fbpx
Abu sisa al-Quran yang rosak dilepaskan di tengah laut iaitu kira-kira 12 batu nautika dari Jeti Jabatan Laut, Pelabuhan Klang, Selangor. – AFIQ RAZALI

6.8 tan abu al-Quran dilupus ke laut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TEPAT pukul 9.30 pagi, kapal Pedoman yang dikemudi oleh Kapten Azlan Aziz mula berlayar dari Jeti Pusat Latihan Jabatan Laut di Pelabuhan Klang, Selangor menuju ke samudera luas.

Destinasi yang dituju pada pagi itu adalah sejauh 12 batu nautika dari jeti berkenaan.

“Perjalanan menuju ke destinasi ini mengambil masa hampir dua jam dari jeti,” ujar Azlan sebaik kapal bergerak.

Pada pagi itu, Azlan merupakan individu bertanggungjawab mengemudi kapal yang membawa abu al-Quran untuk dilepaskan di tengah laut.

Pelepasan abu al-Quran ke dalam laut itu merupakan sebahagian daripada Program Pemuliaan al-Quran yang dianjurkan oleh Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) dengan kerjasama Jabatan Laut Malaysia (JLM).

Pengarah Jawi, Datuk Mohd. Ajib Ismail berkata, memelihara kesucian dan menghormati al-Quran merupakan satu amanah yang amat besar.

Menurutnya, ia merupakan lambang keimanan kita kepada Allah SWT.

“Kita bukan hanya diperintahkan untuk membaca, memahami serta mengamalkan isi kandungan al-Quran.

“Malah, kita berperanan dalam memelihara kesucian dan kemuliaan al-Quran sama ada kitab suci ini masih elok ataupun sudah rosak. Jika sudah rosak, ia perlu dilupuskan dengan cara yang betul dan terhormat,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Ajib memaklumkan, pada program tersebut sebanyak 6,864 kilogram (kg) atau 6.8 tan abu al-Quran yang dikumpul sepanjang kerja-kerja pengurusan pemuliaan dibuang ke laut.

Usaha tersebut selaras dengan keputusan diputuskan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-30 pada 22 Ogos 1992.

Jawatankuasa berkenaan menyatakan bahawa pelupusan al-Quran atau bahan-bahan yang mengandungi ayat suci al-Quran hendaklah dibakar secara menyeluruh tanpa tertinggal mana-mana bahagian.

“Bahan-bahan mengandungi ayat suci al-Quran yang telah dibakar hendaklah dikumpul supaya tidak ditiup angin atau bersepah.

“Bahan yang telah dibakar hendaklah ditanam pada tempat yang bersih dan tidak dilalui orang. Ia juga boleh dibuang ke dalam laut atau sungai yang mengalir airnya,” katanya.

Tambahnya, kerja-kerja pembakaran hendaklah dikawal selia oleh pegawai jabatan agama Islam atau pihak yang mahu melupuskan bahan-bahan itu.

Sementara itu, Mohd. Ajib berkata, Jawi telah menerima dan menguruskan sebanyak 30,886kg al-Quran yang rosak akibat banjir daripada pelbagai pihak.

“Walaupun teks atau bahan al-Quran diterima di luar kemampuan fasiliti yang Jawi ada, namun kami sebagai agensi agama Islam mengambil tanggungjawab ini bagi memastikan ia dilupuskan dengan cara betul.

“Kerja-kerja menguruskan pemuliaan al-Quran yang rosak akibat banjir telah dijalankan sejak Disember tahun lalu. Namun, proses terakhir iaitu pembuangan abu ke laut dilakukan dengan kerjasama JLM,” katanya.

BEGINILAH rupa abu al-Quran dalam bentuk bongkah.

Tambahnya, Jawi terlibat mengumpul al-Quran yang rosak dari kawasan terlibat dengan bencana banjir, membantu kerja-kerja pengurusan pemuliaan kitab berkenaan seperti pengasingan, pengeringan serta pembakaran sehingga membentuk bongkah abu.

Sebelum itu, Pusat Pemuliaan al-Quran Darul Kalam yang beroperasi di Raudhatul Sakinah, Kuala Lumpur di bawah kendalian Jawi telah menerima banyak al-Quran rosak untuk dilupuskan termasuk akibat banjir melanda Lembah Klang dan Pahang pada penghujung tahun 2021.

Justeru, aktiviti pelepasan abu al-Quran ke laut dilaksanakan setelah melalui proses pembakaran dalam relau pelupusan di Darul Kalam dengan cara betul menurut panduan syarak.

Kerja-kerja pelepasan abu al-Quran ke laut dilaksanakan bagi memastikan Darul Kalam mampu menampung permintaan tinggi daripada pelbagai pihak yang ingin menghantar bahan dan teks mengandungi ayat suci al-Quran bagi tujuan pemulihan.

Mohd. Ajib juga menambah, terdapat hikmah di sebaliknya kejadian banjir apabila ramai pihak turun membantu dalam kerja-kerja berkaitan pengurusan al-Quran yang rosak.

“Tugas ini tidak terhad kepada agensi agama sahaja. Malah, ia merupakan usaha murni dan tanggungjawab bersama yang perlu dilakukan oleh semua umat Islam dalam memelihara kemuliaan al-Quran sebagai Kalamullah.

“Jawi sendiri menerima banyak bantuan dan kerjasama daripada pihak yang ingin sama-sama membantu dalam kerja pengurusan serta pelupusan al-Quran.

“Antara pihak yang terlibat adalah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (SWCorp), Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Alam Flora, Jabatan Laut Malaysia dan lain-lain agensi.

“Tidak terkecuali individu-individu yang sudi membantu sebagai sukarelawan dalam kerja-kerja pengurusan pemuliaan al-Quran,” terangnya.

Sementara itu, Mohd. Ajib menjelaskan, kerja-kerja pemuliaan al-Quran yang telah rosak akibat banjir mengambil sedikit masa kerana ia perlu dibakar dengan menggunakan kaedah manual.

“Ia perlu melalui beberapa proses seperti pengumpulan dan pengeringan. Kebanyakan al-Quran yang rosak kerana banjir telah basah dan kotor.

“Jadi, ia perlu dikeringkan terlebih dahulu selama beberapa hari (bergantung kepada keadaan cuaca) sebelum dibakar.

“Bagi buku tulisan biasa yang di dalamnya terkandung ayat suci al-Quran, kami akan cerakinkannya terlebih dahulu,” jelasnya.

Dalam pada itu, Mohd. Ajib berkata, pusat pemuliaan di bawah seliaan Jawi hanya berupaya melupuskan 150kg naskhah al-Quran sehari.

Justeru, Jawi merancang untuk membina sebuah lagi pusat pemuliaan al-Quran di Bukit Jalil, Kuala Lumpur bagi meningkatkan keupayaan melupuskan kalam suci itu.

Jelasnya, menerusi pusat pemuliaan baharu itu keupayaan melupuskan naskhah suci boleh dipertingkatkan sebanyak tiga kali ganda berbanding kadar sedia ada iaitu sehingga setengah tan sehari menerusi teknologi moden.

“Jika pusat pemuliaan ini diluluskan dan ada peruntukan, proses pelupusan akan menjadi lebih pantas dengan menggunakan teknologi lebih maju dan bukan secara manual lagi.

“Pembinaan pusat pemuliaan ini masih dalam perancangan dan kami akan utarakannya kepada pihak atasan untuk mendapatkan kelulusan bajet,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN