fbpx
Ahli-ahli Kelab Kompang Qatar terdiri daripada anak-anak perantauan Malaysia di Qatar mengetengahkan budaya Melayu kepada dunia dengan membuat persembahan kompang di pekarangan Stadium Lusail, Qatar sepanjang Piala Dunia ini.

Kompang bergema di pekarangan stadium Piala Dunia Qatar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Ke mana jua tanah dijejak, budaya bangsa tetap disanjung.

Semua memang maklum pasukan Malaysia tidak bertanding dalam Piala Dunia FIFA yang sedang berlangsung di Qatar, namun rakyat negara ini sekurang-kurangnya masih punya sebab untuk berbangga apabila sekumpulan anak Malaysia dipilih oleh kerajaan Qatar untuk mempersembahkan seni kompang dalam temasya terbesar bola sepak dunia itu.

Menghiburkan para pemain serta penyokong di pekarangan stadium sepanjang Piala Dunia 2022, pasukan kompang dari Kelab Kompang Qatar itu dianggotai oleh anak-anak Malaysia yang bermastautin atau bekerja di tanah Arab tersebut.

“Sejujurnya ada rasa gemuruh, tetapi bangga apabila Malaysia dipilih untuk menghiburkan para pengunjung yang hadir ke stadium. Lagipun kita boleh tunjukkan budaya dan pakaian kita kepada orang luar.Dapatlah juga mengharumkan nama Malaysia di luar negara.

“Di Piala Dunia ketika dibadai tsunami manusia, kita rasa teruja orang ramai dari macam-macam negara boleh menikmati paluan kompang sehingga berjoget di depan kita kala mendengarnya,” kata Mohd. Norhidayat Mohd. Redzuan, 38, yang merupakan salah seorang ahli Kelab Kompang Qatar ketika dihubungi Panorama.

Bekerja bersama Qatar Airways, anak Negeri Sembilan yang bertugas di Qatar sejak lebih lima tahun lalu itu berkata, usaha tersebut juga dilihat dapat menyedarkan generasi-generasi muda Malaysia bahawa seni budaya bangsa masih boleh dikekalkan biarpun berada di tempat orang.

Mohd. Norhidayat berkata, dia menganggotai Kelab Kompang Qatar empat tahun lalu setelah menemui kumpulan kompang itu dalam satu perlawanan bola sepak di Qatar.

“Sememangnya sejak di Malaysia lagi, saya sudah pun minat berkompang. Apabila bertemu kumpulan ini, saya pun pinjam satu kompang dan mainkannya. Saya kemudian menganggotai kelab dan dapatlah saya teruskan minat terpendam saya ini,” katanya.

Persembahan Kelab Kompang Qatar di Piala Dunia 2022 mendapat sokongan Kedutaan Besar Malaysia di Qatar dan Malaysian Association of Qatar (MAQ).

Kelab Kompang Qatar diketuai oleh Abdillah Ezanee berserta kekuatan ahli sekitar 30 orang.

Bertujuan memelihara serta memperkenalkan budaya Melayu dan Malaysia kepada masyarakat antarabangsa di Qatar, kelab itu ditubuhkan pada 2017 oleh sekumpulan kecil profesional warga Malaysia di negara itu.

Bercerita bagaimana tertubuhnya kelab itu, Abdillah berkata, ia bermula apabila mereka mendapat jemputan oleh kerajaan Qatar untuk membuat suatu persembahan semasa Hari Kebangsaan Qatar pada tahun 2017.

“Pihak kerajaan Qatar minta sesetengah komuniti di negara itu untuk sama-sama menyambut Hari Kebangsaan Qatar, jadi Malaysia terpilih sebagai salah satu komuniti yang perlu buat persembahan. Disebabkan itu timbul keperluan wujudkan satu kelab kompang. Alhamdulillah, kita berjaya kumpulkan mereka yang berminat dan kompang pun diterbangkan khas dari Malaysia.

Maka wujudlah kelab kompang ini buat julung-julung kalinya,” katanya.

ABDILAH bertindak sebagai ketua.

Abdillah berkata, minat bermain kompang tercetus sejak bersekolah di Sekolah Menengah Agama Rawang. Minat itu diteruskan dengan bermain kompang dalam majlis-majlis kahwin sebelum terhenti seketika apabila merantau ke Australia dan kembali ‘hidup’ di Qatar.

Sebagai Ketua Kelab Kompang Qatar dan tenaga pengajar, Abdillah berkata, kompang bimbingannya adalah berasaskan ilmu kompang dari Malaysia iaitu kompang Ezhar.

Jelasnya, kebanyakan pukulan kompangnya cenderung mengikut gaya tersebut, namun disesuaikan mengikut keperluan persembahan.

Jelasnya, sejak penubuhan kelab kompang berkenaan, kumpulan itu telah dijemput kerajaan Qatar untuk memeriahkan pelbagai majlis di negara itu. Namun, jujurnya yang termanis adalah peluang bermain kompang di Piala Dunia ini.

“Bermain kompang di Piala Dunia, memori yang tidak akan dilupakan seumur hidup. Bila kita bermain kompang untuk hiburkan orang di Piala Dunia ini, kita dapat rasakan kepelbagaian penerimaan, misalnya penyokong dari Arab Saudi begitu meriah dan ‘naik sheikh’ dengar pukulan kompang. Mungkin kerana kompang ada persamaan dengan gendang Arab,” katanya.

Sementara itu, salah seorang anggota kelab itu, Mohd. Solahuddin Abdul Rani, 37, berkata, percubaan pertama mereka membuat persembahan bersempena Hari Kebangsaan Qatar pada 2017 itu sebenarnya membuahkan impak membanggakan apabila persembahan mereka berjaya merangkul tempat pertama.

“Alhamdulillah, itu antara pencapaian terbaik kami. Banyak pengalaman manis telah dikumpul menerusi persembahan kompang di Qatar. Kami banyak dijemput kerajaan Qatar untuk membuat persembahan antaranya semasa Festival Makanan Antarabangsa Qatar dan Piala Arab FIFA.

“Alhamdulillah masyarakat di Qatar sangat suka dengan orang Malaysia. Mereka suka budaya, kostum dan sikap kita,” kata Solahuddin yang bekerja dengan syarikat perkapalan di Qatar.

Mengulas persembahan di Piala Dunia, anak Permatang Pauh, Pulau Pinang ini melihat ia sebagai satu kenangan terindah.

“Ini pertama kali rakyat Malaysia terlibat sama dalam penganjuran kejohanan berprestij, Piala Dunia. Walaupun sedih Malaysia tidak tersenarai, sekurang-kurangnya kelab kompang ini berjaya perkenal budaya kita kepada penonton-penonton yang datang dari seluruh dunia.

“Untuk Piala Dunia ini, semua orang tahu, Qatar diselubungi tohmahan-tohmahan semasa membida sebagai tuan rumah. Banyak negara ragui kemampuannya selain timbul persoalan banyak sekatan peraturan, tapi Alhamdulillah, kita lihat pada upacara pembukaan Stadium Al-Bayt, semua yang hadir dari seluruh dunia bergembira dan berpuas hati,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN