fbpx
Gambar fail pada 20 Mei lalu menunjukkan cerun yang sedang dibaiki selepas kejadian tanah runtuh di Taman Bukit Permai 2, Ampang.

Cerun 30 tahun ibarat bom jangka

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SHAH ALAM – Cerun-cerun yang berusia lebih 30 tahun di seluruh negara terutama di kawasan ekologi rapuh seperti lereng-lereng bukit ibarat bom jangka kerana tambakan itu berisiko tinggi runtuh pada bila-bila masa.

Perubahan iklim dan cuaca ekstrem ketika ini dengan kadar taburan hujan lebat serta berpanjangan turut ‘membantu’ lagi proses hakisan tanah khususnya di lokaliti cerun lapang tanpa dilitupi pokok atau tumbuh-tumbuhan.

Presiden Institut Geologi Malaysia, Abd. Rasid Jaafar berkata, cerun-cerun ‘tua’ terutama yang tidak mengikut spesifikasi atau kurang penyelenggaraan dibimbangi boleh membawa kepada kejadian tanah runtuh.

“Apa yang merisaukan kita adalah cerun-cerun yang telah lama dibina, mungkin telah berusia lebih 30 tahun atau dibina sebelum proses penguatkuasaan sedia ada diperkenalkan.

“Kita juga tidak pasti sama ada cerun-cerun yang dibina dahulu direka bentuk berdasarkan amalan kejuruteraan yang baik atau sama ada masih ada pemantauan dan penyelenggaraan sehingga kini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Ujarnya, beberapa penambahbaikan dari segi pemantauan dan penyelenggaraan cerun perlu dikemas kini supaya kemalangan jiwa dan harta benda akibat tanah runtuh tidak berulang lagi.

Dalam kejadian Jumaat lalu, sebanyak 24 nyawa terkorban, manakala sembilan lagi masih hilang dalam kejadian runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, Hulu Selangor.

Katanya, pembangunan di kawasan lereng bukit sentiasa mempunyai risiko, namun bukan semua lokasi tersebut beri­siko tinggi mengalami bencana.

“Cerun-cerun di kawasan perumahan baharu khususnya yang direka bentuk dengan baik oleh jurutera geoteknikal bertauliah dengan dibantu ahli-ahli geologi kejuruteraan sepatutnya tidak bermasalah,” ujarnya.

Abd. Rasid juga memberitahu, negara akan mengalami kerugian hampir RM3 bilion dalam masa sedekad yang bersamaan hampir RM300 juta setahun sekiranya tidak melakukan pelaburan pengurusan risiko tanah runtuh.

Ini berdasarkan Pelan Induk Cerun Negara (NSMP) 2009-2023 yang dikeluarkan Cawangan Kejuruteraan Cerun, Jabatan Kerja Raya (JKR) dengan objektif mengurangkan risiko sebelum runtuhan tanah yang boleh menyebabkan kematian, kecederaan dan kerosakan harta benda.

“Kerugian itu boleh diterjemahkan dari segi kos baik pulih atau mitigasi yang tinggi selepas berlakunya tanah runtuh atau bencana geologi. Jika dapat dibuat lebih awal, kos-kos tersebut tidak perlu dibelanjakan.

“Kalau diterjemahkan dalam bentuk nyawa, ia akan lebih kritikal lagi. Berapakah nilai sebuah nyawa?” soalnya.

Beliau berkata, program-program berkaitan cerun dan kejadian tanah runtuh dilihat tersasar mengikut bidang kuasa agensi-agensi kerajaan.

Contohnya bagi jalan-jalan Persekutuan, Kementerian Kerja Raya telah menganugerahkan konsesi kepada sebuah syarikat untuk mengumpul data-data cerun seterusnya melakukan pemantauan dan penyelenggaraan.

“Tujuan asalnya adalah bagus untuk mempercepatkan tindakan, tetapi kita takut akan terbantut perkembangan penge­tahuan dan kreativiti jika tidak ramai pemain industri dan golongan profesional yang terlibat untuk satu jangka masa yang lama.

“Sebagai contoh, Majlis Perbandaran Ampang Jaya juga ada menjalankan kajian risiko cerun di sekitar Ampang Jaya bersama Universiti Teknologi Malaysia dan beberapa pakar luaran untuk mengenal pasti permasalahan alahan cerun berisiko di kawasan mereka.

“Begitu juga Jabatan Mineral dan Geosains ada membuat Pemetaan Bahaya dan Risiko Cerun untuk kawasan-kawasan terpilih dan pemantauan cerun-cerun berisiko di seluruh negara. Namun, saya tidak pasti keber­kesanan setiap program itu dan tindakan susulan,” katanya.

Kata Abd. Rasid, pemahaman terhadap risiko bencana memerlukan kajian berterusan yang menggunakan pendekatan pelbagai bidang dan disiplin seperti kejuruteraan, geologi, geospatial, sains sosial dan ekonomi.

“Rancangan Fizikal Negara ke-3 yang dikeluarkan Jabatan Perancang Bandar dan Desa menyenaraikan lima bencana semula jadi utama di Malaysia iaitu banjir, tanah runtuh, kenaikan aras laut, hakisan pantai selain gempa bumi atau tsunami.

“Di negara maju yang terdedah kepada bencana semula jadi seperti Jepun dan Itali, mereka ada data hampir ratusan tahun.

“Data lengkap sebegini memudahkan keputusan dibuat oleh pembuat keputusan berdasarkan fakta dan bukti saintifik dan bukan berdasarkan andaian semata-mata,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN