KAHWIN bukan prioriti saya.” Ringkas jawapan yang diberikan oleh penyanyi rap Sophia Liana apabila ditanya soal berumah tangga.
Enggan membebankan kepala dengan perhitungan siapakah lelaki yang ditakdirkan untuknya, wanita berusia 30 tahun itu meletakkan 100 peratus soal jodoh kepada takdir.
“Setiap kali jika ada orang bertanya soal jodoh, saya kata, saya akan kahwin tahun depan.
“Sebab itu salah satu doa juga kalau sentiasa diseru. Insya-Allah, yang baik-baik akan datang juga satu hari nanti.
“Jujurnya, perkataan perkahwinan langsung tiada dalam fikiran sebab saya nak kejar kejayaan dulu, sebab itu impian saya dari dahulu.
“Saya tak mencari, biarlah jodoh datang dengan sendiri. Sebab saya yakin dengan perancangan Tuhan.
“Bukan senang mahu mencari seseorang yang faham dengan kerja kita sebagai artis. Siapa yang sanggup faham? Baiklah kita jaga diri sendiri, kahwin atau tidak, sekurang-kurangnya kita tahu nak jaga diri,” katanya kepada HibGlam.

Penyanyi itu juga memberitahu, dia bukanlah seorang yang gemar menjaja kisah peribadi secara berlebihan berbanding perkembangan karier.
Tiada alasan undur diri
Sophia sebenarnya bimbang masyarakat mulai bosan dan kurang berminat mengambil tahu soal kariernya.
“Saya agak sukar berkongsi cerita peribadi kalau bukan di dalam lagu. Mungkin daripada penyampaian lagu senang untuk saya luahkan.
“Saya bukan suka bercerita hal peribadi. Mugkin orang tak tahu apa yang saya lalui. Hanya menerusi muzik, saya berasa sudah cukup selesa berkongsi perasaan kepada semua,” tambah anggota kumpulan DeFam itu.
Selain Sophia, DeFam turut dianggotai oleh Azira Shafinaz dan Cik Manggis. Malah, selain Sophia yang punya karier solo, rakan seperjuangannya itu juga mengorak langkah mewarnai kanvas seni dengan misi bersifat peribadi.
Meskipun sibuk dengan jadual masing-masing, kesetiaan terhadap DeFam tetap utuh. Bagi Sophia, dia langsung tidak terniat untuk mengundur diri, jauh sekali membelakangkan jenama yang menaikkan namanya.
“Kalau nak ikutkan, karier berkumpulan memberikan saya kebahagiaan, sebab kita buat sesuatu secara bersama, susah senang sama-sama dengan kawan baik. Semua itu sesuatu yang sukar diganti.
“Tetapi kepuasan untuk diri sendiri tentunya datang daripada karier.
“Dengan cara itu, saya lebih bebas meneroka apa yang saya mahukan dalam muzik selain mengukuhkan jenama Sophia Liana sebagai penyanyi rap wanita.
“Tiada alasan untuk saya keluar daripada DeFam sebab kami bertiga boleh bahagikan masa antara kerja solo dan berkumpulan.

“Untuk capai impian, saya rasa kami patut saling memberi sokongan antara satu sama lain. Itulah persahabatan yang ikhlas dan akan kekal sampai bila-bila,” tuturnya sambil menambah DeFam kini dalam rangka menghasilkan lagu baharu.
Dulu kini jadi taruhan
Selepas muncul dengan single solo berjudul Ngam pada Mac lalu, Sophia kini melancarkan lagu terbaharu berjudul
Dulu yang merupakan ciptaan sendiri Sophia bersama adiknya, Fadzril Asyraf membawa mesej tentang pentingnya mencintai dan mengutamakan sahsiah diri dengan melepaskan masa lalu untuk terus bergerak ke hadapan.
Mengulas mengenai single terbaharunya yang dipersembahkan secara ‘sing rap’, Sophia berkata, dia inginkan kelainan dalam karya Dulu dan mahu apa yang disampaikan menerusi lagu tersebut dapat diterima baik oleh pendengar.
“Dalam Dulu saya cuba menampilkan sesuatu yang berbeza berbanding daripada apa yang pernah saya lakukan sebelum ini.
“Lagu itu lebih bersifat peribadi dalam menceritakan tentang perasaan saya dahulu dan sekarang.
“Lagu ini diinspirasikan daripada situasi pahit yang pernah saya lalui suatu masa dahulu.
“Apa yang saya cuba untuk sampaikan dalam lagu ini adalah untuk maju terus ke depan, berhenti menoleh ke belakang,” jelasnya sambil berharap Dulu diterima baik oleh pendengar.















