fbpx
Keadaan cerun yang runtuh menjadi punca tragedi di tapak perkhemahan.

Tanah runtuh: Siapa sebenarnya berkuasa uruskan cerun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Tragedi Batang Kali yang meragut 24 nyawa tidak berdosa di kawasan perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali di Hulu Selangor kelmarin menimbulkan pertanyaan siapa yang harus menjaga kawasan cerun.

Pada Mac lalu, empat terkorban, seorang cedera tertimbus di dalam tanah di Taman Bukit Permai 2, Ampang, manakala tahun lalu, seorang pemandu lori maut dihempap tanah berdekatan Cameron Highlands angkara runtuhan cerun.

Jika cerun-cerun yang terdapat di seluruh negara tidak selenggara dengan sempurna atau sentiasa dipantau pihak berkuasa, mungkin lebih ramai lagi nyawa akan terkorban.

Sumber memberitahu, Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak berkuasa tempatan (PBT) antara pihak yang bertanggungjawab menjaga kawasan tambakan cerun di lokasi masing-masing bagi mengelakkan berlakunya runtuhan tanah yang mengancam nyawa.

Menurutnya, proses menyelenggara tambakan cerun yang dibina berhampiran Jalan Persekutuan dan negeri adalah di bawah tanggungjawab JKR.

Katanya, PBT pula bertanggungjawab untuk menyelenggara tambakan cerun di taman-taman perumahan dan bandar-bandar di bawah pentadbirannya.

ANGGOTA bomba mengeluarkan pemandu lori yang tertimbus di Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands pada 2 Disember 2021.

“Dalam konteks ini, kedua-dua jabatan ini bertanggungjawab menyelenggara tambakan cerun mengikut garis masa ditetapkan.

“Kerja-kerja itu sekali gus membantu mengurangkan risiko runtuhan tanah yang berkemungkinan terjadi lebih-lebih lagi ketika musim hujan,” katanya kepada Kosmo! Ahad semalam.

Beliau berkata demikian bagi mengulas mengenai pihak yang bertanggungjawab menyelenggara tambakan cerun yang dibina sama ada di Jalan Persekutuan atau negeri.

Ia berikutan berlakunya tragedi Batang Kali yang mengorbankan 24 nyawa dan 9 lagi hilang dalam runtuhan tanah di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm di Jalan Genting-Batang Kali, Hulu Selangor kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi itu, seramai 94 individu yang sedang tidur dalam khemah masing-masing dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh.

Mengulas lanjut mengenai kejadian itu, sumber itu berkata, meskipun tapak perkhemahan dibina berhampiran tambakan cerun, namun tanggungjawab menyelenggara masih di bawah seliaan agensi terbabit dan bukannya secara persendirian kera­na dibina di atas jalan kerajaan.

Bagaimanapun, katanya, siapa bertanggungjawab mengawal selia cerun tidak sepatutnya dijadikan persoalan, sebaliknya berapa kali kekerapan penyelenggaraan dibuat oleh pihak terlibat perlu diberi tumpuan utama.

“Melihat situasi yang berlaku di tapak perkhemahan terbabit, runtuhan berkemungkinan berlaku disebabkan masalah-masalah seperti aliran tersumbat di kawasan cerun seterusnya mengundang kepada pergerakan tanah ke lokasi kejadian.

“Jadi, penyelenggaraan perlu dibuat secara kerap di mana pemilik persendirian yang berada berhampiran lokasi juga perlu memainkan peranan untuk melaporkan kepada pihak terlibat jika berlaku sesuatu masalah atau kerosakan.

“Jika lihat longkang dibina di cerun tersumbat, hubungi JKR atau PBT untuk diambil tindakan segera. Jika dibiarkan, keadaan itu akan menjadi lebih teruk ke­rana menghalang laluan air dan mengundang risiko tanah runtuh di kawasan bawah,” ujarnya.

Gambar fail menunjukkan pemandangan udara keadaan tanah runtuh di kawasan Taman Bukit Permai 2, Ampang pada 11 Mac lalu.

Sementara itu, Ketua Kluster Alam Sekitar dan Kelesta­rian, Akademi Profesor Malaysia (APM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Ibrahim Komoo menjelaskan, penyelenggaraan terhadap cerun tambakan perlu dibuat dari semasa ke semasa bagi memastikan ia berada dalam keadaan terbaik.

“Pada pandangan saya, ia bukanlah melibatkan isu penyelenggaraan semata-mata, sebaliknya isu runtuhan itu tercetus antaranya disebabkan oleh peningkatan isi padu air yang masuk ke dalam tanah seterus­nya menyebabkan kestabilan cerun semakin berkurang.

“Kejadian seumpama itu bia­sanya berlaku khususnya ketika musim hujan, namun ia sering berlaku di kawasan yang bawahnya tiada orang dan hanya mempunyai hutan atau tanah pertanian,” jelasnya.
Menurutnya, tambakan cerun sememangnya mempunyai risiko kecil berlakunya tanah runtuh dan atas sebab itu, kawasan di bawahnya perlu diliputi hutan atau tanah pertanian sahaja.

“Jadi, untuk kes ini, PBT perlu memberikan perhatian utama kepada pihak yang menyalahgunakan kebenaran dengan menjalankan perniagaan secara ha­ram serta tiada kelulusan.

“Selepas ini, sebarang kegia­tan rekreasi perlu dilengkapi garis panduan pembangunan menyeluruh bagi memastikan keselamatan awam berada pada tahap maksimum,” ujarnya.

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN