PUTRAJAYA- Presiden Timor-Leste, Dr. Jose Ramos-Horta sekali lagi melakukan lawatan ke Malaysia dengan jadual padat bagi mengadakan sesi kunjungan hormat ke atas pemimpin negara.
Ketibaan beliau disambut Menteri Luar, Datuk Seri Dr. Zambry Abdul Kadir di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur di Sepang sebelum memeriksa perbarisan kehormat.
Menurut Wisma Putra, beliau akan bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi mengucapkan tahniah secara peribadi atas pelantikan ke jawatan itu.
“Pertemuan tersebut juga dijangka menilai semula pelbagai kemajuan kerjasama antara Malaysia dan Timor-Leste serta akan meneroka banyak ruang kerjasama baharu.
“Ramos-Horta juga dijadual mengadakan kunjungan menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah,” katanya.
Ramos-Horta baru mengangkat sumpah sebagai ketua negara kecil itu buat kali ketujuh pada 20 Mei lepas selepas pernah menjadi presiden kedua dari 2008 sehingga 2012 lalu.
Sepanjang tahun lalu, Malaysia juga merupakan rakan dagangan kelapan terbesar Timor Leste apabila muncul sebagai destinasi eksport ke-13 dan import ketujuh paling utama.
Sementara untuk tahun ini sahaja setakat 31 Oktober lalu, jumlah perdagangan dua hala yang telah direkodkan ialah AS$84.6 juta dengan nilai eksport sebanyak AS$62.8 juta. – KOSMO! ONLINE














