fbpx
LEFTENAN Madya Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman menyifatkan tugasannya memerlukan kekuatan mental untuk bekerja di bawah tekanan terutamanya sewaktu berdepan risiko ketika melaksanakan pemusnahan peluru dan bahan letupan.- Foto Instagram Puteri Shazwani

Puteri Shazwani, gadis pemusnah peluru nekad menongkah cabaran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SEBAGAI susuk wanita yang menyerlah dalam bidang yang didominasi lelaki, ia sekali gus menjadikan nama Leftenan Madya Puteri Shazwani Megat Ahmad Shariman pantas menghiasi tajuk akhbar-akhbar tempatan.

Pada usia 26 tahun, Puteri Shazwani merupakan pegawai wanita Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) pertama yang menjadi pakar memusnah peluru dan bahan letupan.

Biarpun mencatat pencapaian yang cukup membanggakan, anak kelahiran Kuala Lumpur yang membesar di Ipoh, Perak itu cukup merendah diri dan sentiasa mengucapkan syukur atas kejayaan, selain memohon agar orang ramai terus mendoakan dirinya kekal positif dan berusaha memberikan yang terbaik dalam perkhidmatannya.

“Saya terharu kisah saya ini dapat menyuntik semangat anak-anak muda yang lain untuk keluar dari zon selesa bagi mencari kebolehan diri dan tidak mudah berputus asa,” katanya menerusi akaun Instagram miliknya.

Menjadikan kata-kata motivasi Until you spread your wings, you will never know how far you can fly sebagai inspirasi hidupnya, Puteri Shazwani nekad menongkah cabaran dan sering menguji dirinya dalam melakukan perkara-perkara mencabar.

Puteri Shazwani mencipta sejarah sebagai pegawai wanita TLDM yang memiliki dua kepakaran iaitu Ammunition Technician (AT) atau juruteknik peluru dan Explosive Ordnance Disposal (EOD), yang membolehkan dia melakukan pemeriksaan fizikal, uji bukti kefungsian serta pemusnahan terhadap peluru dan bahan letupan yang sudah mencapai tamat jangka hayat.

EOD bertindak sebagai pakar bahan letupan taktikal dan teknikal kepada tentera.

Tugas yang sulit itu memerlukan pegawai tentera yang mempunyai kemahiran kritikal bagi melumpuh dan memusnahkan bahan serta senjata letupan yang berupaya menyebabkan kemusnahan secara besar-besaran.

Mereka juga perlu membantu menyelidik dan mengenal pasti senjata ketenteraan, membantu kepimpinan dalam penyediaan dan penggunaan robotik canggih, melupuskan objek berbahaya selain melaksanakan misi untuk menyokong unit tentera di seluruh dunia.

“Kerjaya ini memerlukan kekuatan mental untuk bekerja di bawah tekanan terutamanya bila saya perlu berdepan dengan risiko sewaktu melaksanakan pemusnahan peluru dan bahan letupan,” katanya kepada K2.

Walaupun sudah mempunyai kepakaran peluru dan bahan letupan, Puteri Shazwani tetap berdepan dengan rasa gugup dan gementar memandangkan tugasnya ini memerlukan ketelitian yang tinggi dan segala kesilapan perlu dielakkan.

Gadis berusia 26 tahun ini menyifatkan kerjayanya dalam bidang ketenteraan memerlukan kekuatan fizikal dan mental. – INSTAGRAM PUTERI SHAZWANI

Terdahulu, pada tahun 2018, sewaktu bergelar pegawai kadet lagi, Puteri Shazwani pernah dilaporkan akhbar menjadi pegawai kadet wanita pertama yang dihantar menyertai Persidangan Kepimpinan Antarabangsa McDonald (MCLC) di Akademi Tentera Amerika Syarikat (USMA), West Point, New York.

Siapa sangka, di sebalik senyuman manis dan perwatakannya yang lembut, Puteri Shazwani berjaya merekodkan pencapaian memberangsangkan dalam industri yang didominasi lelaki.

Mengakui ia bukan sesuatu yang mudah memandangkan golongan wanita mempunyai daya kekuatan fizikal yang berbeza jika dibandingkan lelaki, namun Puteri Shazwani sedar peranan wanita juga sama penting dalam ketenteraan.

“Saya tidak nafikan bahawa wanita mempunyai daya kekuatan fizikal yang sedikit terbatas berbanding lelaki, namun kekuatan wanita dari aspek mental, ilmu pengetahuan, kebijaksanaan dan personaliti tiada batasnya. Justeru, golongan wanita juga boleh berdiri sama tinggi dengan kaum lelaki sekiranya mereka ada kelebihan itu,” jelasnya yang masih bujang.

Kongsi Puteri Shazwani, dirinya tidak pernah terfikir untuk menjadi seorang pegawai tentera, apatah lagi mencatat prestasi mengagumkan dalam bidang berkaitan peluru. Malah, cita-cita asalnya adalah untuk bergelar seorang pengacara televisyen dan wartawan.

Biarpun kini dia sudah ‘lari bidang’ atau tersasar jauh daripada cita-cita masa kecilnya, Puteri Shazwani menganggap ia sebagai satu cabaran peribadi, yang membolehkan dia menguji kebolehan sendiri.

“Saya berpegang pada satu prinsip yang diajar ibu iaitu anda tidak akan pernah tahu kebolehan anda sehinggalah anda berani untuk melakukannya. Sejak kecil juga, saya merupakan seorang yang multi-passionate atau mempunyai minat dalam pelbagai bidang,” ujarnya.

Bercerita lanjut, kehidupannya berubah secara drastik selepas menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada 2014 dan ketika itu dia bergelar seorang pegawai kadet.

Pemegang Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sumber Manusia Pertahanan dari Universiti Pertahanan Nasional Malaysia itu menamatkan pengajiannya pada 2018, sebelum dikurniakan pangkat sebagai Leftenan Muda setahun kemudian.

Kini, Puteri Shazwani berkhidmat di Markas Wilayah Laut 1, Pangkalan TLDM Tanjung Gelang, Kuantan, Pahang.

Hasimah (kiri) tidak putus-putus memberikan sokongan terhadap minat anaknya, Puteri Shazwani untuk menyertai unit ketenteraan.

Akui anak kepada seorang pegawai bank ini, dia mengakui bahawa selepas menjadi anggota tentera, amat sukar baginya untuk mengekalkan motivasi, memandangkan ketahanan mental dan fizikalnya yang sentiasa diuji.

“Kami dilatih dengan kekuatan mental dan fizikal serta dilatih untuk bekerja di bawah tekanan,” ungkapnya.

Namun, ia tidak sedikit pun menghapuskan minatnya terhadap bidang peluru sehingga mencatat pencapaian membanggakan.

“Kepada semua wanita di luar sana, jangan sesekali berasa takut untuk mencuba sesuatu dan sentiasa buat perkara yang membahagiakan anda.

“Selepas itu, biarkan rasa percaya diri itu menjadi dorongan dan serahkan semuanya kepada Allah SWT,” pesannya.

Kejayaan Puteri Shazwani juga banyak didorong oleh keluarga, khususnya ibu, Hasimah Abu Kassim.

“Dalam dunia ini, ada banyak perkara yang menjadikan saya berasa bangga.

“Namun, tiada satu pun yang dapat mengatasi kebanggaan bergelar seorang ibu,” ucapnya sambil terus mendoakan semoga anaknya itu sentiasa dalam peliharaan Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN