fbpx

Minat memancing satukan ahli kumpulan Skala Mega Anglers

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANTARA hasil tangkapan ikan yang berjaya dinaikkan ahli Skala Mega Anglers ketika memancing di perairan Sedili, Kota Tinggi, Johor.

MEMANCING menjadi hobi buat kebanyakan orang, begitu juga bagi kumpulan Skala Mega Anglers yang mana ahlinya terdiri daripada anggota polis bantuan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di Johor.

Salah seorang ahlinya, Muhammad Amin Abdul Rashid, 33, berkata, mereka merupakan rakan sekerja yang berkongsi minat sama iaitu memancing ikan secara berkumpulan.

Katanya, aktiviti yang dilakukan itu bukan sekadar hobi, bahkan menjadi peluang buat mereka melepaskan lelah bekerja.

Menurutnya, penubuhan kumpulan berkenaan yang terdiri daripada 30 ahli itu juga secara tidak langsung mengakrabkan lagi hubungan mereka sebagai rakan sekerja.

“Seperti saya, memancing memang satu hobi. Saya mula memancing sejak zaman sekolah dan sering menjadi aktiviti bila ada masa lapang.

“Memancing boleh hilangkan tekanan. Bila dapat memancing, jiwa rasa tenang saja. Lebih-lebih lagi bila dapat merasa impak tarikan ikan.

“Tidak sangka pula ramai dalam kalangan rakan sekerja yang turut berkongsi minat yang sama. Jadi, kami pun tubuhkan kumpulan ini bersama-sama. Selain dapat ikan, kami dapat hilangkan tekanan kerja.

“Lebih penting dapat mengeratkan lagi hubungan kami sebagai rakan sekerja dan sahabat dalam berkongsi hobi yang sama,” katanya.

Jelasnya, lokasi memancing yang selalu dituju adalah sekitar perairan Sedili di mana mereka akan berpakat untuk menyewa bot bersama setelah perancangan dilakukan.

Menurutnya, perairan berkenaan menjadi ‘port’ kerana hasil lautnya yang pelbagai dan ikan yang menjadi sasaran mereka seperti ikan tenggiri, kerapu, merah dan pelbagai lagi.

MUHAMMAD AMIN menunjukkan ikan yang berjaya dinaikkan di perairan Sedili.

“Lokasi perairan sekitar Sedili memang sudah terkenal sejak dahulu lagi dalam kalangan pemancing. Memang sekitar perairan itu antara tempat kumpulan pemancing selalu menaiki bot dan memancing.

“Ikan-ikan yang menjadi sasaran kami seperti tenggiri, ebek dan ikan-ikan karang yang memang banyak di sekitar perairan berkenaan.

“Biasanya, bagi trip memancing, kami akan menaiki bot yang disewa secara satu kumpulan. Kami pernah menaikkan ikan tenggiri seberat 9 kilogram di perairan itu.

“Ia bukanlah ikan terbesar yang pernah saya dapat sepanjang memancing tetapi ia merupakan saiz yang biasa ditemui di perairan Laut Cina Selatan. Namun, kejayaan menaikkan seekor ikan bersaiz sebegitu sudah cukup memberi kepuasan,” katanya.

Menceritakan lanjut, Muhammad Amin berkata, anggaran kos yang dikeluarkan untuk satu kepala bagi setiap trip memancing berkumpulan adalah lebih kurang RM250 yang melibatkan seramai lapan orang pemancing.

Katanya, biasanya masa yang dihabiskan untuk memancing dengan menaiki bot akan mengambil masa satu hari ke dua hari, namun melihat juga kepada perancangan ahli kumpulan bersama tekong.

“Selain perairan Sedili, lokasi kami memancing adalah di pulau-pulau, di tebing, rumah rakit dan pantai. Kebiasaannya dalam sebulan dapatlah kami ahli kumpulan meluangkan masa dua kali memancing bersama.

“Namun, ia bergantung kepada cuti kami juga. Keadaan air pun perlu kita tengok juga sama ada sesuai atau tidak untuk memancing.

“Selain itu, perlu juga lihat musim dan keadaan angin.

“Jika musim tengkujuh tekong pun tidak berani hendak keluar bawa trip memancing,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI