fbpx

K2

Komuniti Senam Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

MUDAH berasa mengah dan semput. Itulah situasi yang sering dihadapi Khairul Azrill Khalid, 40, setiap hari meskipun hanya untuk berjalan ke kafeteria di tempat kerjanya.

“Saya mengakui berat badan yang berlebihan membuatkan saya mudah lelah dan tidak cukup nafas ketika berjalan kaki walaupun dalam jarak yang dekat.

“Selepas memasuki alam pekerjaan saya tidak mempunyai masa untuk bersenam dan amalan gaya hidup sihat juga jarang diamalkan sehingga berat saya pernah mencapai 92 kilogram (kg),” kata pekerja swasta itu kepada K2.

Namun, dalam masa sama, Khairul berkata, ada rakan sebayanya yang mengalami masalah kesihatan sehingga terpaksa melakukan pembedahan pintasan jantung ekoran berat badan berlebihan.

Hal itu telah menjentik hatinya untuk berubah.

Khairul fikir, dia perlu menurunkan berat badan supaya tidak berdepan masalah sama.

Akuinya, sebelum ini dia pernah cuba untuk menurunkan berat badan, namun tidak berjaya mungkin kerana melakukannya secara berseorangan.

Khairul percaya untuk menurunkan berat badan, ia perlu dilakukan secara berkumpulan kerana diyakini akan memberi lebih motivasi dan sokongan antara satu sama lain.

Maka, pada akhir tahun lalu, dia mengambil keputusan untuk menyertai komuniti menurunkan berat badan Senam Malaysia (Senam.MY).

Senam Malaysia ialah satu komuniti yang berkongsi misi bersama iaitu ingin menurunkan berat badan. Dalam masa yang sama, senamannya turut menerapkan penggunaan sandbag ataupun beg pasir untuk membina otot.

KHAIRUL berkongsi kisah kejayaannya menurunkan berat badan kepada para peserta.

Kini setelah beberapa musim mengikutinya, dia berjaya mendapatkan berat badan 73kg.

“Sekarang saya berasa lebih cergas dan tidak mudah penat. Selain itu, setelah berjaya menurunkan berat badan, saya boleh menamatkan larian sejauh 21 kilometer dalam masa hanya dua jam setengah,” ujarnya.

Tambahnya, Senam Malaysia banyak membantunya untuk mendapatkan berat badan yang ideal dan mengajarnya untuk terus mengamalkan gaya hidup sihat.

Khairul menjelaskan, senaman menggunakan beg pasir amat mudah dilakukan dan boleh dilakukan di mana-mana dengan syarat peserta perlu mengingati langkah-langkahnya atau kaedah-kaedahnya yang betul.

“Melalui senaman menggunakan beg pasir ini saya dapat membina otot dan kecergasan semakin meningkat,” ujarnya ketika ditemui di Taman Danau Desa, Kuala Lumpur sewaktu komuniti tersebut melakukan aktiviti pengenalan bagi musim terbaharu baru-baru ini.

Komuniti Senam Malaysia melakukan aktiviti mengikut musim dengan dua atau tiga musim setahun. Setiap musim mengambil masa selama lima minggu.

Membakar lemak

Sementara itu, Intan Suraya Mohamed Aladin, 35, yang merupakan salah seorang jurulatih di Senam Malaysia berkata, dia boleh menyelami perasaan mereka yang memiliki berat badan berlebihan kerana dirinya sendiri pernah mengalami situasi sama.

Atas sebab itu, dia menyertai komuniti tersebut untuk berkongsi pengalaman serta kepakaran dengan para peserta bagi membolehkan mereka merealisasikan hasrat untuk menurunkan berat badan.

“Fizikal saya pernah diejek atau bahasa mudahnya, pernah menjadi mangsa body shaming apabila seorang rakan sekerja menyindir adakah saya sedang mengandung memandangkan waktu itu saya memiliki berat badan berlebihan, hampir 80 kg.

“Walaupun sekadar gurauan, tetapi kata-kata itu memang menusuk ke jiwa. Sejak itu saya tekad untuk berubah dan menyertai beberapa program untuk menurunkan berat badan,” ujarnya.

Setelah berjaya mendapat berat badan diidamkan, Intan Suraya menyimpan hasrat untuk membantu mereka yang pernah berhadapan situasi sama.

Sebaik sahaja rakannya yang juga pengasas Senam Malaysia, Isrul Firdaus Muhamed Ismail mengajaknya menjadi salah seorang tenaga pengajar, dia tidak melepaskan peluang itu.

Intan Suraya menjelaskan, antara kaedah senaman yang digunakan oleh komuniti Senam Malaysia adalah penggunaan beg pasir.

“Senaman menggunakan beg pasir dapat membakar lemak dan membantu membina otot seseorang. Beg pasir ini akan diisi dengan pasir seberat 10 kg dan peserta akan didedahkan dengan beberapa pergerakan.

“Jumlah berat beg pasir ini sebenarnya boleh dikurangkan mengikut kemampuan seseorang.” jelasnya.

Tambahnya, komuniti Senam Malaysia akan dibekalkan dengan beg pasir.

Peserta juga boleh meneruskan senaman menggunakan beg pasir itu pada waktu terluang kerana ia boleh dilakukan di mana-mana sahaja dan pada bila-bila masa berpandukan buku senaman elektronik sebagai rujukan.

Kalori

Intan Suraya menjelaskan, biarpun seseorang itu sering bersenam, aspek pemakanan tidak boleh diabaikan untuk mengurangkan berat badan.

SENAMAN menggunakan beg pasir diterapkan dalam Senam Malaysia.

Menurutnya, pemakanan merupakan aspek paling penting dalam menentukan sama ada seseorang itu berjaya atau tidak dalam misi menurunkan berat badan.

“Kami di Senam Malaysia juga sering memantau pengambilan pemakanan peserta di mana setiap hari mereka perlu menghantar gambar makanan yang mereka ambil untuk dipantau. Disiplin yang tinggi amat diperlukan. Ini kerana, jika aspek pemakanan diabaikan usaha mereka melakukan senaman akan menjadi sia-sia.

“Peserta harus mengetahui jumlah kalori harian yang perlu diambil sekiranya ingin mendapatkan berat badan yang ideal. Peserta perlu mengamalkan konsep pemakanan sihat,” jelasnya.

Sementara itu, seorang peserta Senam Malaysia, Nurul Ain Khadijah Abas, 28, berkongsi, walaupun baru menyertai program tersebut, dia telah berjaya menurunkan berat badan sebanyak 10 kilogram dalam tempoh masa lima minggu.

Berat asalnya adalah 105 kg. Selepas mengikuti program tersebut beratnya sudah berkurang kepada 95 kg.

“Pada mulanya saya sekadar ingin mencuba program ini. Selepas berjaya menurunkan berat sebanyak 10 kg, saya mengambil keputusan untuk meneruskan bersama komuniti ini.

“Dengan mengikuti rutin senaman yang sangat efektik dan mengamalkan pemakanan yang betul, seseorang dapat mengurangkan berat badan dengan mudah,” ujarnya.

Namun, tekannya, apa yang penting adalah disiplin. Tanpa disiplin tinggi untuk berubah sukar untuk seseorang itu menurunkan berat badan.

Melihat keberkesanan program itu, Nurul Ain mengambil keputusan menyertai Senam Malaysia bagi musim seterusnya yang berjalan dalam tempoh lima minggu.

Setelah berjaya menurunkan berat badan dari tiga angka ke dua angka, dia kini berhasrat untuk mendapatkan berat badan lebih ideal.

“Perjalanan untuk menurunkan berat badan ini jika dilaksanakan secara berkumpulan lebih menyeronokkan.

“Ini kerana, masing-masing mempunyai matlamat sama iaitu untuk menurunkan berat badan. Para peserta juga membantu antara satu sama lain dalam memberi semangat agar tidak mudah putus asa,” jelasnya.

Untuk mengikuti program berbayar ini, orang ramai boleh melayari laman web senam.my.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI