fbpx
SEBUAH trak pikap Siam dilihat memasuki sebuah stesen minyak di Kangar semalam.

Trak pikap Siam kutip diesel subsidi ‘bersembunyi’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KANGAR – Selepas seminggu pendedahan Kosmo! mengenai kegiatan trak pikap dari Thailand yang rancak ‘mengutip’ diesel bersubsidi dari beberapa stesen minyak, aktiviti berkenaan kini dilihat semakin berkurangan.

Pemerhatian di tiga buah ste­sen minyak di sini semalam mendapati, hanya terdapat dua trak pikap masuk ke premis tersebut dalam tempoh dua jam.

Dua trak pikap Siam itu juga didapati hanya masuk ke salah sebuah stesen minyak dan tidak ‘mengatur’ stesen minyak lain.

Situasi berkenaan jauh berbeza ketika tinjauan Kosmo! pada pertengahan bulan ini apabila trak pikap bernombor pendaftaran Thailand dilihat tidak putus-putus masuk ke stesen minyak berkenaan.

Malah, kenderaan asing itu di­lihat ‘mengatur’ dari satu stesen minyak ke stesen minyak lain untuk memenuhkan tangki minyak masing-masing.

Mereka terpaksa berbuat demikian kerana hanya dibenarkan mengisi 20 liter diesel bersubsidi itu bagi setiap transaksi.

Kegiatan trak pikap Siam semakin perlahan itu juga dikatakan disebabkan tindakan penguatkuasaan oleh pihak berkuasa sejak minggu lalu.

PENGUATKUASAAN dilihat dapat membendung kegiatan trak pikal Siam ‘mengatur’ stesen minyak.

Seorang peniaga, Suhaimie Abdullah, 33, berkata, dia menye­dari kehadiran trak pikap di tiga stesen minyak yang terletak sederet itu semakin berkurangan sejak minggu lalu.

“Hari ini (semalam) lagi susah nak tengok kelibat trak pikap Siam di stesen minyak di Kangar ini. Mungkin sebab cuti umum atau operasi dilakukan pihak berkuasa baru-baru ini.

“Saya dengar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) giat lakukan operasi sejak kebelakangan ini. Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pun ada turun ke kawasan stesen minyak,” katanya di sini semalam.

Berita berkaitan: Trak pikap Siam ‘rancak’ kutip diesel subsidi

Seorang penduduk Padang Besar, Aziah Mohamad, 48, berkata, kehadiran trak pikap memang berkurangan tetapi dia percaya ia hanya sementara.

“Sebelum ini memang rancak, warga asing ini datang secara konvoi sehingga enam trak pikap dalam satu masa. Mereka akan mengisi diesel di beberapa stesen minyak sebelum pulang ke negara mereka.

“Sekarang ini nampak sunyi sedikit, ada yang datang tetapi bukan secara konvoi. Sekarang ini mereka mungkin takut terse­rempak pihak berkuasa, selepas ini saya percaya kegiatan itu akan rancak semula,” katanya.

Sehubungan itu, saya berharap kerajaan baharu ini dapat menguatkuasakan undang-undang lebih tegas bagi menangani kegiatan mengutip diesel subsidi dengan lebih cekap.

“Percepatkan langkah mewujudkan stesen minyak tanpa subsidi seperti yang dikaji oleh KPDNHEP kerana langkah itu mampu mengekang ketirisan diesel subsidi kepada warga asing,” tambahnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN