fbpx
SHEILA MAJID

Konsert ‘big band’ Sheila Majid, hargai pemuzik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BERADA dalam kelas tersendiri di persada industri muzik tanah air, penghibur tersohor Datuk Sheila Majid tidak pernah ambil mudah setiap kali menjayakan sesebuah persembahan.

Biarpun sudah mencecah 57 tahun, Sheila berkata, usia bukan alasan untuk dirinya bersikap sambil lewa dan beraksi ala kadar ketika berada di atas pentas.

Kerjaya sebagai penyanyi dan penghibur sejak empat dekad lalu mendorong dirinya menjaga kesihatan serta stamina supaya sentiasa berada dalam keadaan bersedia untuk menyanyi.

Justeru, penyanyi yang terkenal dengan lagu-lagu hit seperti Antara Anyer dan Jakarta serta Warna itu berjanji akan memberikan persembahan terbaik pada Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 bertarikh 18 Mac 2023.

“Saya seorang yang konsisten bersenam dan mengambil berat tentang kesihatan bagi menjaga stamina agar sentiasa bersedia.

“Ini (nyanyian) periuk nasi saya. Kalau tak jaga stamina, selamat tinggallah jawabnya. Orang bayar untuk melihat kita membuat persembahan, jadi saya tak mahu buat ala kadar.

“Jika ingin kekal dalam industri, perlu berdisiplin. Peminat keluarkan duit untuk melihat persembahan. Jadi, persediaan dan latihan baik sangat penting agar peminat berpuas hati,” katanya.

SELEPAS lima tahun, Sheila ubati kerinduan peminat dengan sebuah konsert mega.

Kali terakhir beraksi di pentas berskala besar lima tahun lalu, Ratu Jazz itu teruja menyahut permintaan peminat yang merindui kemunculannya.

Pemilik nama lengkap Shaheila Abdul Majid itu berkata, seramai 23 pemuzik dipimpin pengarah muzik, Mac Chew akan mempersembahkan susunan muzik lebih segar dengan konsep big band.

“Kami masih memilih lagu-lagu yang sesuai untuk susunan baharu. Konsert ini dinamakan Big Band disebabkan konsep dan stail muzik yang akan dipentaskan.

“Band yang besar selalunya disertai sekurang-kurangnya 10 orang pemuzik. Konsert ini membabitkan 23 pemuzik.

“Tetapi konsepnya berbeza dengan orkestra yang melibatkan ramai pemain muzik ‘string’. Lagu yang akan didendangkan disesuaikan dengan konsep big band,” ujar Sheila yang pertama kali menggunakan konsep tersebut dalam persembahannya.

Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023 mengimbau kenangan lalu apabila dianjurkan di lokasi pertama persembahan mega yang dilakukan Sheila pada 1988 iaitu Konsert Warna.

Penjualan tiket konsert tersebut dibuka sejak Isnin lalu dengan harga serendah RM288 sehingga RM1,288 menerusi www.jiobuddy.asia.

Hargai pemuzik

Bukan sekadar kerana pengaruh dan nama yang dimilikinya, namun keputusan Sheila mengadakan sebuah konsert berskala besar adalah kerana mahu berkongsi pentas dengan pemuzik.

Penyanyi itu mahu mendidik masyarakat untuk lebih menghargai pemuzik yang menjadi penyumbang terbesar industri seni tanah air.

“Saya tak gemar orang panggil pemuzik sebagai boy band. Mereka adalah ahli muzik profesional. Kita tak boleh sesuka hati panggil sebegitu.

“Mereka mempunyai kemahiran dan tak semua orang memiliki bakat seperti itu. Jadi, jangan pandang rendah.

“Mereka orang penting jika seseorang artis ingin mengadakan persembahan yang bagus. Kita perlukan satu pasukan. Bukan setakat penyanyi yang di hadapan.

“Bagilah mereka yang bertungkus-lumus di belakang itu lebih penghargaan,” ujarnya.

BUKAN sekadar berhibur ketika konsert, Sheila juga mahu mendidik orang ramai menghargai pemuzik. – SADDAM YUSOFF

Pada masa sama, Sheila juga kesal dengan segelintir pihak yang tidak mengendahkan kebajikan pemuzik dan memandang mereka sebelah mata.

“Sedih saya lihat kadang-kadang pemuzik tak diendahkan langsung. Tegur pun tidak, malah kebajikan mereka tidak diberi perhatian.

“Bila masa makan, mereka terpaksa duduk di ceruk-ceruk dan hanya makan nasi bungkus.

“Jadi ini masa saya nak mendidik dan buka mata orang ramai supaya hargai golongan profesional ini yang berperanan besar dalam sesebuah persembahan.

“Mereka juga perlu makanan yang bagus dan tempat rehat yang elok. Semua bermula daripada artis sendiri yang harus mendidik orang ramai untuk ubah persepsi itu,” tegasnya.

Puas hati jaga ibu

Tutup cerita konsert, Sheila turut berbicara tentang kenangan menjaga allahyarham ibu tercinta, Datuk Paduka Saadiah Adam sepanjang pandemik.

Katanya, jika bukan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dia mungkin tidak berpeluang berbakti dan menjaga keperluan arwah sebelum ibunya menghembuskan nafas terakhir pada 1 Ogos 2020.

“Alhamdulillah. PKP memberi peluang kepada saya menjaga ibu pada hari-hari terakhirnya. Pada 2019 saya banyak mengembara kerana kerja.

“Saya sentiasa berdoa jika apa-apa berlaku kepada ibu, biarlah saya ada di Kuala Lumpur.

“Doa saya dimakbulkan, disebabkan PKP saya berpeluang jaga ibu selama lima bulan.

“Saya sangat puas hati kerana sebelum dia pergi, saya dapat buat apa yang boleh seperti memandikannya dan menyuap makanan. Semua itu tidak sempat dilakukan ketika sibuk bekerja,” katanya.

KEKAL stamina dengan bersenam, Sheila janji beri persembahan terbaik pada Konsert Sheila Majid Big Band Live In Kuala Lumpur 2023.

Ibunya tidak mempunyai penyakit serius, sebaliknya Sheila memaklumkan, kesihatan arwah merosot akibat kurang selera makan dan lemah badan.

Allahyarham Saadiah meninggal dunia akibat sakit tua pada usia 96 tahun di Pusat Perubatan Pantai Kuala Lumpur pukul 4.30 pagi.

Sedia jadi nenek

Biarpun berdepan kehilangan insan tersayang, namun luka yang dialami sedikit terubat apabila penyanyi itu menerima kehadiran orang baharu dalam keluarganya.

Sheila menerima menantu pada Februari lalu selepas anak lelakinya, Megat Abdul Majid Aziz Roslan bertemu jodoh dengan isteri, Nik Nuralia Nik Fauzi.

Bersedia menjadi nenek pada bila-bila masa, namun penyanyi lagu ikonik Sinaran itu menyerahkan segalanya pada ketentuan rezeki daripada Allah sama ada dapat menimang cucu dalam masa yang cepat atau lambat.

Hal ini kerana, anak dan menantunya belum bersedia memikirkan soal zuriat dan masih dalam fasa berbulan madu.

SUDAH bersedia bergelar nenek, namun Sheila menyerahkan segalanya kepada rezeki ditentukan Allah.

“Soal cucu, belum lagi. Bila tanya, mereka kata nantilah, nak melancong lagi. Jadi, saya serahkan pada mereka bila masing-masing sudah bersedia memiliki cahaya mata.

“Untuk saya, memang dah sedia nak jadi ‘grandma’ (nenek). Sentiasa bersedia. Anak saya, baru seorang yang sudah berumah tangga. Kayda belum lagi. Dia nak kumpul duit dahulu,” tutup Sheila.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN