fbpx
gambar hiasan

Jadi kaya-raya urus badan amal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Sikap busuk segelintir pengasas pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ‘panjang tangan’ untuk menikmati kehidupan mewah hasil daripada sumbangan orang ramai membuatkan mereka gelap mata dengan menyalahgunakan sebahagian derma untuk menjadi kaya raya.

Jika sebelum ini NGO pada asalnya ditubuhkan untuk merancakkan aktiviti kebajikan, namun kini mereka menggunakan peruntukan pengurusan sebanyak 30 peratus yang dicadangkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk kepentingan peribadi.

Kosmo! difahamkan, penyelewengan berlaku melalui kelemahan audit daripada pihak ketiga hingga membuatkan ia berjaya ditembusi pihak yang ingin mengambil kesempatan.

Setakat November 2022, pertubuhan kebajikan yang masih aktif di negara ini dicatatkan sebanyak 27,473, pertubuhan sosial (19,440) dan pertubuhan agama (12,295) daripada 80,263 yang didaftarkan.

Pengurusan NGO tersebut bergerak dengan hasil daripada sumbangan dana awam sebagai tiket bagi menjalani kehidupan mewah di sebalik pertubuhan yang diasaskan mereka.

Mendedahkan kepincangan tersebut, pengasas bersama Scrut, Ahmad Aliff A S Ahmad Shariffuddin berkata, pentadbir NGO meletakkan jumlah gaji dan elaun sesuka hati di bawah caj pengurusan.

Katanya, tiada arahan jelas daripada mana-mana pihak berkuasa yang menyatakan NGO mempunyai had untuk mengambil caj pengurusan.

“Namun, ROS telah menetapkan supaya NGO mengambil 30 peratus daripada jumlah dana sebagai belanja pengurusan.

“Laporan audit tahunan hanya dilakukan secara dalaman sahaja tanpa kawal selia serta semak imbang oleh pihak ketiga. Ia ibarat kelab ping pong sekolah di mana hanya memerlukan tandatangan bendahari dan pengerusi sahaja sebelum dihantar kepada ROS,” katanya ketika dihubungi.

Kutipan derma yang mengunakan nama agama perlu dibelanjakan mengikut peraturan bagi mengelakkan dosa besar. – gambar hiasan

Menurut Ahmad Aliff, ekoran kelemahan tersebut, kemungkinan besar ada NGO yang mengambil lebih daripada 30 peratus dan terdapat pihak yang tidak diaudit sejak sekian lama tetapi masih dibenarkan ber­­o­perasi.

Tambahnya, oleh sebab itulah banyak NGO kini muncul bagaikan cedawan selepas hujan kerana mereka melihat ia sebagai peluang untuk menjadi kaya dengan hasil kutipan besar yang diperoleh.

“Kalau RM100,000 sudah dapat RM30,000 apatah lagi jika dapat kumpul sehingga jutaan ringgit,” katanya.

Ujar Ahmad Aliff, dengan cara itu bukan sahaja pihak atasan, malah ahli jawatan kuasa juga boleh mendapat gaji lebih besar daripada pegawai di syarikat berkaitan kerajaan atau multinasional antarabangsa.

Selain itu, katanya, antara taktik yang digunakan untuk menjadi kaya ialah pengasas NGO menubuhkan kedai serbaguna supaya segala barangan bantuan boleh dibeli di situ menggunakan duit derma.

“Dengan itu, duit yang diperoleh akan menjadi keuntungan yang pasti. Jadi jangan pelik jika NGO mempunyai pasukan publisiti yang ramai untuk memuat naik bahan supaya lebih ramai yang menderma,” katanya.

Menurut Ahmad Aliff, NGO merupakan satu perniagaan baharu yang menguntungkan. Ketika Palestin sedang bergolak, mereka jadikan kejadian itu sebagai modal mengutip duit hingga mampu memasang papan iklan untuk mengutip derma.

“Tetapi berapa banyak yang sampai ke Palestin pun kita tak tahu. ROS sepatutnya mewajibkan kesemua NGO melakukan audit daripada pihak ketiga dengan melampirkan semua resit dan dokumen berkaitan,” katanya.

Bagaimanapun jelasnya, ada NGO yang benar-benar telus dan tulus membantu, namun jumlahnya amat sedikit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN