fbpx
Prasarana akan menambah tren baharu bagi mengatasi masalah kesesakan penumpang pada waktu puncak. – Gambar hiasan

Prasarana hadapi cabaran mengangkut 700,000 manusia sehari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) merupakan nadi pengangkutan awam di negara ini terutamanya di sekitar Lembah Klang.

Hal ini kerana kelancaran pengangkutan awam sangat penting bagi memudahkan pergerakan harian masyarakat serta mengurangkan kesesakan lalu lintas.

Pada tahun lalu, seramai 722,000 orang dilaporkan menggunakan pengangkutan awam kendalian

Prasarana setiap hari. Angka itu jelas menunjukkan kebergantungan orang ramai terhadap pengangkutan awam meliputi tren dan bas.

Bagi mendapatkan penjelasan lanjut berhubung usaha Prasarana dalam menambah baik mutu pengangkutan awam serta cabaran yang dihadapi, wartawan Kosmo! Ahad, ZURAINI MOHD. KHALID menemu bual Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana, Mohd.Azharuddin Mat Sah baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Boleh tuan ulas serba ringkas mengenai pengangkutan awam yang berada di bawah tanggungjawab Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana)?

Mohd. Azharuddin Mat Sah: Prasarana merupakan sebuah syarikat yang dipertanggungjawabkan untuk memacu industri pengangkutan awam di Malaysia.

Perkhidmatan yang terletak di bawah kendalian Prasarana adalah seperti Transit Aliran Ringan (LRT) Kelana Jaya, Monorel Kuala Lumpur, LRT Ampang, LRT Sri Petaling, Transit Aliran Massa (MRT) Kajang, MRT Putrajaya Fasa 1 dan Fasa 2 serta Transit Aliran Bas (BRT) Sunway.

Selain itu, Prasarana dipertanggungjawabkan untuk menyediakan perkhidmatan bas di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Kuantan.

Bermula 1 Januari lalu, perkhidmatan bas di Putrajaya juga berada di bawah kendalian Rapid Bus Sdn. Bhd.

Sepanjang tahun lalu, berapakah jumlah pengguna pengangkutan awam kendalian Prasarana sama ada tren atau bas?

Pada tahun lalu, seramai 722,000 orang telah menggunakan secara harian pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana.

Daripada jumlah ini, 528,000 terdiri daripada pengguna tren, manakala 194,000 adalah pengguna perkhidmatan bas kendalian kami.

Apakah usaha-usaha yang dilakukan Prasarana bagi menarik lebih ramai masyarakat tempatan menggunakan pengangkutan awam dalam usaha mengurangkan kesesakan lalu lintas?

Prasarana mengambil maklum bahawa tahap kesesakan jalan raya adalah semakin meruncing.

Kementerian Pengangkutan melalui Prasarana telah memperkenalkan pas My50. Menerusi pas itu pengguna boleh menggunakan semua pengangkutan awam di bawah kendalian Prasarana dengan hanya RM50 sebulan.

Selain pas My50, kami juga mempunyai MyCity Pass untuk satu hari atau tiga hari yang merangkumi semua rangkaian rel Prasarana (LRT, MRT, Monorel) dan BRT Sunway.

Kami juga ada Pas Keluarga bagi empat orang yang bernilai RM15 untuk digunakan pada hujung minggu dan cuti umum. Kami juga menawarkan kad konsesi yang memberikan diskaun 50

peratus kepada warga emas, orang kelainan upaya dan pelajar ke atas tambang tunai mereka.

Usaha-usaha ini merupakan komitmen kerajaan dalam memperkasakan serta menggalakkan penggunaan pengangkutan awam.

Langkah ini bagi mengurangkan jumlah kenderaan persendirian di jalan raya dan ke arah mencapai 40 peratus penggunaan pengangkutan awam menjelang 2030.

Boleh tuan kongsikan cabaran dan kekangan yang dihadapi oleh Prasarana dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat?

Bagi perkhidmatan rel, kekangan utama yang dihadapi oleh Prasarana pada ketika ini adalah masalah kekurangan alat ganti bagi menyelenggara aset. Masalah ini juga dihadapi oleh negara lain akibat masalah rantaian bekalan global.

Umum mengetahui bahawa pandemik Covid-19 telah menyebabkan pelbagai sektor ekonomi ditutup, sekali gus menyebabkan ‘back log’ dalam inventori barangan yang digunakan untuk penyelenggaraan berkala.

Perang Rusia-Ukraine juga telah memburukkan keadaan hingga menyebabkan kekurangan bekalan dan menyukarkan penyelenggaraan dijalankan dengan lancar.

Kami telah berbincang dengan pihak pengeluar bagi mempercepatkan proses penerimaan alat ganti. Alat-alat ganti sudah mula diterima secara berkala dan kami sedang melaksanakan tugas untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada pengguna.

Sebagai contoh, LRT Laluan Kelana Jaya yang telah berusia lebih 25 tahun perlu dinaik taraf dan Prasarana sedang giat menjalankan aktiviti menaik taraf.

Kami menjangkakan perkhidmatan yang lebih baik menjelang suku ketiga tahun ini. Pihak Prasarana juga telah memperuntukkan sebanyak RM2.8 bilion bagi projek-projek penambahbaikan dan naik taraf termasuk mengganti tren-tren baharu dan sistem persemboyanan.

Cabaran lain yang dihadapi adalah mengekalkan tenaga kerja mahir bagi memastikan kesinambungan serta kemampanan perkhidmatan.

Bagi perkhidmatan bas pula, cabaran utama kami adalah bas-bas yang sudah berusia dan kekurangan jumlah bas yang berada di jalan raya.

Untuk ini, kami akan menambah bilangan bas dan mengganti bas-bas termasuk memperkenalkan bas elektrik. Selain itu, masalah ketepatan masa perkhidmatan dan mutu kerja kakitangan adalah cabaran yang memang diberi perhatian yang serius.

Salah satu faktor orang ramai enggan menggunakan pengangkutan awam adalah disebabkan kepadatan penumpang pada waktu puncak. Boleh tuan ulas perkara ini?

Bagi perkhidmatan rel, kepadatan penumpang terutamanya pada waktu puncak bukan sahaja berlaku di negara ini, malah turut dihadapi oleh bandar besar lain.

Justeru, kami mengambil langkah proaktif bagi mengatasi isu ini, termasuk menambah tren baharu dan menjalankan penyelenggaraan berkala yang berterusan.

Ia bagi memastikan lebih banyak bilangan tren dapat beroperasi, sekali gus mengurangkan masa menunggu serta kepadatan yang dialami.

Bagi perkhidmatan bas, kami mengambil maklum bahawa jumlah bas yang sedia ada adalah tidak mencukupi. Pada ketika ini, sebanyak 1,183 buah bas beroperasi setiap hari.

Pihak Prasarana akan menambah kira-kira 300 bas pada tahun depan dan 100 daripada jumlah tersebut adalah bas elektrik.

Kami juga akan menilai semula laluan serta jenis bas yang digunakan termasuk memperkenalkan kembali perkhidmatan bas mini.

Ini dapat memastikan lebih banyak laluan boleh diperkenalkan dan masa menunggu dapat dikurangkan.

Sebelum ini, menteri memaklumkan bahawa 16 lif, 46 eskalator, 664 lampu tidak berfungsi di stesen monorel, LRT di KL. Difahamkan ia berlarutan agak lama. Boleh tuan jelaskan isu ini?

Seperti yang dinyatakan di atas, sebahagian daripada masalah yang dihadapi Prasarana pada hari ini adalah disebabkan daripada kekurangan bekalan alat ganti.

Peruntukan yang diterima telah digunakan untuk membeli alat ganti, namun tempahan yang dibuat tidak dapat dipenuhi oleh syarikat pembekal akibat gangguan rantaian bekalan global.

Kami kini menerima penghantaran alat ganti secara berkala dan kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan.

Bagi eskalator, kerja-kerja baik pulih sedang dijalankan. Setakat ini, sebanyak 35 eskalator masih tidak berfungsi. Sebaik sahaja alat ganti diterima, kerja baik pulih akan segera kami lakukan. Kami menjangka kerja-kerja ini akan siap dilakukan pada Februari.

Bagi lif, sebanyak 18 lif tidak berfungsi di stesen monorel akibat daripada kecacatan struktur serta keselamatan. Kami sedang dalam proses menyelesaikan isu ini. Proses tender telah selesai dan kerja-kerja pembaikan akan bermula dalam suku pertama tahun ini.

Pada ketika ini, kurang daripada satu peratus jumlah lampu di stesen-stesen yang tidak berfungsi. Perlu ditekankan bahawa penggantian lampu-lampu ini adalah proses berterusan.

Kami telah mula menjalankan program predictive maintenance dengan menggunakan data dan teknologi dalam penyelenggaraan aset serta fasiliti.

Prasarana mempunyai pasukan audit dalaman sendiri yang membuat pemantauan secara berkala terhadap fasiliti. Adakah selepas ini Prasarana memerlukan pasukan audit luar?

Kami telah memperkenalkan audit kesediaan dan siap siaga stesen (AKSES), suatu program audit kendiri di bawah pemantauan Kementerian Pengangkutan. Ia dijalankan oleh pengurus stesen setiap tiga bulan sekali untuk memastikan kemudahan dan fasiliti dalam keadaan baik.

Pada November lalu, sebanyak 16 stesen LRT Kelana Jaya ditutup selama beberapa hari disebabkan masalah teknikal. Boleh tuan ceritakan apa yang berlaku?

Keselamatan penumpang adalah keutamaan kami. Pada ketika itu, Prasarana telah membuat keputusan sukar untuk menutup 16 stesen di LRT Laluan Kelana Jaya demi keselamatan penumpang.

Apabila kami menghadapi situasi luar jangka pada November lalu, jurutera-jurutera kami telah segera menjalankan diagnostik dan analisa.

Perlu ditegaskan di sini bahawa jurutera tempatan mempunyai kepakaran untuk memperbaiki masalah yang timbul. Namun, pihak pengeluar peralatan asal (OEM) dari Kanada yang dibawa ke sini

adalah untuk memastikan langkah diambil dan dilaksanakan adalah tepat.

Kami yakin dengan kepakaran yang dimiliki oleh tenaga kerja tempatan serta penyelenggaraan berterusan serta naik taraf sistem. Kami akan terus berusaha agar situasi seumpama itu tidak berulang lagi.

Ada pihak mendakwa Prasarana mengabaikan penumpang apabila berlaku masalah kerosakan tren?

Pertama sekali, kami ingin memohon maaf atas segala kesulitan yang dihadapi sehingga ada yang merasakan seperti mereka diabaikan.
Masalah teknikal yang dihadapi tempoh hari pada LRT Laluan Kelana Jaya adalah masalah yang serius dan tidak pernah dihadapi sebelum ini.

Pada ketika itu, Prasarana telah mengaktifkan satu pelan tindakan terutamanya dalam memastikan bas tambahan atau feeder bus dapat disediakan dengan segera bagi mengurangkan kesesakan di stesen.

Semasa gangguan berlaku, Prasarana telah menyediakan 100 buah bas tambahan di stesen, di samping meletakkan lebih ramai polis bantuan untuk mengawal penumpang.
Perkara yang dilakukan ketika itu adalah sebahagian daripada pelan sedia ada yang diaktifkan mengikut keperluan.

Pada tahun ini, apakah perancangan dan usaha yang bakal dilakukan oleh Prasarana?

Pada tahun ini, Prasarana akan terus memberikan fokus untuk memperkasa khidmat pelanggan dan juga mutu perkhidmatan.

Apabila MRT Laluan Putrajaya dibuka sepenuhnya pada Mac nanti, dijangka lebih kurang 100,000 penumpang dalam sehari akan memperoleh manfaat pada tahun pertama perkhidmatan tersebut.
Permintaan ini dijangka akan meningkat tahun demi tahun.

Bagi LRT 3 pula, proses pembinaan sedang giat dijalankan dan dijangka akan dibuka pada Mac 2025.

Setakat hari ini, projek tersebut 80.62 peratus siap. Jajaran ini dijangka akan memberi manfaat kepada penduduk di Shah Alam, Selangor.

Difahamkan, Prasarana telah memperkenalkan satu aplikasi khas. Boleh tuan ulas aplikasi ini?

Aplikasi ini bagi memudahkan pengguna mendapatkan maklumat penting seperti masa menunggu, notis perjalanan terkini, pengiraan tambang, masa perjalanan tren, bas dan sebagainya. Prasarana telah memperkenalkan sebuah aplikasi mudah alih PULSE yang boleh dimuat turun di Google Play atau Apple Store.

Sehingga kini, PULSE mempunyai hampir 65,000 pengguna aktif. Dengan aplikasi ini, pengguna dapat melihat jadual serta pergerakan tren dan bas. Ini memudahkan pengguna mengatur masa kerana semua informasi berada di dalam satu aplikasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN