PETALING JAYA – Debaran Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disifatkan paling mencabar dalam sejarah secara rasminya akan bermula hari ini apabila kesemua calon bertanding menyerahkan borang pencalonan masing-masing di 222 lokasi di seluruh negara.
Berbeza dengan pilihan raya sebelum ini, PRU15 diadakan ketika suhu politik negara agak panas susulan daripada perebutan kuasa membabitkan ahli-ahli politik daripada pelbagai parti.
Empat gabungan parti politik utama yang bakal mencuri tumpuan kali ini adalah Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan Gerakan Tanah Air (GTA).
Senario di Sabah dan Sarawak bagaimanapun dijangka lebih sejuk ekoran kewujudan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) yang menghimpunkan parti-parti tempatan.
Felo Kanan Majlis Profesor Negara, Datuk Dr. Jeniri Amir berkata, PRU15 kali ini bagaimanapun bakal menyaksikan lebih ramai calon bertanding berbanding anggaran lebih 600 orang pada PRU14 lalu disebabkan kewujudan banyak gabungan politik.
“Saya jangkakan jumlah calon akan meningkat lebih lima peratus termasuk daripada calon Bebas. Tidak mustahil banyak kawasan akan berlaku pertembungan enam atau tujuh penjuru.
“Persaingan adalah sengit kerana semua blok (gabungan politik) akan cuba menampilkan calon terbaik untuk memenuhi kehendak lebih 21 juta pengundi.
“PRU15 juga eksperimen buat parti politik baharu dengan keahlian yang sedikit. Isu parti politik seperti ini adalah akar umbi dan jentera parti tidak kuat serta kewangan yang terbatas.
“Jadi, tidak hairan ada parti yang akan kalah teruk dan hilang deposit seperti peribahasa ‘gajah sama gajah berjuang, pelanduk mati di tengah-tengah’,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini semalam.

Jeniri berkata, debaran PRU15 juga lebih tinggi buat calon-calon baharu untuk memperkenalkan diri, khususnya di kawasan luas berbanding calon lama yang telah lama berpolitik dan dikenali pengundi setempat.
Menurut beliau, calon bertanding juga perlu bijak dalam menilai medium paling berkesan untuk meraih undi di kawasan masing-masing, sama ada melalui platform bersemuka atau media sosial.
“Bagi kawasan luar bandar, pendekatan secara langsung penting berbanding media sosial. Kawasan bandar memang sukar untuk calon mendekati semua pengundi, justeru peranan media sosial paling penting,” ujarnya.
Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia, Prof. Dr. Sivamurugan Pandian berkata, PRU15 agak menarik berbanding PRU14 kerana berlaku ‘perpindahan parti’ calon-calon utama seperti yang berlaku di Arau dan Kuala Nerus.
Kata beliau, debaran PRU15 pasti tertumpu kepada kerusi-kerusi panas disebabkan elemen lompat parti sebelum ini atau pertembungan calon-calon yang merupakan nama besar.
“Antaranya adalah di kerusi Parlimen Gombak, Larut, Pagoh, Tambun, Larut, Langkawi dan Bagan Datuk. Walaupun kita tahu kelebihan adalah pada penyandang, tetapi isu dibawa akan mewarnai kempen mereka.
“Kita juga akan menyaksikan pertembungan banyak penjuru kerana persaingan BN, PH, PN dan GTA berbanding PRU14 yang menyaksikan persaingan dua gabungan utama mewakili kerajaan dan pembangkang,” katanya.
Selain itu, katanya, debaran PRU15 juga bertambah kencang apabila sukar untuk membaca mood pengundi yang kebanyakannya kini menjadi pengundi senyap berbanding PRU14 yang menyaksikan slogan-slogan politik kerap kedengaran.
“Kali ini moto ‘Kestabilan demi Kemakmuran’ jadi pertaruhan BN, manakala moto ‘Kita Boleh’ jadi pertaruhan PH. Impak sebotaj dalaman akibat isu pencalonan juga amat menarik untuk disaksikan,” jelasnya.
Tambah beliau, hala tuju GPS di Sarawak dan GRS di Sabah juga menarik untuk diperhatikan kerana kedua-dua gabungan politik di Borneo ini akan menjadi kingmaker dalam pembentukan Kerajaan Persekutuan pada PRU15.














