DUA figura hebat pentas pengacaraan ini buat pertama kalinya digabungkan mengemudi acara berprestij, Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37).
Jihan Muse dan rakan baiknya, Sherry Alhadad tidak pernah termimpi diberi peranan serta tanggungjawab besar menjadi hos acara besar tersebut yang semestinya ditunggu-tunggu ramai.
AJL37 akan berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil pada 12 Februari ini, pukul 9 malam.
Sherry atau nama sebenarnya, Shariffah Mariam Syed Abdullah AlHadad berkata, peluang diberikan umpama mimpi menjadi kenyataan, terutama buat julung kalinya ‘bersatu’ atas pentas yang sama dengan Jihan.

Kawan baik, masam bersama
Sudah jauh perjalanan seni Sherry dan Jihan. Kini, rezeki ternyata berpihak kepada mereka untuk memberikan yang terbaik sebagai hos AJL37.
“Saya dan Jihan sudah berkawan lama, sejak masih ‘busuk masam’ di pentas teater. Sebelum ini, saya selalu digandingkan dengan hos lelaki.
“Alhamdulillah, dari teater akhirnya kami sekarang mendapat peluang mengacarakan pentas besar seperti AJL37 yang sebelum ini sudah kali keempat saya jayakan,” katanya kepada HibGlam.
Ditanya tentang ‘bantuan’ untuk dihulurkan kepada Jihan yang masih junior dalam AJL, Sherry sejujurnya sudah sedia menurunkan ilmu kepada rakan baiknya itu.
“Saya akan bantu Jihan yang pertama kali terbabit dalam AJL37 dan kami akan banyak berbincang selepas ini untuk memberikan persembahan terbaik.
“Kami akan cuba sebaik yang mungkin,” katanya yang ditemui pada sidang media memperkenalkan pengacara dan tema AJL37 iaitu Dimensi Muzik di ibu negara, baru-baru ini.

– SADDAM YUSOFF
Teruja bersama Sherry – Jihan
Sementara itu, Jihan atau nama lengkapnya, Nur Jihan Musa, 40, tentunya berasa sangat teruja diberi mandat mengacarakan AJL37 dengan Sherry yang sangat rapat dengan dirinya.
“Pada mulanya, saya terkejut dapat tawaran mengendalikan AJL37 sebab memang tak pernah buat. Saya fikir ini rezeki dan saya pun dah lama tak kerja. Kira macam kemunculan semula (comeback) saya dalam bidang pengacaraan.
“Bukan hanya AJL tapi dapat pula bergabung dengan Sherry, memang berganda-gandalah rasa teruja saya kerana kami berdua memang tak pernah digandingkan berdua di pentas besar,” ujarnya.
Selepas dua tahun AJL direalisasikan dalam skala kecil, acara yang diberi jolokan ‘Grammy Malaysia’ itu kembali berlangsung di pentas gah, Axiata Arena.
Pada 12 Februari depan, peminat muzik tempatan dijanjikan pengisian lebih gah, mahsyur dan berbeza apabila AJL37 dipancarkan secara langsung menerusi TV3 dari lokasi tersebut.

AJL37 paling ‘gah’
Penerbit Eksekutif AJL 37, Jamil Hassan memberi jaminan bahawa anugerah tahunan terbabit akan membuatkan khalayak pulang dengan rasa puas hati yang tidak berbelah bahagi.
“Untuk edisi kali ini, apa yang boleh kami katakan, kandungannya sangat berbeza dengan apa yang pernah kita pamerkan.
“Kami sedar program ini mempunyai ramai pengikut dan mereka hendak tahu apa yang akan kami sajikan. Mereka hendak tahu gimik dan ‘props’ yang akan digunakan termasuk dalam aspek kualiti bunyi.
“Peminat pasti mahukan kehebatan segmen pembukaan dan ‘interlude’. Jadi, kami boleh janjikan melalui tema Dimensi Muzik yang diketengahkan, konsepnya diterjemahkan melalui persembahan penyanyi bertanding dan artis undangan.
“Ini merangkumi elemen imbas kembali, refleksi, genre lagu dan zaman,” katanya.
TV3 turut memperkenalkan Muaz Mohamed dan Fiza Frizzy sebagai pengacara Karpet Merah, manakala Imran Aqil dan Nadia Hasnan bertindak hos belakang pentas AJL37.
Seramai 12 finalis bakal berentap untuk merebut trofi AJL37 termasuk Ernie Zakri menerusi lagu Korban, Marsha (Kembali Terang), Aina Abdul (Terus Hidup), Iman Troye (Nang), Shila Amzah dan Liza Hanim (Bahagiakan Dia) serta Joe Flizzow dan SonaOne (Satu Malam di Temasek).
Turut bertanding Alif Satar & The Locos (Anugerah Terindah), Dayang Nurfaizah dan Amir Masdi (Debu), Noki & MK (Payung Pelangi), Khai Bahar (Sengsara), Shiha Zikir (Irama) dan Naim Daniel (Mainan).
Tahun ini peminat yang berhasrat menyaksikan AJL boleh mendapatkan tiket berharga antara RM50 hingga RM300 boleh dibeli dengan melayari laman web www.tonton.com.my.














