KETERUJAAN Razi Jamit tatkala melangkah masuk ke kedai coklat terbesar di Lembah Klang, Souq Shoppe @ Putra Mosque (Souq Shoppe) pada pagi itu jelas terpancar di wajahnya.
Walaupun kedai itu baru sahaja dibuka tidak sampai satu jam dan masih lengang, namun lelaki kelahiran Mersing, Johor itu langsung tidak mengendahkan suasana tersebut.
Langkah kakinya laju menuju dari satu rak ke satu rak yang menawarkan pelbagai jenis coklat tempatan dan diimport itu.
Tarikan terbaharu yang terletak di Presint 1, Putrajaya itu berada betul-betul bersebelahan dengan Masjid Putra.
Ia merupakan kedai coklat terbesar di Lembah Klang dengan keluasan 11,000 meter persegi.
Razi yang merupakan pengasas dan pemilik agensi pelancongan bertapak di Johor Bahru, Johor itu berkata, dia baru pertama kali menjejakkan kaki di kedai coklat yang pernah tular dalam media sosial berkenaan.
“Kalau ikutkan, ini kali pertama saya sampai di kedai Souq Shoppe. Sebelum ini memang pernah tengok dan tonton dalam TikTok.
“Apabila ada peluang sebegini, memang saya tidak lepaskan. Saya pula seorang ‘hantu’ dan peminat tegar coklat. Jadi rugilah kalau tidak singgah,” katanya ketika ditemui K2.
Lelaki berusia 33 itu merupakan salah seorang peserta pada program Discover Putrajaya 2022 anjuran Tourism Malaysia dengan kerjasama Perbadanan Putrajaya bersama agensi pelancongan dan wakil media tempatan baru-baru ini.
Menurut Razi, kedatangannya ke premis manisan berkenaan disambut baik oleh kakitangan termasuk pengurus kedai yang tidak lekang dengan senyuman pada bibir.
“Pelbagai barisan coklat daripada jenama terkenal dari dalam dan luar negara ditawarkan di sini.
“Harga yang ditawarkan juga sama murah dan berpatutan dengan apa yang kita biasa dapat di Langkawi (Kedah). Cuma satu bezanya di Souq Shoppe, produk yang dijual tidak bebas cukai seperti di pulau peranginan popular itu,” ujarnya.
Menariknya, kedai itu turut menampilkan photo booth gergasi terbesar Reese dan Hershey’s yang pertama seumpamanya di negara ini.
Pengurus kanan DR Group Holdings Sdn. Bhd., Mohd. Shafiq Aswad Abd. Rashid berkata, konsep kedai yang mula dibuka pada 15 Oktober 2021 itu diilhamkan untuk memberi pengalaman baharu kepada pengunjung ketika membeli-belah.
Katanya, pengunjung yang hadir berpeluang merakamkan gambar kenangan bersama insan tersayang dalam alam fantasi dengan reka bentuk dalaman dilengkapi lampu berwarna-warni dan struktur klasik.
“Kami memilih lokasi Putrajaya kerana sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, pusat pentadbiran ini menerima kedatangan antara 100 hingga 140 bas pelancong sehari.
“Pembukaan kedai ini amat bertepatan kerana di sini (Putrajaya), tiada tempat yang khusus buat pelancong membeli cenderamata untuk dibawa pulang.
“Justeru, idea membuka kedai coklat di sini sangat kena kerana tidak sekadar menjadi pusat sehenti untuk pelancong membeli-belah, namun membantu memperkenalkan nama Putrajaya ke mata dunia secara tidak langsung,” katanya.

Mengulas mengenai rekaan dalaman dan susun atur kedai, Mohd. Shafiq Aswad berkata, terdapat tiga sudut bergambar disediakan di Souq Shoppe.
Jelasnya, salah satu sudut yang menarik perhatian pengunjung adalah di depan pintu masuk utama dan di dalam kedai dengan menampilkan mesin Hershey’s Candy.
Untuk makluman, mesin tersebut pernah dipamerkan di Lapangan Terbang Changi, Singapura sebelum ini.
“Ruang bergambar itu bertujuan memberi pengalaman kepada pengunjung selari dengan slogan Souq Shoppe, experiential and enjoyable shopping.
“Pencahayaan dan reka bentuk dalaman seperti lantai serta dinding lama bercorak Maghribi dikekalkan untuk memberi suasana berbeza kepada pengunjung,” katanya.
Kedai berkenaan mampu memuatkan 100 orang pada satu-satu masa.
Seiring kedatangan ramai pengunjung ke kedai itu, pelaburan sebanyak RM5 juta diperuntukkan membabitkan pembangunan fasa kedua yang turut melibatkan muzium sedia ada.
Katanya, pembinaan fasa kedua yang bermula pada bulan ini melibatkan kerja-kerja pembukaan kedai makan termasuk jenama francais popular.
“Buat masa ini, kami cuma ada sebuah kedai makan. Selepas ini, kami akan buka lebih banyak kedai makan melibatkan francais popular.
“Sebuah ruang untuk kedai makan terbuka (open food court) juga bakal dibuka pada tahun ini dalam usaha memberi lebih banyak pilihan kepada pengunjung ketika datang membeli-belah di sini,” katanya.
Mengenai muzium pula, dia memaklumkan, ia bakal ditambah baik dengan memaparkan sejarah Putrajaya secara ikonik termasuk bangunan, struktur dan pelbagai acara bersejarah yang pernah diadakan di situ.
“Apabila siap sepenuhnya nanti, kedua-dua tarikan ini bakal memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung iaitu membeli-belah sambil mengenali Putrajaya,” tuturnya.














