fbpx
Gegaran tersebut turut dirasai pengguna Lebuh raya Utara-Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora. -Gambar hiasan.

Buang masa ‘sangkut’ di Terowong Menora

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

IPOH – Kekerapan kemalangan sehingga mengakibatkan kesesakan luar biasa di sepanjang laluan Terowong Menora di Lebuh Raya Utara-Selatan bukanlah perkara baharu, malah telah berlarutan sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Keadaan menjadi lebih rumit apabila berlakunya pertambahan kenderaan di lebuh raya berkenaan terutama ketika musim cuti perayaan mahupun cuti persekolahan.

Kesan daripada situasi ini mengakibatkan pengguna perlu menempuh perjalanan panjang selain terpaksa menghabiskan masa berjam-jam di atas jalan raya akibat kesesakan yang berpunca daripada kemalangan di kawasan berkenaan.

Terowong Menora mula dibuka kepada pengguna pada tahun 1986 dan terletak di bawah Banjaran Keledang, Perak.

Terowong sepanjang 800 meter ini merupakan sebahagian daripada Lebuh Raya Utara-Selatan iaitu antara Plaza Tol Ipoh dengan Kuala Kangsar.

Bagi pengguna jalan raya, terowong ini dianggap sebagai ‘laluan paling berisiko’ dan sangat berbahaya terutama bagi kenderaan berat seperti bas ekspres dan lori.

Terbaharu, orang ramai mela­hirkan rasa tidak puas hati dengan kesesakan sepanjang 17 kilometer (km) pada Isnin lalu apabila sebuah kereta terbakar di KM259 arah selatan berhampiran dengan Terowong Menora.

Berdasarkan laporan, kesesakan sepanjang 5km dilaporkan berlaku pada awal insiden kebakaran itu, namun berlarutan sehingga 17km akibat penutupan lorong kiri di kawasan insiden.

Kesesakan teruk turut berlaku pada 12 Mei lalu, apabila kemalangan di KM246 yang meragut lima nyawa penuntut Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) menyebabkan trafik sesak 13km.

GAMBARAN dari pandangan atas menunjukkan lokasi Terowong Menora
di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Seorang pengguna lebuh raya, Mohd. Syafiq Hamzah, 34, berkata, dia yang kerap menggunakan laluan tersebut untuk urusan kerja pernah berhadapan dengan kesesakan akibat kemalangan di kawasan terbabit.

“Ketika itu, kemalangan hanya melibatkan dua buah kenderaan, namun kesesakan yang berlaku sangat luar biasa apabila orang ramai memperlahankan kendera­an masing-masing.

“Memang sangat takut jika keadaan itu (kemalangan) berlaku kerana sudah tentu trafik menjadi perlahan sehingga menjejaskan waktu perjalanan yang telah dirancang,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.

Pengalaman sama turut disua­rakan seorang jurujual, Nur Asiah Md. Razali, 29, yang berkata, laluan sebelum dan selepas terowong berkenaan memang agak berbahaya terutama ketika musim perayaan dengan kehadir­an banyak kenderaan di atas jalan raya.

GAMBAR fail menunjukkan kemalangan yang berlaku di dalam Terowong Menora sehingga mengakibatkan kesesakan pada 19 Februari 2018.

Ujarnya, kesesakan paling t­eruk berlaku ketika Hari Raya Aidilfitri apabila orang ramai mula berpusu-pusu pulang ke kampung halaman.

“Sudah menjadi lumrah akan berlaku kesesakan di Terowong Menora ini menghala ke Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Sungai Perak. Tersangkut dalam ke­sesakan lebih sejam atau dua jam adalah biasa,” katanya.

Dalam pada itu, seorang mekanik, Shahrul Nizam Mohd. Ramli, 42, berkata, dia berharap kerajaan segera melaksanakan laluan alternatif yang dikatakan telah diluluskan sebelum ini.

“Jika tak silap saya, menteri sebelum ini pernah umum akan wujudkan laluan alternatif agar pengguna tak perlu lalu lagi Te­rowong Menora.

“Kalau betul harap disegerakanlah projek itu kerana ia menjimatkan masa dan orang ramai tak perlu berhadapan risiko ke­sesakan akibat kemalangan lagi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, cadangan pembinaan laluan alternatif atau pintas sejauh 64km itu telah diluluskan oleh Kabinet pada Mei lalu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dilaporkan berkata, laluan itu akan bermula dari susur keluar Gopeng melalui Seputih sebelum keluar di Kuala Kangsar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN