JOHOR BAHRU – Keterujaan ratusan ribu rakyat Malaysia yang kini mencari rezeki di Singapura untuk pulang ke tanah air bagi mengundi pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) mungkin terpaksa dilupakan ekoran pelbagai kekangan yang dihadapi mereka.
Paling berdepan kesulitan adalah pekerja yang berasal dari negeri-negeri di Pantai Timur seperti Kelantan dan Pahang, selain mereka yang tinggal di Kedah dan Perlis.
Berdasarkan rekod, terdapat kira-kira 300,000 rakyat Malaysia kini bekerja di Singapura dengan sebahagian daripada mereka merupakan rakyat Johor.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, rata-rata pekerja yang berasal dari Johor tidak mempunyai masalah untuk mengundi pada 19 November nanti, namun kesukaran dihadapi oleh pekerja lain yang berasal dari negeri yang agak jauh.
Antara alasan yang diberikan oleh mereka adalah faktor kerja dan masa yang terlalu singkat untuk pulang mengundi.
Ada juga pekerja yang mengakui berdepan kehilangan kerja sekiranya memilih untuk mengambil cuti semata-mata ingin menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi.
Seorang pekerja Malaysia di Singapura yang berasal dari Kuantan, Najib Halim berkata, isu utama ketika ini adalah kekangan cuti.
“Majikan memang tidak akan bagi cuti sekali gus, semata-mata untuk pulang mengundi. Kalau orang Johor, mereka memang tidak ada masalah untuk balik.
“Macam saya anak jati Kuantan, Pahang, cuti sehari untuk pulang mengundi memang tidak sempat, nak cuti lama syarikat tidak luluskan,” katanya yang bekerja sebagai perunding kerjaya di negara berkenaan.

Seorang pemandu bas di Singapura, Che Noriza Hamzah, 44, turut berdepan dilema sama ada mahu balik atau tidak ke kampung halamannya di Pasir Mas, Kelantan.
Jelas bapa kepada empat orang anak itu, jika pulang, mereka sekeluarga memerlukan kos ulang-alik termasuk kos tol dan minyak sebanyak RM400.
“Kami pekerja di Singapura ini, orang kata gaji banyak, ya saya akui tetapi komitmen kami pun banyak. Anak-anak masih sekolah, rumah sewa semua kena bayar, jadi saya rasa baik tak payah balik.
“Dengan kos RM400 itu, boleh buat beli barang makan seminggu untuk kami anak-beranak. Biasanya, saya akan dapat gaji setiap 5 haribulan, 19 November pula boleh kata hujung-hujung, sekarang semua kena berjimat, kos barang naik,” katanya.
Sementara itu, seorang pembantu kesihatan di sebuah hospital swasta di Singapura yang mahu dikenali sebagai Henry, 33, berkata, dia yang berasal dari Ipoh, Perak turut melilih untuk tidak pulang mengundi pada 19 November nanti.
“Saya tidak dapat balik mengundi kerana sukar untuk dapatkan cuti.
“Lebih-lebih lagi pada hari Jumaat, nak keluar dari Singapura ke Johor Bahru memang akan terperangkap dalam kesesakan jalan di Tambak Johor,” ujarnya.
Dalam pada itu, seorang pemuda dikenali sebagai Wan, 26, berkata, dia hilang ‘mood’ untuk mengundi kerana takut kehilangan kerja apabila memilih untuk mengambil cuti.
“Semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, memang susah nak masuk kerja di sini untuk cari kerja.
“Bila sudah dapat, kena kerja betul-betul kerana takut kena buang kerja,” kata pekerja logistik yang berasal dari Dungun, Terengganu itu.














