SEBAIK tiba di Dataran Merdeka, Kuala Lumpur pada pagi itu, tanpa melengahkan masa Wira Sudepja Rabu, 48, mempersiapkan basikal miliknya.
Tidak lama kemudian, dengan sepenuh kudrat dia mengangkat anaknya untuk diletakkan di dalam trailer khas yang disambungkan dengan basikalnya.
Walaupun anaknya itu, Nur Wadihan, 15, tidak seperti kanak-kanak normal yang lain, ia tidak menghalang Wira Sudepja untuk sering membawanya bersama ketika melakukan aktiviti riadah.
“Anak saya ini sejak dilahirkan berdepan masalah cerebral palsy quadriplegia yang menyebabkan dia terlantar sepenuhnya.
“Punca berlakunya masalah ini kerana abruptio placenta di mana urinya tertanggal sebelum tempoh kelahiran,” katanya kepada K2 sambil menahan sebak.
Tambah Wira Sudepja, kesan daripada itu telah berlaku kecederaan pada otak tahap maksimum sehingga menyebabkan anaknya itu terlantar sepenuhnya walau fizikal kelihatan sempurna.
Biarpun tidak normal seperti kanak-kanak lain, Wira Sudepja dan isterinya Nur Murni Dona Mohd. Nordin, 49, setia membawa anaknya yang mesra dengan panggilan nama Dihan untuk keluar melakukan aktiviti sukan berbasikal dan berlari bersama-sama.

Wira Sudepja berkata, dia memilih untuk membawa bersama anak kesayangannya itu sewaktu melakukan aktiviti tersebut adalah sebagai satu bentuk terapi minda kepada Dihan.
“Selain menjadikannya sebagai satu bentuk terapi saya juga ingin mencipta kenangan bersamanya dengan melakukan aktiviti ini bersama-sama.
“Malah, ada ketikanya Dihan akan ketawa gembira ketika kami berbasikal dan berlari bersama dan itu sudah cukup memberi kepuasan serta kegembiraan kepada saya dan isteri,” kata lelaki berasal dari Sabak Bernam, Selangor itu.
Dihan juga sebenarnya telah melakar sejarah dalam Malaysia Book of Records (MBOR) apabila diiktiraf sebagai gadis penghidap penyakit cerebral palsy yang pertama menyertai kejohanan duathlon di Duathlon Bagan Serai, Perak pada 2018.
Pada kejohanan itu, Wira Sudepja membawa bersama anaknya untuk menyempurnakan disiplin berlari, berbasikal dan kemudian berlari semula kategori sprinter sejauh 48 kilometer (km).
Mengimbau kembali akan kejohanan tersebut, dia bersyukur kerana dapat menamatkan acara itu bersama anaknya dan mencipta rekod.
“Saya berjaya menamatkan larian dan kayuhan dengan keadaan cuaca yang panas dan ada ketikanya anak meragam.
“Saya perlu mendukungnya sambil menepuk badannya bagi menenangkannya sebelum kembali meneruskan larian dan kayuhan,” jelasnya.
Tambahnya, kini ada ketikanya Dihan juga akan meragam sedemikian rupa apabila mereka keluar melakukan aktiviti berbasikal atau berlari dan dia perlu melakukan hal sama untuk menenangkan anak istimewa tersebut.
Selain itu, Dihan sekali lagi mencatatkan rekod MBOR pada 2020 apabila dia bersama keluarganya menyempurnakan kayuhan basikal rentas sempadan Malaysia-Thailand sejauh 222.2km.

Kayuhan bermula dari Wang Kelian, Perlis ke Satun, Thailand dan kemudiannya ke Pat Bara, Thailand sebelum berpatah balik mengikut laluan yang sama hingga ke Padang Besar, Perlis.
Sementara itu, mengimbau kembali saat-saat kelahiran Dihan, Wira Sudepja mengakui kandungan anaknya itu pada mulanya normal seperti yang lain.
Namun, apabila mencapai usia lapan bulan telah berlaku komplikasi urinya tertanggal dan itu telah memberi risiko kepada isteri dan anaknya.
“Oleh demikian pembedahan perlu dilakukan dan Dihan keluar tidak cukup bulan.
“Setelah dilahirkan doktor telah memberitahu saya bahawa harapan Dihan untuk hidup adalah tipis dan hari kedua keadaannya semakin teruk sehingga kami diminta bersedia bagi sebarang kemungkinan,” katanya.
Namun, keajaiban berlaku, Dihan mampu untuk terus bertahan dalam keadaan otaknya mengalami kecederaan kerana komplikasi tersebut.
Sejak dari itu, norma kehidupan Wira Sudepja sekeluarga berubah dan mereka sering menghabiskan masa di rumah.
Malah, tiga tahun selepas kehadiran, imunisasi Dihan juga lemah menyebabkan dia mudah diserang penyakit terutama jangkitan paru-paru atau pneumonia.
Boleh dikatakan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri anaknya itu akan masuk hospital dan menjadi kebiasaan buat Wira Sudepja dengan keluarganya untuk beraya di hospital.
Malah, selepas itu, dia lebih berhati-hati untuk membawa anaknya keluar kerana khuatir tahap kesihatan Dihan.
“Hujung minggu sahaja kami akan duduk terperap di rumah dan itu juga memberi kesan kepada saya dan isteri.
“Saya berdepan dengan anxiety atau serangan panik dan isteri pula berdepan masalah hipertensi,” jelasnya.
Wira Sudepja kemudian, berbincang dengan isteri tercinta dan mereka perlu mengubah cara hidup dan aktif bersukan.
Pada 2014, ketika umur Dihan enam tahun mereka berdua kemudian membawa Dihan untuk beriadah di Putrajaya.
Dia melihat Dihan memberi respons dan ketawa apabila melihat keadaan sekeliling.
“Bermula dari situlah saya mula membawanya berbasikal dan berlari bersama.
“Malah, saya juga memberanikan diri untuk membawa bersama Dihan di kawasan tumpuan awam dengan menyertai acara KL Car Free pada awal 2015 dengan kami berbasikal bersama,” terangnya.
Pada mulanya, Wira Sudepja takut dengan persepsi yang akan dilemparkan orang sekeliling apabila membawa anak istimewa untuk beriadah dengan berbasikal bersama.
Namun, sebenarnya mereka menjadi tumpuan ramai sehingga diraikan oleh Datuk Bandar ketika itu dan ramai yang ingin bergambar dengan mereka berdua.
Sejak itu juga, ia menjadi pencetus untuk dia bersama Dihan untuk lebih aktif melakukan aktiviti larian dan berbasikal bersama-sama.
Sementara itu, Wira Sudepja juga menjelaskan, dia memilih untuk aktif dengan aktiviti tersebut adalah untuk memberi kesedaran kepada ibu bapa di luar sana yang senasib dengannya untuk bersama meraikan anak istimewa.
Atas inisiatif tersebut, dia kemudiannya menubuhkan Kelab Bikeisable pada 2018 bagi membolehkan keluarga yang mempunyai anak istimewa untuk bersama melakukan aktiviti sama ada berbasikal ataupun berlari.
Malah, sehingga kini, dia bersama komuniti lain senasib dengannya aktif melakukan aktiviti tersebut bagi meraikan anak-anak istimewa.
Dalam pada itu, Wira Sudepja mengakui untuk menerima kenyataan dikurniakan dengan anak istimewa bukanlah sesuatu yang mudah buat ibu bapa.
Malah, pada satu tahap dia sendiri buntu dan berasa dunia seakan gelap apabila menerima ujian sedemikian rupa.
“Saya mengambil masa beberapa bulan untuk menerima kenyataan ini selepas membaca satu penulisan tentang ujian yang disebut dalam satu surah dalam al-Quran.
“Pada ketika itu, saya berada di surau di tempat kerja saya dan tiba-tiba Allah menggerakkan hati saya untuk mengambil sebuah buku lama yang langsung tiada kulit untuk dibaca.
“Setelah dibaca ia ada menerangkan tentang ujian dan saya mengalir air mata ketika membacanya dan itulah yang membuatkan saya menerima kenyataan ini,” katanya.















