SEBAGAI pucuk muda dalam industri dengan usia pengalaman setahun jagung, skeptikal yang sering berlegar dalam kalangan masyarakat ialah jangka hayat kerjaya dan populariti artis baharu selalunya sukar untuk bertahan lama.
Pendek kata, kehadiran mereka diibaratkan seperti one-hit wonder memandangkan sudah banyak kes berlaku apabila karier seseorang penyanyi menjunam kerana meraih populariti dalam masa singkat.
Tanggapan sebegitu ternyata menghasut pemikiran penyanyi Luqman Faiz. Akuinya, ada terbit perasaan bimbang di penjuru hati memikirkan apakah dia masih relevan dan diterima peminat.
Semuanya gara-gara perancangan karier yang tidak begitu kemas disusun sejak memulakan debut dalam industri menerusi lagu hit Kepuraanmu pada 0gos 2018.
Populariti yang terhampar depan mata ketika itu hanya mampu bertahan buat seketika. Dia pula membazirkan masa setahun tanpa kehadiran material terbaharu untuk mengekalkan konsistensi Kepuraanmu.

Entah di mana silap, kehadiran single kedua Luqman berjudul Takhta Cinta tahun lalu seakan-akan tidak disedari peminat. Sambutan yang diterima cukup dingin dengan hanya berjaya mengaut jumlah tontonan sebanyak lebih sejuta dalam laman YouTube.
“Sepatutnya artis baharu seperti saya perlu fokus untuk meluncurkan genre yang serupa, paling kurang untuk single pertama dan kedua supaya orang kenal identiti Luqman Faiz. Lagu Takhta Cinta sebenarnya bukanlah genre balada sepenuhnya.
“Saya akui salah sendiri yang tidak pandai menyusun percaturan dengan kemas dan tidak memandang jauh perkara ini ketika mengeluarkan single kedua,” tuturnya membuka gelanggang perbualan ketika bertemu dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Fokus belajar
Pertemuan bersama penyanyi berusia 20 tahun itu yang diadakan di Hotel CitizenM di ibu kota tempoh hari cuba menyingkap punca sehingga perjalanan karier nyanyiannya seperti terhalang.
Kongsi anak kedua daripada tiga beradik itu, fokusnya dalam bidang seni sedikit terganggu disebabkan perhatiannya tertumpah ke arah akademik.
Sentiasa memegang amanat ibu agar menjadikan pelajaran sebagai perkara paling utama dalam hidup, pelajar jurusan muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor itu berteguh mahu meneruskan perjuangannya.
“Sejujurnya saya akui memang ada perasaan risau jika mula dilupakan peminat. Kadang-kadang terfikir juga, adakah saya masih relevan dalam industri memandangkan kehadiran wajah pelapis silih berganti.
“Cuma perkara yang menjadikan karier saya sedikit terbantut disebabkan fokus meneruskan pengajian. Masa saya lebih banyak dihabiskan dengan menghadiri kuliah, jadi peluang untuk bekerja di studio bagi merakamkan lagu agak terhad,” jelasnya akan muncul dengan sebuah album mini tidak lama lagi.
Menyentuh tentang material terbaharu, Luqman bersedia memanaskan enjin karier dengan persiapan meluncurkan beberapa buah lagu yang akan dimuatkan dalam sebuah album mini kelak.
Setakat ini, dia sudah merakamkan tiga buah lagu baharu. Satu daripadanya dihasilkan komposer Sirkhan Daniel, sementara sebuah lagi lagu mendapat sentuhan bersama rakan penyanyi Haqiem Rusli.
“Ada sebuah lagu baharu berjudul Loco Loco bergenre reggae sudah siap sepenuhnya sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) beberapa bulan lalu lagi tetapi tergendala disebabkan jadual promosi terganggu.
“Begitu juga dengan lagu ciptaan Sirkhan. Cuma sekarang saya masih menunggu masa untuk menantikan single baharu dilancarkan secara rasmi. Seperti yang dikatakan awal tadi, saya perlu bijak membuat percaturan.
“Jadi untuk single terkini yang akan dikeluarkan tidak lama lagi, saya pilih lagu genre balada. Dengan harapan peminat masih mengingati saya sebagai penyanyi balada,” katanya berbaur harapan menggunung.

Dakwah kecil
Bicara kemudian terarah tentang survival dalam industri dengan status artis baharu yang baru merangkak mencari sesuap nasi. Pada masa sama, negara berdepan tamparan hebat Covid-19 sehingga merencatkan pendapatan semua orang,
Barisan selebriti juga tidak terkecuali daripada menerima tekanan bertubi-tubi. Bagi Luqman, industri hiburan antara sektor paling goyah berdepan Covid-19 apatah lagi kini beberapa negeri pula diisytiharkan kawasan zon merah sehingga menuntut pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Mungkin tidak sehebat artis lain yang mempunyai perniagaan lebih besar dan kukuh, penyanyi muda itu juga cuba mencari peluang dengan menjalankan perniagaan tudung dan selendang, @daunshawl.
“Meskipun tidaklah sebesar mana dan hanya fokus kepada perniagaan dalam talian, tetapi alhamdulillah saya boleh katakan bisnes ini berjalan baik dan mendapat sambutan daripada pembeli.
“Saya jalankan bisnes ini bersama bekas kekasih sebelum kami berpisah. Sekarang, tiada istilah janggal sebab kami profesional menjalankan kerja. Untuk apa bermasam muka, alang-alang bisnes sudah berjalan, jadi kami teruskan sahaja,” katanya.
Dalam banyak-banyak cabang perniagaan, Luqman memilih untuk menjual tudung. Nampak sedikit janggal, namun ada alasan menarik cuba dipertahankan.
Kata penyanyi yang gemar bersendirian dalam bilik gelap itu, bisnes tudung ada potensi jauh kerana dia memiliki ramai peminat dalam kalangan wanita.
“Saya ada ramai peminat perempuan, jadi saya fikir dengan cara menjual tudung, mereka akan jadi lebih seronok dan teruja untuk memakai hijab.
“Zaman sekarang, media sosial mudah mempengaruhi orang untuk buat perkara negatif. Apatah lagi kalangan remaja yang mudah tergugat kalau melihat orang lain bebas berfesyen.
“Selain jana pendapatan sampingan, ini antara usaha dan cara mengajak peminat supaya kekal cantik dengan bertudung. Sekurang-kurangnya ini adalah dakwah kecil yang saya lakukan kepada orang lain,” kata Luqman bersulam mood positif seraya menamatkan perbualan.

Tajaan lokasi: Hotel CitizenM
Instagram: @citizenm
Tatarias: Elmanda Zuhairy
Instagram: @elmandazuhairy














