USIA penyanyi muda itu baharu sahaja mencecah 19 tahun. Biarpun telah mencipta nama sebagai anak seni sejak berusia 15 tahun lagi, perjalanan karier pemilik nama Irfan Haris masih terlihat mentah oleh sesetengah pihak.
Biarpun mengakui masih ada ‘suara-suara’ yang meragui bakatnya dalam bidang seni, Irfan mengambil sikap tidak peduli untuk terus berkarya.
Tidak mahu namanya cuma dikenali sebagai penyanyi semata-mata, Irfan setegasnya mahu turut dikenali sebagai seorang penulis lagu yang berjaya suatu hari nanti.
Buktinya, penyanyi tinggi lampai itu baharu sahaja meluncurkan single terbaharunya berjudul Patung dengan sentuhan melodi yang cukup terkesan dijiwa.

– ROCKETFUEL ENTERTAINMENT
Paling sedih
Menurut penyanyi yang berasal dari Johor Bahru itu, Patung merupakan sebuah lagu berentak balada yang ditulis bersama abang kandungnya, Haiqal Iskandar. Lirik Patung pula hasil nukilan Ubaidillah yang merupakan sepupunya.
“Lagu Patung ini telah dihasilkan sejak dua tahun lalu untuk kakak saya yang juga penyanyi, Amira Othman.
“Bila kakak dengar lagu ini, dia suka tetapi terpaksa tolak sebab memikirkan tidak begitu sesuai untuk dinyanyikan sendiri.
“Jadi apabila dia tolak lagu ini, saya ‘sebat’ sebab secara jujurnya, saya sendiri menyukai lirik dan melodi lagu Patung ini,” ujarnya.
Kata Irfan, Patung merupakan antara lagu paling syahdu yang pernah ditulisnya. Tambah Irfan lagi, penghasilan Patung tidak dianggap mudah kerana perlu bermain emosi dan jiwa.
“Patung menceritakan perhubungan seorang lelaki yang dilayan seperti patung, iaitu boneka atau objek yang tidak ada perasaan dan tidak boleh bergerak.
“Lagu ini mewakili perasaan patung itu sendiri dan memberi makna yang penuh emosi,” kata Irfan.

Judul ciplak?
Mengangkat judul lagu yang sama makna dengan single yang dikeluarkan oleh penyanyi, Ernie Zakri iaitu Boneka, Irfan ada jawapan tersendiri.
Menurut bekas peserta program realiti Big Stage 2019 itu, dia sudah mengagak isu persamaan judul lagu Boneka vs Patung pasti akan timbul, memandangkan kedua-dua perkataan itu membawa maksud sama.
Tambahan pula, dia dan Ernie Zakri bernaung bawah syarikat pengurusan yang sama iaitu Rocketfuel Entertainment, sudah tentu ada ‘mulut-mulut’ yang mempersoalkan isu siapa tiru siapa.
Kata Irfan, lagu Boneka telah menemui pendengar terlebih dahulu, iaitu pada Julai lalu. Mahu tidak mahu memang lagu tersebut keluar dahulu berbanding Patung.
“Mesti orang akan bercakap saya tiru dia (Ernie Zakri) tetapi saya tidak boleh salahkan sesiapa sebab pihak Ernie Zakri sendiri tidak tahu saya ada hasilkan lagu bertajuk Patung yang telah difikirkan sejak dua tahun lalu,” ujar penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Redha pada 2016.
Irfan mengambil pendekatan untuk bersikap optimis. Dia enggan menjadikan sesuatu isu yang besar dan sangat berpuas hati dengan produk terbaharu yang dikeluarkan.

Takut PKP
Menyentuh perihal semasa, Irfan mengakui situasi ekoran Covid-19 yang melanda dunia sedikit sebanyak menyekat aktiviti pentasnya.
Mengeluarkan single baharu ketika pandemik masih bermaharajalela sememangnya satu risiko yang perlu dilalui. Biarpun tidak boleh melakukan promosi bergerak, Irfan tetap yakin kuasa media sosial yang banyak membantu melancarkan urusan mempromosikan Patung.
Penyanyi itu tetap memanjatkan rasa syukur kerana sekurang-kurangnya dia mempunyai sesuatu untuk ‘dihadiahkan’ buat peminat.
“Cuma saya harapkan, janganlah ada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) seperti sebelum ini kerana saya tinggal sendirian di ibu kota. Kalau terjadi juga, saya akan segera balik kampung,” katanya menutup bicara.















