupakan seorang yang sangat rajin dan gigih mencari rezeki.
“Ibu saudara (Zarina) pernah mengerjakan ibadah umrah menggunakan duit poketnya sendiri kira-kira 10 tahun lalu.
“Dia berazam untuk mengumpul wang semula dengan mencari kerja di Kuala Lumpur baru-baru ini bagi mengerjakan ibadah haji pula,” katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Kampung Sungai Rengas di sini semalam.
Muhammad Harith Mustaqim berkata, Zarina dikhabarkan berada selama dua bulan di Kuala Lumpur untuk mencari kerja, tetapi hasrat itu tidak kesampaian.
Katanya, dia yang kemudiannya menyedari masalah menimpa ibu saudaranya itu telah menjemput wanita berkenaan untuk menetap bersama di Bangsar, Kuala Lumpur pada kira-kira tiga minggu lalu.
“Arwah (Zarina) bersama saya dan keluarga selama seminggu. Kami sempat menghiburkannya dengan membawanya bersiar-siar ke sekitar ibu kota sebelum dia meminta izin untuk pulang semula ke Terengganu.
“Saya dan isteri menghantarnya pulang dengan bas di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) pada malam 15 Januari lalu. Tidak sangka itu pertemuan terakhir kami,” katanya.
Sementara itu, ibu Muhammad Harith Mustaqim, Rozelaini, 55, berkata, Zarina yang merupakan kakak sulungnya menetap bersamanya di Kampung Sungai Rengas di sini sejak kematian suami pada tahun 2021.
“Sewaktu dia (Zarina) masih di dalam bas, saya telah menghubunginya secara panggilan video menawarkan diri mahu menjemputnya sebaik dia tiba di stesen bas kelak.
“Bagaimanapun kakak menolak dengan alasan tidak mahu menyusahkan. Perasaan risau apabila dia gagal dihubungi lagi selepas itu, persoalan akhirnya terjawab apabila mayat yang ditemui minggu lalu disahkan polis miliknya pada kelmarin (Rabu lalu),” katanya.
Rozelaini berkata, dia sekeluarga amat sedih dan keliru dengan nasib malang menimpa Zarina apatah lagi suspek bagi kejadian itu memang mereka kenali.
Terdahulu, Kosmo! pada 19 Januari melaporkan mayat wanita lengkap berpakaian dengan berbaju lengan panjang berwarna merah jambu dan berseluar panjang berwarna hitam ditemui di dalam kawasan semak berhampiran Kampung Alor Gali, Marang.
Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Mohd. Zain Mat Dris kemudiannya mengesahkan identiti mangsa dikenali sebagai Zarina berpandukan padanan rekod cap jari disimpan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Seorang lelaki berusia 59 tahun yang juga adik ipar mangsa kemudian ditahan reman selama tujuh hari mulai kelmarin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.














