MASIH segar dalam ingatan Diana (bukan nama sebenar) tatkala diminta untuk ‘dilepaskan’ dengan cara baik sekitar tiga tahun lalu.
Diana yang sebelum ini berkenalan dan mengenali hati budi Imran (bukan nama sebenar) sejak di menara gading sepakat untuk bersama sebagai pasangan suami isteri.
Lebih lima tahun bercinta, hubungan mereka disatukan atas tali kasih bernama pernikahan sekitar sedekad lalu.
Hasil pernikahan itu, Diana dan Imran dikurniakan sepasang cahaya mata perempuan kembar yang berusia lapan tahun.
Pada awal pernikahan, semuanya berjalan lancar dan baik-baik saja. Imran memberikan nafkah dan menunaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin.
Hubungan Diana dengan ibu mentua dan adik-beradik belah suaminya juga baik-baik sahaja.
Perjumpaan mereka boleh dikatakan jarang dan boleh dikira dengan jari kerana menetap di negeri berbeza.
Imran lahir di Beaufort, Sabah, manakala Diana pula berasal dari Segamat, Johor.
Ibu dan semua adik beradik Imran menetap di Negeri Bawah Bayu.
Entah bagaimana selepas 10 tahun sama-sama melayari bahtera pernikahan, Imran mula menunjukkan perubahan.
“Saya perasan selepas beberapa ketika, suami saya jadi lain. Balik rumah pun kadang-kadang lambat. Ada ketikanya langsung tidak balik dengan alasan terpaksa bekerja di luar kawasan.
“Dia (suami) memang kerap juga bertugas di luar kawasan. Tetapi kali ini lain macam. Suami yang berperwatakan ceria dan riang pun sudah jadi lain.
“Cara dia layan saya pun nampak berbeza. Jujur saya katakan, selama tiga atau empat bulan kami jarang ‘bersama’ kerana suami memberikan alasan penat bekerja,” luahnya.
Tambah wanita berusia 35 tahun yang bertugas sebagai eksekutif pemasaran di ibu kota itu, kata hatinya merasakan seperti ada sesuatu yang tidak kena kepada Imran.
“Saya dapat rasakan suami betul-betul berubah. Dia mula bersikap dingin selepas pulang dari kampungnya selama seminggu.
“Dia tidak pernah marah atau tinggikan suara, apatah lagi melayan saya dengan kekerasan.
“Cuma kali ini sifatnya betul-betul dingin dan lain. Itu bukanlah seperti Imran yang saya kenal,” katanya.
Tambah Diana, dia ada berbincang dan bertanyakan dengan suami mengenai perkara yang berlaku.
Bagaimanapun katanya, jawapan yang diberikan oleh suaminya, semuanya baik-baik sahaja.

Selepas dua bulan berlalu, Imran masih menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang suami dan ayah kepada anak-anak seperti biasa.
Ujar Diana, Imran seperti biasa tidak selalu berada di rumah kerana sibuk.
“Pada suatu hari itu. Saya terdengar perbualan suami dengan ibunya di dalam telefon. Mungkin Allah SWT kasihan dan nak saya tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Sebutir demi sebutir kata daripada mulut suami bagaikan batu besar yang menghempap di kepala. Betapa beratnya ujian dan dugaan ini.
“Apa yang jelas, saya telah dimadukan tanpa kebenaran dan pengetahuan. Lebih memeritkan, madu saya itu merupakan pilihan ibu mentua saya sendiri. Betapa luluhnya hati saya pada saat itu cuma Allah SWT yang tahu,” ujarnya.
Menurut Diana, dia mendapat tahu daripada salah seorang adik iparnya bahawa semua perancangan tersebut dilakukan oleh ibu mentuanya.
Ujarnya, ibu mentuanya memang tidak suka kepada Diana sejak hari pertama bertemu.
“Suami beritahu dia berkahwin lain selepas saya sudah tahu semuanya. Suami kata, dia tidak berani beritahu kerana terlalu sayangkan saya.
“Dia terpaksa mengikut kata ‘syurganya’ yang memang sudah lama mahu menyatukannya dengan wanita tersebut.
“Isteri baharunya juga menetap di Lembah Klang. Itu sebab Imran kerap tidak pulang ke rumah dan selalu memberi alasan pelik,” katanya.
Selepas fikir masak-masak, Diana akhirnya nekad untuk meminta jalan perpisahan daripada Imran.
Dia akhirnya diceraikan di sebuah mahkamah syariah di ibu kota.
Diana memaklumkan, dia minta untuk dilepaskan kerana merasakan bahtera sedekad yang dibina itu tidak pernah direstui oleh keluarga mentua.














