PETALING JAYA – Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) menyarankan majikan di Lembah Klang sama ada dalam sektor kerajaan mahupun swasta untuk membenarkan pekerja mereka yang terjejas perjalanan bekerja dari rumah selama seminggu.
Ia susulan penutupan perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya yang terpaksa ditutup bermula 9 sehingga 15 November depan akibat kegagalan sistem.
Presidennya, Datuk Adnan Mat berkata, langkah tersebut adalah dilihat amat sesuai untuk membantu meringankan beban pekerja yang terjejas.
“Majikan perlu ada pertimbangan yang baik dalam mengurus sumber manusia masing-masing terutamanya dalam memastikan produktiviti syarikat atau sistem penyampaian kerajaan tidak terjejas.
“Pengalaman semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu kita dah pernah lalui, skop serta polisi tugas dari rumah juga jelas untuk majikan jadikan panduan memberi pengecualian untuk pekerja bekerja dari rumah.
“Waktu terjejas ini hanya sekitar tujuh hari, jadi ia amat munasabah jika pihak majikan boleh menggunakan kaedah sepanjang PKP dahulu ketika ini yang dikira tempoh keperluan buat pekerja supaya mereka tidak tertekan dari segi kos dan emosi,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.
Tambahnya lagi, kelonggaran waktu pilihan untuk pekerja datang ke pejabat iaitu dari pukul 7 pagi hingga 9 pagi juga boleh ditambah atau dilanjutkan oleh pihak majikan.
“Majikan juga boleh mengawalkan dan melewatkan sedikit waktu masuk dan pulang kerja selama tempoh 30 minit atau mengikut kesesuaian.
“Ia bertujuan bagi mengelakkan pertembungan orang ramai dan pengguna jalan raya berada ketika waktu kerana ia boleh meningkatkan lagi tempoh kesesakan,” katanya.
Dalam pada itu, Adnan menegaskan, Cuepacs amat memandang serius isu kegagalan perkhidmatan LRT itu kerana ia memberi cerminan negatif kepada imej negara.
“Ketika kerajaan sendiri berusaha menggalakkan orang ramai menggunakan pengangkutan awam untuk mengurangkan risiko kesesakan jalan raya di negara.
“Kegagalan LRT ini telah mencerminkan tadbir urus yang kurang baik dan pada masa sama, ia perlu dilihat secara lebih holistik supaya imej negara tidak tercalar,” jelasnya. – KOSMO! ONLINE