fbpx
Gambar hiasan

‘Kami pilih parti, bukan calon semata-mata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rata-rata pe­ngundi memberi isyarat awal kepada bakal wakil rakyat bahawa mereka lebih memilih parti yang dilihat dapat memberi kestabilan kepada pembentukan kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Bagi mereka, calon hanya memberi impak pada skala kecil dan tidak menguntungkan mereka pada masa depan.

Ini bermakna, sebahagian besar daripada 21 juta pengundi termasuk 1.2 juta remaja berusia antara 18 hingga 20 tahun yang berdaftar dengan Suruhanjaya Pilihan Raya telah membulatkan tekad dan memilih siapa perlu dipangkah pada 19 November ini.

Media sosial yang menjadi salah satu senjata kempen PRU15 merupakan tempat mudah untuk mengetahui gelombang pe­ngundi apabila rata-rata mereka mula membahaskan kriteria yang perlu ada sebelum membuat pilihan.

Seorang usahawan barangan sukan, Mohd. Fadhlan Razali, 30, berkata, trend mengundi lebih berat kepada pemilihan parti.

Katanya, parti akan memberi impak secara menyeluruh kepada pembentukan kerajaan berbanding calon yang hanya tertumpu kepada skali kecil sahaja.

“Kriteria parti pilihan saya semestinya yang bertanggungjawab dan tidak mengamalkan rasuah bagi menjaga nasib rakyat di Malaysia,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Sementara itu, seorang akauntan dari Taiping, Perak, Nur Syifa Abu Bakar, 24, turut sependapat dengan Mohd. Fadhlan apabila memaklumkan yang dia lebih cenderung untuk memilih parti berbanding calon.

Menurut Nur Syifa, dia mengambil kira semangat perjuangan sesebuah parti dalam mendengar luahan hati rakyat.

“Masalah dalaman sesebuah parti itu kita sedia maklum pasti akan ada dan saya yakin jika masalah itu terjadi ia berpunca daripada individu tersebut dan bukannya seluruh parti.

“Jadi saya akan tetap utamakan parti yang berjiwa rakyat, kerana saya yakin jika mereka dekati dan kenali rakyat, segala permasalahan setempat dapat diselesaikan dengan kadar yang segera,” katanya yang pertama kali mengundi pada PRU15.

Berbeza dengan tukang jahit, Shahida Sanusi, 24, apabila memberitahu dia lebih berminat untuk membuat pilihan berdasarkan manifesto yang dibawa oleh parti.

“Bagi saya, kekuatan parti tak menjamin apa-apa sebab itu saya lebih menilai manifesto calon.

“Tetapi harus diingat adakah yang dijanjikan itu masuk akal untuk dilaksanakan atau calon itu sendiri mempunyai kredibiliti bagi memenuhinya,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Mohd. Fauzan Ismail, 42, pula manifesto bukan lagi benda penting yang menjadi kayu ukur untuk memikat pengundi.

“Maaflah, saya tak ambil kisah kerana apa yang dijanjikan sebelum ini langsung tidak dipenuhi. Rakyat yang menanggung derita tambahan pula tiada tindakan yang boleh dikenakan kepada pihak yang tidak menunaikan janji,” katanya.

Seorang pengundi di Pahang, Saiful Bahari Syariff, 38, berkata, rekod baik daripada parti-parti menjadi panduan untuknya membuang undi.

“Semua parti bertanding pernah menjadi kerajaan Persekutuan. Manifesto belum tentu ditunaikan tetapi rekod peme­rintahan sudah terbukti,” kata­nya.

Pengundi di Johor, Hasbullah Abdullah, 42, berkata, manifesto terbaik ialah yang rasional dan mampu membela nasib rakyat selain mengukuhkan ekonomi negara secara logik.

“Apa yang penting sekarang ini ialah hala tuju negara,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN