fbpx
EMMA MAEMBONG

Emma Maembong, anak ramai, kembali berhijab

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

LEMPARLAH apa sahaja kata-kata pedas ke atas pelakon jelita itu. Tidak sekali pun dia melayan dan membidas semula tohmahan yang dilayangkan kepadanya.

Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri, pemilik nama pentas Emma Maembong itu tidak peduli dengan cakap-cakap buruk netizen tentang dirinya.

Apa yang pasti, Emma tetap menjalani hari-harinya seperti biasa dan gembira di samping suami dan anak tersayang.

Sekali-sekala, Emma ada memuat naik perihal keluarganya dalam media sosial sekadar untuk berkongsi kegembiraan dan kebahagiaan yang sedang dinikmatinya hari ini.

Kelibat wanita berwajah ‘mat salih’ itu juga kini kurang menghiasi kaca televisyen. Kata Emma atau nama sebenarnya Fatimah Rohani Ismail, dia mengakui memilih untuk berlakon dalam naskhah tertentu kerana mahu memberi tumpuan penuh terhadap keluarga terutama anaknya, Shariq Gabriel.

Tambah anak

Emma ketika ditemui HibGlam baru-baru ini tidak mahu mengulangi kesilapan serupa apabila tergesa-gesa kembali bekerja selepas habis berpantang ketika Shariq masih terlalu kecil dan terlepas momen-momen indah.

“Saya memang memilih untuk berlakon. Buat masa sekarang saya memilih untuk menghabiskan masa bersama keluarga. Saya tidak mahu kehilangan momen indah bersama anak.

“Habis berpantang dahulu saya terus bekerja. Sedar-sedar anak dah panggil saya ‘mama’. Perkara itu menjejaskan emosi sebab saya tidak boleh putar kembali masa yang telah berlalu,” katanya.

PELAKON berdarah Melayu-Scotland ini enggan mengulas lanjut mengenai dakwaan yang mengatakan dia kini hamil anak kedua. Foto – OHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

Bertanya tentang perancangan untuk menambah bilangan zuriat, Emma berkata, dia dan suami sememangnya mengimpikan untuk mempunyai anak yang ramai.

Bahkan, selesai sahaja menjalani proses berpantang ketika melahirkan zuriat sulung, dia dan suaminya sudah ‘mencuba’ untuk mendapatkan anak kedua.

“Saya dan suami memang nak anak yang ramai. Seramai mungkin. Selepas berpantang ketika bersalin anak pertama, saya dan suami terus cuba untuk dapatkan anak kedua.

“Tapi Allah SWT lebih mengetahui,” katanya.

Enggan hipokrit

Sekadar mengusik sama ada Emma yang juga kakak kepada Chacha Maembong sedang mengandung anak kedua, wanita itu enggan mengulas lanjut tentang perkara tersebut.

Pelakon drama Nusyuz Berkiblat Cinta itu berkata, dia akan berkongsi khabar angin mengenai kehamilannya jika perkara tersebut benar-benar terjadi.

“Saya tak nak cakap apa-apa sebab saya dan suami pun masih mencuba. Kalau saya kata ya, tapi tidak ada (hamil), saya akan sakit. Sama juga kalau saya kata tak ada, kemudian tiba-tiba ada (hamil), saya gembira. Namun, tak semua orang akan gembira dengan kita.

“Hal zuriat merupakan satu perkara yang sensitif. Saya memang mengharap sangat,” katanya.

GARA-GARA sering dikecam kerana dikatakan berpenampilan seksi, Emma mendakwa nama suaminya, Muhammad Shazli Azhar turut disebut netizen kerana dianggap tidak pandai menjaga isteri.

Bukan Emma Membong namanya jika tidak dicuit soal penampilannya yang didakwa semakin seksi oleh netizen. Mana tidaknya, daripada imej seorang wanita Muslimah bertudung, Emma mengambil keputusan nekad membuka semula hijab yang telah menutupi rambutnya selama lima tahun.

Wanita itu bukan tidak tahu tentang dosa dan pahala, namun mengambil pendekatan enggan bersikap hipokrit dan sekadar mahu menjadi diri sendiri.

Berubah

Pun begitu, Emma berkata, dia tidak akan selamanya kekal dengan imej seperti hari ini (membuka aurat) dan akan berubah jika sudah sampai waktunya suatu hari nanti.

“Bagi saya setiap wanita Muslim beragama Islam, mereka semua mahu menuju ke arah kebaikan, begitu juga saya. Tiada siapa yang mahu berbuat jahat akan selamanya kekal dengan imej sebegitu iaitu membuka aurat,” katanya.

EMMA mengakui sunyi tinggal bersama suami dan seorang anak memandangkan dia tumbuh dalam sebuah keluarga yang besar.

Bercakap lebih lanjut, selebriti berusia 30 tahun itu memberitahu, suatu hari nanti dirinya pasti akan kembali menutup aurat seiring dengan peningkatan usia kerana dia enggan selamanya kekal dengan imej sekarang.

“Saya pernah pakai tudung, insya-Allah suatu hari nanti, mesti saya akan ke arah itu semula. Bila tiba masanya saya akan pakai (hijab).

“Saya tidak akan selamanya begini sehingga ke tua. Saya pun mahu ke arah kebaikan kerana usia bukannya makin muda,” tutupnya sambil tersenyum.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN