fbpx
Aaliyah yang merupakan Ratu Luncur Air Negara juga pelajar di pusat latihan tersebut.

‘Sekolah’ luncur air di Putrajaya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

CUACA cerah di langit sekitar kawasan Marina Putrajaya pada pagi itu membuatkan Aaliyah Yoong Hanifah, 19, makin bersemangat turun ke tasik bagi menjalani latihan sukan air kegemaran yang diminatinya sejak berusia lima tahun.

Seperti kebiasaan, sebelum menjalani latihan rutin itu, Aaliyah yang juga merupakan atlet luncur air negara terlebih dahulu membuat pemeriksaan segera bagi memastikan segala peralatan digunakan tidak mengalami masalah teknikal.

Selepas pemeriksaan selesai, Aaliyah bersama rakan pasukan lantas menghidupkan enjin bot seterusnya mengemudinya ke tengah tasik bagi menjalani latihan serta mengasah bakat masing-masing.

Menurut Aaliyah, dia akan memperuntukkan masa kira-kira 90 minit sehari untuk berlatih di air dengan melibatkan dua sesi iaitu pada waktu pagi dan sebelah petang.

“Biasanya, sesi latihan saya di Pusat Latihan Waterski & Wakeboard World Cup ini dilakukan selama enam hari seminggu iaitu bermula Selasa hingga Ahad. Bagaimanapun, tiada latihan pada hari Isnin dan boleh berehat ketika itu.

“Untuk setiap latihan, saya akan berlatih sebanyak tiga sesi iaitu dua sesi pada waktu pagi dan satu sesi lagi selepas makan tengah hari. Untuk setiap sesi pula, saya akan menghabiskan masa kira-kira 30 minit di dalam air,” katanya ketika ditemui Panorama baru-baru ini.

Anak gadis itu merupakan salah seorang pelajar yang mengikuti latihan sukan luncur air di Pusat Latihan Waterski &Wakeboard World Cup yang beroperasi di Marina Putrajaya sejak tahun 2008.

Pusat latihan luncur air itu yang turut dikenali sebagai ‘sekolah’ luncur air boleh dikatakan antara keunikan yang ada di Putrajaya. Di sini, siapa sahaja yang berminat termasuk murid sekolah boleh mempelajari atau mengikuti latihan luncur air.

Bahkan, menerusi Instagram rasminya, Putrajaya Waterski School, pusat latihan itu didapati turut menjadi lokasi atlet-atlet luar negara menjalani latihan misalnya dari Korea Selatan.

Memiliki fasiliti bertaraf dunia, ia nyata telah melahirkan peluncur-peluncur yang hebat.

Lebih membanggakan, Aaliyah turut digelar Ratu Luncur Air Negara susulan kejayaan mengharumkan nama Malaysia dalam beberapa kejohanan antarabangsa termasuk World Games 2022 yang diadakan di Alabama, Amerika Syarikat pada Julai lalu.

Aaliyah (kanan) sering berkunjung ke Marina Putrajaya untuk menjalani latihan luncur air.

Bercerita lanjut, Aaliyah memberitahu, sukan luncur air dilihat sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya memandangkan telah meminati aktiviti lasak itu sejak berusia lima tahun lagi.

“Saya bersyukur kerana mendapat sokongan menggalakkan daripada keluarga dan akan terus berusaha bagi menempa lebih banyak kejayaan dalam sukan luncur air ini,” katanya.

Gadis itu berkata, beliau menyasarkan memperoleh pingat pada kejohanan World Championship Under 21 2023 yang bakal diadakan di Mexico pada Jun tahun depan.

Susulan itu, bagi mencapai sasaran tersebut, Aaliyah menjelaskan, dia mahu berterusan memberi fokus kepada aspek latihan selain kekal menjaga pemakanan dan kerap bersenam agar berada tahap terbaik.

Sementara itu, Pengurus Pusat Latihan Waterski & Wakeboard World Cup, Norzeela Sulaiman berkata, pihaknya telah melatih hampir 3,000 individu termasuk kanak-kanak berusia seawal lima tahun bagi mempelajari sukan luncur air sejak pusat rekreasi itu dibuka pada 2008.

Menurutnya, walaupun luncur air dikategorikan sebagai ‘niche sport’ dan kurang diberikan publisiti berbanding sukan lain, namun ia dilihat masih mempunyai kelebihan dan pengikut tersendiri.

“Memandangkan luncur air dikategorikan sebagai ‘niche sport’, mungkin masih ramai yang kurang pendedahan mengenainya. Berbeza dengan sukan lain seperti bola sepak, ia begitu terkenal serta diminati pelbagai lapisan masyarakat.

“Jadi, kami mahu memperkenalkan secara lebih menyeluruh kepada orang ramai mengenai sukan luncur air ini sekali gus membolehkan mereka yang berminat mempelajarinya daripada jurulatih profesional,” jelasnya.

Norzeela menjelaskan, pihaknya bukan saja menawarkan pakej terbaik kepada individu berminat mempelajari sukan berkenaan, malah turut membuka operasi pusat rekreasi itu setiap hari bermula pukul 9 pagi hingga 6 petang.

Menurutnya, pakej sukan luncur air ditawarkan pada harga sekitar RM540 bagi satu sesi selama satu jam serta boleh dimanfaatkan antara empat hingga lima peserta pada satu-satu masa.

“Antara aktiviti yang kami tawarkan untuk mereka yang baru berjinak dengan sukan ini ialah ‘wakeboard’, ‘wakesurf’ dan ‘kneeboard’ memandangkan cara pengendaliannya dilihat lebih mudah.

“Bagaimanapun, kami juga menawarkan rutin yang lebih mencabar buat mereka yang berpengalaman seperti aktiviti ‘slalom’, ‘tricks’ serta ‘jump’,” katanya.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai perancangan masa depan pusat sukan air itu, Norzeela memberitahu, pihaknya menyasarkan untuk melahirkan juara dunia menjelang 2027 menerusi penglibatan Aaliyah dalam kejohanan antarabangsa.

“Kemenangan Aaliyah pada masa depan merupakan batu loncatan buat kami kerana pihak tertentu seperti Kementerian Belia dan Sukan akan melihat perkara itu dan menterjemahkan kesungguhan kami.

“Pada masa sama, mungkin ada pihak yang mahu menaja atlet-atlet kita dalam sukan ini dan secara tidak langsung membuka ruang kepada mereka yang berbakat untuk melangkah lebih jauh,” jelasnya.

Susulan itu, Norzeela begitu berharap agar sukan itu dapat dikembangkan di negara ini menerusi sokongan pelbagai pihak termasuk kerajaan seterusnya berupaya menjadikan Malaysia sebagai antara lokasi penganjuran kejohanan luncur air bertaraf dunia.

Jelas Norzeela, kemudahan bertaraf dunia disediakan Perbadanan Putrajaya merupakan antara komitmen ditampilkan pihak terlibat dalam membangunkan sukan itu dan diharap dapat disokong ramai pihak pada masa depan.

Ia berikutan kemudahan dan keadaan geografi mengelilingi Marina Putrajaya yang dilihat begitu sesuai dijadikan lokasi penganjuran kejohanan, selain perlu mendapat kerjasama semua pihak dalam usaha menjadikannya tempat tumpuan jaguh dunia.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN