KOTA BHARU – Sebanyak 78 buah sekolah di Kelantan yang terjejas akibat banjir baru-baru ini telah pulih sepenuhnya dan bersedia untuk memulakan sesi persekolahan pada tahun ini.
Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan (JPNK), Mohd. Zin Halim berkata, daripada jumlah itu, ia melibatkan sebanyak 18 buah sekolah menengah dan 60 buah lagi sekolah rendah.
Menurutnya, sepanjang tempoh banjir baru-baru ini, sebanyak 114 buah sekolah di Kelantan dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang menempatkan mangsa banjir dan ia sudah ditutup sepenuhnya.
“Selain itu, kerusi dan meja di sekolah yang rosak akibat banjir juga melibatkan jumlah yang minimum dan tiada sebarang pembelian kelengkapan baharu kedua-dua barangan tersebut untuk sekolah.
“Sebagai penyelesaian, lebihan kerusi dan meja dari sekolah-sekolah lain dihantar ke sekolah yang memerlukan. Jumlah barangan yang dihantar juga minimum,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd. Zin yang menanggung tugas Pengarah JPNK berkata, bagi kerosakan melibatkan buku teks, ia berpunca daripada rumah mangsa yang terjejas banjir.
Menurutnya, oleh itu, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) (Simpanan Berpusat) dan Kementerian Pendidikan (KPM) akan menggantikan segera buku-buku teks yang rosak.
“Bagi kerosakan melibatkan komputer dan komputer riba akibat banjir, ia akan diganti oleh pihak syarikat yang memberi sewaan.
“Pelbagai bantuan dalam pelbagai bentuk diterima daripada banyak pihak termasuk Istana Kelantan, KPM, kerajaan negeri, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Jabatan Kerja Raya, Tenaga Nasional Berhad, Kumpulan Penggerak Pelibatan Ibu Bapa, Komuniti dan Swasta (PIBKS) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
“Selain itu, JPNK banyak menerima bantuan sukarelawan pembersihan termasuk dari KPM, JPN, PPD , PIBKS, NGO, agensi kerajaan dan swasta selain masyarakat setempat,” katanya. – KOSMO! ONLINE














