PELAWAAN mengabadikan wajahnya sebagai penghias sampul depan Pose edisi kali ini disambut baik pemilik nama lengkap Nor Atiqa Noor Azraff itu.
“Lama saya tak ‘shoot’ untuk surat khabar. Terima kasih sebab sudi panggil,” demikian lentur kata-kata yang terbutir dari bibir sosok dengan nama pentas Kaka Azraff itu saat bertemu empat mata tempoh hari.
Bercanda teruja, penyanyi berusia 33 tahun itu bagaimanapun cukup faham nilai eksklusiviti kerja wartawan. Usai sesi fotografi, tiada satu pun foto atau video ‘canangi’ yang terlepas di gelanggang media sosial, baik dirinya mahupun pasukannya sebelum tiba waktu sepatutnya.
Diajak berbicara tentang kerjaya muziknya yang dilihat sedikit perlahan selepas ledakan Gila (bersama Loca B dan Noki) Mac tahun lalu, Kaka tidak menafikan pandangan sedemikian.

Perlahan-lahan
Selari status sebagai isteri dan ibu kepada dua cahaya mata, dia tidak perlu lagi terkejar-kejar soal glamor yang barangkali menjadi dambaan penyanyi baharu.
“Saya bersyukur dengan apa yang saya ada termasuk dari segi pencapaian seni muzik.
“Saya akui, perjalanan kerjaya muzik atau seni saya bukan naik mendadak. Lonjakannya bukanlah terus naik 10 anak tangga.
“Saya naik perlahan-lahan. Satu tingkat demi satu tingkat, namun saya tak pernah mengeluh kerana yakin, kalau seseorang itu bekerja keras, insya-Allah kejayaan menantinya. Itulah yang berlaku kepada saya,” katanya cermat.
Bercerita tentang pendakian kemunculan dan kehilangan, emosi Kaka sedikit larut. Apatah lagi, kehilangan yang diabadikan sebagai judul single terbaharunya terasa begitu menikam dada.
Lagu Hilang ciptaan Ezra dan Omar K, tersebut terkandung makna mendalam.

Kesukaran tanpa ‘father figure’
Matanya mula berkaca terutama apabila diajak bercerita tentang pengalaman membesar tanpa kasih sayang seorang ayah atau ‘father figure’.
“Membesar tanpa kasih sayang seorang bapa bukan mudah. Cara kita (yang tiada ‘father figure’) kendalikan kehidupan sangat lain berbanding mereka yang ada rezeki tersebut.
“Cara kita hadapi sebarang situasi ataupun kesedihan, ‘deal’ dengan pasangan (bagi yang sudah berkahwin), semua lain. Bila kita ada rezeki membesar dengan bapa, cara kita lain.
“Bila tiada dan jalani kehidupan mengikut acuan sendiri berdikari dengan apa yang kita rasa betul,” tuturnya.
Tanpa disangka, air mata pelantun lagu Sibuk itu tumpah saat bercerita tentang ‘waktu singkat’ pinjaman Tuhan bersama arwah bapanya.
“Sejak kecil tiada bapa. Kadang-kadang, saya lupa macam mana rasanya kalau ada ayah. Kita tak tahu dan tiada pengalaman tersebut.
“Apabila dah besar dan terutama bila dah kahwin dan ada anak, tengok cara suami (Adam Azriff) dengan anak-anak, saya macam terkenang begitulah cinta yang ditonjolkan seorang bapa yang saya tak sempat rasa.
“Kadang-kadang sedikit terganggu, pada masa sama, membuatkan saya jadi kuat,” ujarnya beremosi.
Meneruskan kehidupan mengikut rentak sewajarnya, Kaka sentiasa melahirkan kesyukuran, namun tidak dinafikan adakala trauma zaman kanak-kanak menguasai diri disebabkan membesar tanpa seorang lelaki bernama bapa.

“Saya selalu persoalkan diri, kalau saya ada bapa, macam mana?,
“Arwah bapa, beliau adalah orang pertama yang ‘korek’ bakat seni saya.
“Sebab, arwah bapa dulu suka main gitar. Beliau sangat cintakan muzik dan sukakan muzik daripada kumpulan rock Santana.
“Masih bawah dalam fikiran, kalau beliau main gitar setiap malam, dia akan kumpulkan anak-anaknya. Semua akan menyanyi tapi semua orang nyanyi lari tempo kecuali saya.
“Saya jadi penyanyi sekarang adalah disebabkan arwah bapa. Beliau yang yakinkan saya bahawa darah seni mengalir dalam diri.
“Jadi, dia yang tunjukkan jalan ini tapi saya tak sempat tunjukkan padanya yang saya ada bakat ini.
“Selepas bapa meninggal dunia, baru saya mula masuk pertandingan muzik di sekolah,” tutur Kaka seraya air matanya tumpah berjejeran.

Takut lelaki sampai sekarang
Allahyarham Noor Azraff Aminuddin meninggal dunia disebabkan kegagalan fungsi buah pinggang. Sejak kehilangan bapa tersayang, Kaka menjadi tulang belakang keluarga dan dibesarkan oleh ibunya.
“Waktu ayah meninggal, adik saya baru berusia lima tahun. Jadi, yang buat kita jadi kuat sekarang sebenarnya ibu kitalah kan?
“Membesar dengan tiada ‘father figure’ dan hanya bersandarkan ibu tunggal, itu yang buat cara kita pandang kehidupan sedikit lain berbanding orang lain,” tuturnya bersulam sedu-sedan.
Enggan terus Kaka dihanyutkan emosi, sengaja penulis melencongkan pendapatnya tentang situasi zaman ini yang semakin meruncing dengan sikap sumbang segelintir lelaki berstatus agamawan.
Kembali tenang dan bersikap rasional, Kaka meluahkan pendapatnya. Menurut Kaka, iman atau ibadah seseorang adalah perihal yang tidak sepatutnya dicanang kepada umum.
Pada masa sama, Kaka percaya susuk fizikal atau penampilan seseorang tidak melambangkan keperibadian seseorang.
“Sebelum ada iman, seseorang itu perlu ada adab. Sejak kecil pun, saya selalu dengar lelaki pergi masjid, balik rumah jadi syaitan. Meraba sana sini.

“Sebabkan saya tiada ‘father figure’, saya jadi sangat takut dengan lelaki. Sejak kecil. Contohnya, kalau saya bersama bapa saudara dalam rumah berdua-duan, akan rasa tak senang duduk.
“Saya akan keluar rumah sampailah siapa-siapa balik. Sebab saya trauma dengan perkara melibatkan tragedi rogol (walaupun tak pernah berlaku pada diri). Masa kecil dulu, ramai bapa saudara yang sayang dan sukakan saya.Mereka selalu anggil Kaka ‘duduk atas paha’.
“Ibu saudara saya pula (Ella) selalu pesan jaga diri. Sampai sekarang, dengan lelaki memang ada sempadan.
“Kalau naik lift, jika ada orang lelaki masuk, saya akan keluar,” tutup Kaka menggulung perbualan.














