KUALA LUMPUR – Sebahagian besar golongan gelandangan yang hidup di celah-celah lorong di sekitar ibu kota mengakui mereka sudah tekad untuk tidak mahu mencari kerja dan hanya ingin goyang kaki sepanjang hidup.
Golongan yang digelar sebagai ‘Mat Berat’ itu ketika ditemui Kosmo! di sekitar ibu negara baru-baru ini mendedahkan, mereka sudah selesa hidup tanpa bekerja disebabkan ‘longgokan’ pelbagai bantuan secara percuma tanpa putus-putus.
Seorang lelaki yang ingin dikenali sebagai Kamal, 32, memberitahu, dia langsung tidak kisah jika masyarakat mencemuh atau menghina mereka dan pandangan serong itu juga tidak memberi apa-apa kesan terhadap dirinya.
Kamal yang memilih untuk tidak bekerja dan hidup bergelandangan merasakan ia sudah cukup bahagia disebabkan bantuan makanan dan pakaian, malah tempat tinggal sering disediakan oleh pelbagai pihak termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkuasa.
“Saya tak ada fikir apa-apa lagi untuk tukar cara hidup saya ini, saya sudah selesa macam ini walaupun pada pandangan orang lain tidaklah terlalu selesa.
“Apabila hidup saya macam ini, tidak bekerja dan tidak ada duit, jadi tiada orang nak ganggu atau kacau, aman hidup saya,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, dia sudah enam bulan hidup menganggur dan hanya bergantung hidup kepada ihsan orang lain dalam mendapatkan keperluan harian.
Lebih memburukkan keadaan, Kamal juga merupakan seorang gay dan sudah 12 tahun menghidap virus kurang imun (HIV) sejak berusia 20 tahun.

“Saya tak nak kahwin, sebab memang dari dahulu tiada perasaan kepada perempuan, lagi pun masa umur 20 tahun, saya dah disahkan ada HIV dan sejak 13 tahun, saya sudah aktif dengan hubungan songsang sesama jenis,” ujarnya.
Sementara itu, seorang lagi gelandangan, Anwar, 38, pula berkata, dia tidak mampu untuk bekerja disebabkan tidak mempunyai MyKad sejak 2020 selepas kad pengenalannya hilang.
“Sudah dua tahun pegang kad pengenalan sementara, tak ada duit nak buat baharu, nak minta kerja pun tak dapat sebab tiada MyKad, bantuan kerajaan pun tak boleh dapat.
“Saya kadangkala tidur di kaki-kaki lima atau di pusat transit. Sekarang ini setiap hari orang datang bagi makan sebab itu saya tak terdesak untuk bekerja, tidaklah terlalu terkesan.
“Kalau nak guna duit, pinjam pada kawan-kawan yang ada, soal makan dan tempat tinggal tak ada masalah, siap dapat lebih pun ada,” ceritanya.
Tambahnya, ramai orang yang bekerja di luar sana, tetapi masih tidak cukup untuk makan kerana kurang mendapat perhatian berbanding golongan seperti mereka.
“Kami yang duduk tunggu di belakang lorong-lorong, ramai pula yang datang dan sedekah macam-macam. Apabila difikirkan semula, cukup dah macam ini, tak perlu susah siang malam untuk dapat makan,” jawabnya.
Seorang lagi ‘Mat Berat’, Hairi, 41, yang sudah tiga tahun hidup menganggur memilih untuk terus tidak bekerja kerana mendapat bantuan bulanan sebanyak RM300 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Dia yang juga orang kelainan upaya (OKU) masalah kaki kecil sebelah memberi alasan tidak mempunyai kenderaan untuk keluar bekerja.
“Saya tak mampu kerja sebab kaki kecil sebelah. Nak kerja tetapi kenderaan tiada,” katanya.

Apabila disoal tentang keluarga, Hairi memberitahu, keluarganya yang tinggal di Perak tidak maklum tentang keadaan dirinya yang hidup bergelandangan.
“Mak ayah tak tahu saya ada kat sini, tetapi apabila mereka hubungi, saya beritahu kerja cuci kereta sebab tak nak bagi mereka susah hati.
“Mereka tak tahu malam saya di sini (pusat gelandangan) dan siang saya duduk di Masjid India sampai petang,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, ketika orang ramai sibuk keluar bekerja untuk mencari rezeki demi keluarga, namun terdapat sekelompok individu yang hanya mengharapkan bantuan daripada pelbagai pihak dan orang ramai.
Situasi itu menyebabkan jumlah golongan ini yang digelar sebagai ‘Mat Berat’ oleh kalangan pertubuhan bukan kerajaan semakin bertambah terutama di sekitar ibu negara.
Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Ar Riqab Kuala Lumpur, Nor Akmar Ali dilaporkan berkata, kemudahan tempat berteduh dan makanan yang disediakan setiap hari menyebabkan mereka ‘berat’ untuk berhijrah dari ‘kepompong’ kehidupan asal.














