KUALA LUMPUR – Penularan wabak Covid-19 yang kini semakin merebak bukan sahaja dirasai oleh para pesakit, tetapi turut memberi kesan sosial kepada segelintir masyarakat yang pernah dikaitkan dengan penyakit berkenaan.
Lebih membimbangkan, pandangan serong yang dilemparkan oleh masyarakat umum kepada kehidupan mereka sekalipun telah disahkan negatif jangkitan Covid-19 merupakan sesuatu yang berat dan boleh memberi tekanan mental.
Salah seorang mangsa sosial dikenali sebagai Ismail (bukan nama sebenar) berkata, kehidupannya kini semakin sunyi dan terasing sekalipun pihak berkuasa mengesahkan dirinya negatif daripada jangkitan Covid-19.
“Semuanya bermula sebaik saya pulang dari Sabah bagi membantu proses Pilihan Raya Negeri (PRN) baru-baru ini. Sejak itu, ramai yang enggan untuk bertemu dengan saya.
“Walaupun sudah seminggu saya disahkan negatif Covid-19 oleh pihak Kementerian Kesihatan, masyarakat di luar sana tetap berasa takut untuk bercakap dengan saya sampailah ke hari ini.
“Paling ketara ketika saya pergi stesen minyak untuk isi minyak kereta, ada orang yang mengenali dan tahu saya pernah dikuarantin terus lari dan mengasingkan diri daripada saya. Sampai bila masyarakat perlu berpandangan sebegini,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini kelmarin.
Tambah Ismail, keadaan ini mungkin bukan hanya berlaku kepada dirinya, tetapi turut dialami oleh ramai lagi individu yang pernah menjalani kuarantin kes Covid-19.
“Saya guna platform seperti Facebook dan Instagram untuk memaklumkan bahawa saya telah disahkan negatif Covid-19. Saya sertakan sekali bukti bergambar yang menunjukkan saya negatif sebarang jangkitan.
“Keluarga, rakan-rakan terdekat memang tiada masalah, namun masyarakat sekeliling beranggapan diri saya masih bahaya dan takut untuk menghampiri saya lagi.
“Bagi menjaga hati semua pihak, saya mengambil keputusan untuk tidak berada di kawasan awam dan berharap tanggapan orang ramai terhadap insan seperti kami akan berubah. Jika tidak, ia hanya akan memburukkan lagi mental kami,” jelasnya.
Sementara itu, Izad (bukan nama sebenar) yang pernah menjalani kuarantin berkata, pandangan sinis masyarakat sekitar terhadap individu sepertinya hanya akan memberi kesan buruk kepada kehidupan sosial.
“Saya telah menjalani kuarantin kendiri selama 14 hari selepas seorang rakan setugas didapati positif Covid-19 dan dalam tempoh itu, memang tiada yang datang bertemu saya.
“Saya faham situasi ketika itu kerana saya berada dalam tempoh kuarantin. Namun, apa yang menyedihkan, sehingga kini selepas dua minggu saya disahkan negatif Covid-19, tiada seorangpun rakan yang datang,” ujarnya.
Kata Izad, tindakan itu seolah-olah mereka cuba menyisihkannya hanya kerana dia pernah dikaitkan dengan kontak yang mempunyai sejarah Covid-19.
“Saya faham mereka takut, tetapi janganlah buat tindakan seperti ini. Saya rasa seperti buat kesalahan besar yang tidak boleh dimaafkan oleh sesiapa,” rayunya.














